Pajeri Terung Azie Kitchen Yang Pasti Sedap
Sebelum itu, jangan lupa klik iklan di blog saya ni tau. Sedih sangat sedih. Hari ini 6 Mei 2021, bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan ketiga yang mana surau tidak membenarkan muslimah untuk bersolat terawih. Jemaah muslimin dihadkan kepada seramai 50 orang sahaja.
Kita terpaksa akur dan mematuhinya, cuma alangkah baiknya jika pelaksanaan ini ditangguhkan sehingga habis akhir Ramadhan ini. Maklumlah tahun lepas, langsung tak dapat menunaikan solat terawih di surau. Memang boleh menunaikannya di rumah tapi ia memberikan perasaan yang sangat berbeza.
Seperti kata Nana, Covid akan kekal ada seperti mana influenza dan lain lain, cuma bagaimana ianya dapat di kawal dengan vaksin supaya kesannya tidak teruk pada pesakit yang mengalaminya. Malahan dia telah pun belajar berkenaan virus covid ni semasa belajar medic di Mesir lagi. Maknanya dalam dunia perubatan telah menpunyai maklumat tentang virus ini.
OK, kita sekarang sedang berada di 10 malam akhir Ramadhan. Malam ini ialah malam ke25 Ramadhan, jadi siang hari kalau boleh lelapkan mata seketika supaya kita segar dan cergas untuk beribadah sebelah malamnya.
Kata Ustaz Don Daniyal selepas solat terawih, tak perlu tidur sekejap pun tak apa. Terus sahaja solat sunat, mengaji, berzikir dan berdoa. Lailatul Qadr bermula dari Maghrib sehingga ke masuk waktu Subuh. Semua amalan yang kita buat malam itu, akan mendapat pahala yang lebih baik dari beribadah 1000 bulan iaitu 84 tahun.
Jangan lepaskan peluang untuk mendapat pahala yang besar ini. Tawaran yang datang hanya sekali dalam setahun. Tapi adakah kita pasti, kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang?
Jika tidak pasti, rebut peluang yang sedang kita berada ini. Jangan lupa juga bersedekah dan berinfaq di malam malam 10 akhir Ramadhan ini. Jangan buat siang hari tapi selepas Maghrib. OK sekarang kita masuk bab masakan pula.
Dalam banyak banyak lauk, saya memang penggemar tegar pajeri. Tak kira lah pajeri nenas atau pajeri terung. Kedua duanya saya suka.
Ketika bekerja di Bank Negara, sekali sekala saya akan keluar makan tengahari di Medan Kupang. Lauk yang sya ambil pajeri nenas atau terung, ikan cencaru sumbat dan telur masin. Ini lah lauknya setiap kali. Tak berubah, kecuali salah satunya tak ada, baru saya ganti dengan lauk lain.
Resipi ini saya belajar dari Wan Chu setelah selalu Wan Chu menyediakan lauk ini bila kami berkunjung ke rumah mereka. Ketika itu, saya tidak pula melihat Wan Chu memasak. Setelah sekian lama baru saya minta Wan Chu kongsikan resipi dan cara penyediaannya.
Masih ingat lagi terung yang Wan Chu guna jenis yang panjang dan warna kehijauan. Saya pun tak pasti terung apa. Tapi itu yang saya ingat lah. Cuma, lebih sedap menggunakan terung yang panjang. Tapi yang Hubby beli, terung yang gemuk pendek ni, saya guna jer lah.
Satu yang saya ingat ialah bila Wan Chu memberitahu pajeri terung mesti pekat dan berempah. Santan yang digunakan sedikit sahaja. Jangan jadi seperti kari terung. Saya suka gaul kuah pajeri yang pekat pekat tu dengan nasi putih panas panas. Sedap dan sangat menepati selera saya, siap habis 2 biji untuk saya seorang.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Pajeri Terung Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
6 biji terung - belah 2 tak putus
50 gram rempah kari daging Babas
3 sudu besar kerisik
300 ml santan segar
1 sudu kecil garam atau secukup rasa
3 sudu besar gula atau secukup rasa
½ cawan minyak
Bahan kisar:
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
2 sudu besar udang kering
Cara cara:
Tumis bahan kisar sehingga naik bau dan masukkan rempah kari kering (tak dibancuh dengan air) dan kacau rata cepat cepat sehingga wangi.
Masukkan sedikit santan cair supaya tidak hangit dan kacau rata. Masak sehingga terbit minyak.
Kemudian masukkan santan, garam, gula, serbuk perasa serta kerisik supaya kesemua sekali masak mesra.
Setelah kuah hampir terbit minyak, masukkan terung dan sedikit air sehingga agak agak terung tenggelam sahaja.
Masak dengan api sederhana sehingga terung lembut dan kuah terbit minyak. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.
Nota:
Kuah akan jadi pekat selepas sejuk.
K azie sedap² resepi k azie, sy selalu mengikuti resepi k azie..
BalasPadam