Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Pedas Daging Perak Bonda Mertua Yang Sangat Sedap



Setelah hampir 2 minggu menyambut Hari Raya Aidil Fitri, baru mula terasa nak makan ketupat lemang dengan rendang. Itu pun tak ada rumah terbuka. Kalau dulu dulu ada rumah terbuka mulai hari raya kedua lagi. Jadi hari hari akan jumpa lemang rendang semua. 

Jadi bila dah teringin nak makan tu, kenalah buat sendiri. Terus terang saya katakan, jarang sekali lauk yang dibeli sedap dan menepati selera. Saya tak tahu kenapa jadi begitu. Kalau mereka yang berjual ikut resipi saya di blog patut menjadi. Mungkin kerana mereka mahu berjimat bahan bahan. Agaknya lah. 

Sekali sekala bila mahu masakan dibeli yang sedap, saya buat special order dari kakak ipar, minta dia masakkan. Barulah rasanya sedap seperti kita masak sendiri di rumah. Hari ini saya nak kongsikan resipi rendang pedas Perak menggunakan daging. Kalau sebelum ini di SINI, saya guna ayam.


Sebenarnya saya tidak pernah membantu arwah Bonda Mertua mengacau rendang daging. Rendang daging dimasak sendiri. Lagi pulak bahan bahan sama, jadi cuma diambil bahan bahan yang kami hiris untuk rendang ayam dan dilebur ke dalam daging. Masak sehingga daging empuk.

Bab rendang daging, biasanya tahu makan di pagi raya sahaja. Masa berbuka puasa, memang tiada rendang daging. Agaknya kerana daging kan perlu lama dimasak untuk ianya empuk. Itulah makanya saya tidak pernah melihat sendiri bagaimana arwah Bonda Mertua menyediakan rendang daging. Paling paling pun, tugas saya ialah memotong dan menghiris daging sahaja. 

Oleh kerana rendang pedas Perak juga terkenal dengan menggunakan daging, jadi saya belajar juga supaya ianya dapat dirujuk oleh anak anak cucu. Saya menanyakan Kak Ngah, kakak ipar kerana beliau juga berasal dari Perak. 

Tapi Kak Ngah tidak menggunakan bawang putih kerana katanya rasa rendang akan lari. Tapi saya guna juga bawang putih sedikit. Terpulanglah pada anda samada ingin menggunakannya atau tidak. 

Yang penting, rendang pedas yang merupakan signature orang Perak ini sangat sedap dan unik. Jadi jangan lupa untuk mencuba resipi ini terutama mereka yang berasal dari Perak yang belum pernah memasaknya sendiri. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....



Rendang Pedas Daging Perak
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan bahan:
1 ½ kg daging
3 sudu besar cili kering kisar - boleh tambah
2 helai daun kunyit - hiris nipis
½ kg santan segar + air
2 keping asam keping
½ sudu besar garam kasar
4-5 sudu besar kerisik kelapa/kelapa goreng
2 inci kunyit hidup - kisar

Bahan hiris nipis;
20 biji bawang merah
6 ulas bawang putih - opsyenal 
10 batang serai
4 inci halia

Cara cara:
Masukkan semua bahan hiris, kunyit dan cili kering kisar. Kacau rata dan masak sehingga daging empuk. Jika belum empuk, tambah air dan masak lagi sehingga daging empuk. 

Setelah daging empuk, masukkan santan, asam keping dan masak sehingga terbit minyak.

Masukkan kelapa goreng, garam dan daun kunyit yang dihiris halus. Masak sehingga kering yang disukai. Boleh keluarkan asam keping, takut terlebih masam. 

Sesuaikan rasa. Sedia untuk dihidangkan. Jika suka kering, boleh dimasak lama dengan api perlahan.



Nota: 
Boleh juga dimasukkan kesemua sekali bahan bahan lain bersama santan. 

Kalau rendang pedas ayam, boleh masukkan semua sekali ke dalam kuali dan masak sehingga kuah kering yang disukai.

Saya masak semua sekali di dalam pressure cooker selama 20 minit dan setelah itu, baru dikeringkan. Hasilnya, daging terlalu lembut. Saya suka daging yang sedikit kenyal, jadi lain kali daging dimasak selama 18 minit sahaja. Akan lembut ketika mengeringkannya.  

Catat Ulasan for "Rendang Pedas Daging Perak Bonda Mertua Yang Sangat Sedap"