Rendang Pedas Perak Sedap Yang Sangat Nostalgia
Rendang Pedas Perak ini cukup terkenal di negeri Perak. Ya lah nama pun rendang pedas Perak. Kawan baik saya, Puan Mai Zatul Akmar pernah memberitahu yang orang Perak hanya memasak rendang pedas ayam di musim raya.
Tidak rendang daging. Kalau daging, mereka akan memasak rendang tok. Itu pun biasanya untuk majlis dan kenduri sahaja kerana penyediaannya yang agak remeh dan memakan masa yang lama.
Selepas solat sunat Dhuha, saya melayan layan Instagram dan ternampak rendang pedas daging yang disediakan oleh Puan Sri Raja Noora yang memang orang Perak. Kata Raja Noora, rendang ini menggunakan bahan yang banyak dan daun kunyit pula mesti banyak dari rendang lain. Puan Sri dan anakanda beliau, Cho memang tak lokek ilmu kerana ilmu sebegini besar ganjarannya bila kita tiada lagi di dunia ini.
Teringat pulak kenangan dulu dulu, menyediakan bahan bahan untuk rendang pedas ayam secara beramai ramai di rumah Bonda Mertua sehari sebelum raya. Mengupas dan menghiris berkilo kilo bahan bahan.
Yang paling best bila saat berbuka puasa akhir Ramadhan, menceduk dan memilih bahagian rendang ayam yang disukai terus dari kuali. Makan ketika masih panas panas memang sedap. Berbuka puasa dengan duduk di lantai memang tak akan ada lagi pengalaman seperti ini.
Cara arwah Bonda mertua saya menyediakan rendang pedas ialah dengan semua bahan diricik dan dihiris halus. Halus dan tipis tipis. Memang salute sangat dengan kegigihan. Yang dikisar, hanya kunyit hidup dan cili kering.
Manakala bawang merah, bawang putih, halia, serai dan daun kunyit semua dihiris nipis. Kata kakak ipar, orang zaman dulu tak ada peti ais tapi rendang mereka tahan lama. Tak mudah basi. Kalau dihiris memang lebih tahan kerana tidak menggunakan air.
Oleh kerana teringin nak makan, saya minta Hubby ke kedai runcit untuk beli ayam dan santan. Saya mulai memasak dengan menghiris bahan bahan sebab saya mahukan rendang yang sama seperti yang saya makan dulu.
Sebelum ini, saya kisar semua bahan bahan hiris ni sebab mahu cepat. Saya juga keringkan dulu air ayam seketika sebelum dimasukkan bahan bahan hiris. Kemudian bila dah kering, baru masukkan santan.
Kiranya saya tambahbaik cara penyediaannya berdasarkan pengalaman menyediakan rendang selama ini. Saya juga ikut cara kakak ipar saya yang memotong ayam kecil sahaja. Jadi lebih mesra dengan bahan bahan dan lebih sedap.
Alhamdulillah kerana sangat berbaloi baloi. Sedap tak terkata. Masa berbuka, saya hanya makan rendang dengan nasi impit sahaja. Terasa sangat sedap seolah bertahun tak jumpa rendang. Sebetulnya sejak raya lagi, saya tak makan rendang walaupun saya yang memasaknya sendiri. Selepas memasak, terus rasa kenyang dan hilang selera makan. Pagi raya pun saya makan mee hoon goreng daun limau purut jer. Tak makan rendang langsung.
Setelah hampir seminggu raya, baru terasa nak makan rendang, nak makan lemang, nak makan kuah lodeh, soto ayam. Aduhaai macam macam lah pula.
Sukatan yang saya gunakan hari ini sangat sesuai untuk seekor ayam tapi jika suka lebih berserdak, bolehlah tambah lagi bawang bawang, halia dan serai serta santan. Kalau nak makan dengan nasi impit atau lemang, kita nak cicah dengan kuah yang berserdak tu, barulah sedap.
Jom layan resipi yang saya gunakan hari ini dan cara penyediaannya. Selamat mencuba....
Rendang Pedas Perak Versi Bonda Mertua
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan
1 ekor ayam
½ kg santan segar pekat + air = 1 liter
2 keping asam keping
3-4 sudu besar kerisik kelapa goreng
1 sudu besar kunyit hidup kisar - 3 inci kunyit hidup
2-3 sudu besar cili kering kisar - ikut pedas disukai
Garam
Bahan hiris halus:
15 biji bawang merah
8 ulas bawang putih
6 batang serai
3 inci halia
2 helai daun kunyit
Cara cara:
Masak ayam sehingga air agak kering. Masukkan semua bahan hiris dan cili kering kisar. Kacau rata dan masak sehingga air hampir kering.
Masukkan santan, asam keping dan masak sehingga terbit minyak.
Masukkan kelapa goreng, garam dan daun kunyit yang dihiris halus. Masak sehingga kering yang disukai. Boleh keluarkan asam keping, takut terlebih masam.
Sesuaikan rasa. Sedia untuk dihidangkan.
Nota:
Jika suka rendang yang lebih berserdak, tambahkan bahan hiris dan santan segar.
Catat Ulasan for "Rendang Pedas Perak Sedap Yang Sangat Nostalgia"
Add your comment