Roti Jala Lembut Dan Kuah Kari Ayam Sedap
Assalamualaikum semua. Hari ini kita telah berada pada hari ketiga Syawal. Taqaballallaahu Minna Wa Minkum. Alhamdulillah. Sebelum masuk bab resipi, jangan lupa klik iklan di blog saya tau. Terima kasih.
Pagi pagi hari raya kedua, saya bangun untuk menyiapkan kuah kari ayam untuk dimakan dengan roti jala. Pada saya yang jarang jarang memasak kari ayam untuk dimakan dengan roti jala adalah sesuatu yang mencabar juga.
Pertama, kerana saya tidak pernah menyediakannya. Biasanya Nana yang akan menyediakan kuah untuk roti jala ini. Kedua, memang susah untuk mendapat kuah roti jala yang sedap, elok kepekatannya dan cantik terbit minyak.
Memang susah dan jarang saya jumpa kuah kari yang sedap jika dimakan di kedai kedai atau di majlis majlis rumah terbuka selama ini. Itu sebab saya bukan penggemar roti jala. Roti jala disediakan di rumah kami kerana anak anak suka makan roti jala.
Alhamdulillah kerana kuah roti jala saya hari ini sangat sedap dan secukup sahaja kepekatannya. Kuah juga terbit minyak dengan cantik. Jadi kalau kuah belum terbit minyak, kena pandai pandai main dengan air. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga kuah yang pekat akan terbit minyak.
Hahaha berulang kali sambil makan sambil saya memuji kuah kari ayam saya hari ini. Terasa sangat berpuas hati bila apa yang dimasak sedap dan cantik kejadiannya.
Jadi jom apa tunggu lagi, meh lah cuba resipi ini. Insya Allah akan menjadi dengan sedap. Lagi pun, cuti raya kali ini agak panjang kerana bersambung dengan sabtu dan ahad.
Dengan PKP ni, kita kena memasak sendiri untuk keluarga kerana pastinya kita semua akan berada di rumah sahaja. Bila di rumah, apa lagi selain dari menonton TV, makan lah.
Jom kita layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Roti Jala Lembut
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
3 ¼ cawan susu segar
3 cawan tepung gandum
Secubit garam
Sedikit pewarna kuning
1 biji telur telur
2 ½ sudu besar minyak masak
Cara cara:
Satukan semua bahan dan kisar sehingga sebati. Nota: Kalau nak tahu adunan dah boleh dijala atau belum, cuba masukkan sesenduk ke dalam acuan. Kalau keluarnya tak putus-putus maknanya dah boleh di jala menggunakan kuali non stick. Kuali biasa pun boleh asal tak melekat. Kalau pekat tambah air lagi sehingga boleh dijala.
Lenser kuali dengan sedikit minyak dan jala adunan.
Lepas jala atas kuali biarkan dalam beberapa saat. Kalau dah masak tak payah dibalik terus aje di angkat dan digulung.
Kari Ayam Kuah Roti Jala
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong kecil
1 biji kelapa - santan segar
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
3 inci halia
3 sekawan
2-3 sudu besar asam jawa - bancuh dengan air
2-3 biji ubi kentang - potong dadu
8 sudu besar rempah kari
2 tangkai daun kari
3 sudu besar gula
1 sudu besar garam kasar
¾ cawan minyak masak
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah 3 sekawan sehingga naik bau.
Masukkan rempah kari dan kacau rata. Kemudian masukkan air dan kacau rata. Masak sehingga terbit minyak.
Masukkan ayam. Kacau rata dan masukkan ubi kentang dan daun kari. Masukkan air secukupnya untuk ayam dan ubi kentang empuk. Masak sehingga terbit minyak.
Setelah ubi kentang masak dan kuah mulai terbit minyak, masukkan santan.
Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Renih sehingga kuah terbit minyak. Jika belum, masukkan air sedikit demi sedikit sehingga terbit minyak.
Nota:
Bila sejuk, kuah akan jadi pekat. Jadi jangan kuah terlalu pekat.
selamat hari raya maaf zahir batin kak azie
BalasPadam