Nasi Ayam Hainan Azie Kitchen Yang Harus Dicuba
Salam Syawal buat semua. Saya percaya ramai antara kita sedang berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal hari ini. Sebelum itu, jangan lupa klik follow blog dan klik iklan yang keluar juga tau. Tidak seperti youtube, bila masuk sahaja, tuan punya channel akan mendapat bayaran. Tapi blog, jika viewers tidak klik iklan, memang tiada bayaran diterima. Walaupun tidak banyak, sekurang kurangnya memberi motivasi untuk blogger terus menulis.
Masa cuti raya baru baru ni, kami anak beranak bersembang sembang. Maklum tak boleh ke mana mana. Jadi kami asyik makan makan dan lepak depan TV jer. Saya memberitahu anak anak yang Nana dulu setiap kali balik bercuti semasa belajar kursus perubatan di Mesir, akan mesej awal awal minta saya masak ikan bawal masak tiga rasa dan begedil. Katanya, sampai jer rumah nak terus makan. Jadi sebelum ke airport, saya dah siap masak semua.
Mendengar itu, Juita menyampuk masa nak balik dari Manchester, Juita minta mama masak nasi ayam tapi sampai sekarang, mama belum masak untuk Juita. Alamak saya betul betul terlupa. Maklumlah Juita balik tahun lepas masa tengah PKP.
Jadi sebagai menunaikan janji, saya minta Hubby ke kedai membeli 2 ekor ayam untuk nasi ayam. Jadi saya memikirkan resipi nasi ayam yang lebih istimewa untuk Juita. Makanya saya memilih nasi ayam Hainan.
Nasi Ayam Hainan biasanya berwarna putih kerana ianya hanya direbus tapi nasi ayam Hainan saya hari ini lain sikit. Ianya saya pelajari dengan Shahrul Chef di tempat saya bekerja. Saya diberitahu yang ianya adalah Nasi Ayam Hainan, maka pada saya ianya adalah Nasi Ayam Hainan. Tak perlu nak soal banyak, yang penting sedap.
Pertama kali makan nasi ayam ini di Cafe Sasana Kijang. Kerana sangat sedap, saya berusaha menanya sana sini, siapa yang memasaknya sehingga saya diperkenalkan pada Shahrul. Kejadian ayam saya ini, tidaklah secantik ayam yang disediakan Shahrul. Mungkin kerana saya tidak menunggu ayam betul betul kering.
Saya menyediakan 2 ekor ayam, satu ekor dibakar menggunakan air fryer tapi saya dah terlebih suhu sehingga bahagian atasnya terlebih bakar. Manakala yang dibakar menggunakan oven, cantik dan elok sedikit. Nak lagi cantik, lepas keluar dari oven, siramkan dengan minyak panas.
Hari ini saya tidak menyediakan sambal halia dan juga saya tidak menggunakan sambal cili yang diajar oleh Shahrul. Kalau mengikut resipi sambal cili Shahrul, selepas dikisar cili, bawang dan halia, ianya ditapis dan dimasukkan cuka dan garam.
Memang agak remeh untuk menyediakan nasi ayam versi ini tapi berbaloi baloi kerana ianya sedap sangat sangat. Ayam nya masih juicy dan sambal cili dan kicap cair menjadikan nasi ayam bertambah sedap. Sambil makan, berulang kali saya menyebut akan keenakannya.
Sebenarnya tidak mudah untuk saya mendapat resipi ini. Shahrul sibuk dan setiap kali saya mesej, lambat untuk dia menjawab kerana beliau bekerja di dapur kan. Saya pulak ketika itu bekerja pejabat. Jadi saya tanya sikit sikit dan setelah lengkap, baru saya tulis resipi ini sendiri berdasarkan mesej WhatsApp saya dengan Shahrul. Saya mengambil masa bertahun untuk melengkapkan resipi nya. Shahrul tidak bagi atau menulis resipi untuk saya, apa lagi memberi resipi sedebuk macam tu.
Itu lah yang saya tengok ramai jer yang menulis komen di Instagram individu famous macam orang kerabat, orang kenamaan dan selebriti dengan komen nak resipi, share resipi, please dan macam macam lagi.
Saya nampak semuanya tidak dilayan. Itu tandanya mereka tak nak kongsi resipi. Mereka hanya mahu kongsi gambar masakan sahaja. Jadi tak perlu lah minta minta. Ambil jer resipi dengan orang yang ikhlas dan sudi kongsikan. Itu lebih baik.
Jom layan resipi yang saya gunakan dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Nasi Ayam Hainan
Oleh: Azie Kitchen
Ayam Madu
1 ekor ayam - jangan dipotong
¼ cawan maltos
½ cawan cuka biasa
½ sudu kecil pewarna merah
¼ cawan air
Cara cara:
Rebus air sehingga mendidih dan rendam ayam lebih kurang 1 minit sehingga kulit luar ayam masak dan hilang hanyir. Pastikan seluruh badan ayam terendam. Nota: boleh masukkan lemon dalam air rebusan, jika suka.
Angkat dan gantung selama 5 minit. Saya rendam selama 8-10 minit untuk pastikan ayam cukup masak selepas dibakar.
Panaskan campuran maltos sehingga mendidih. Lepas tu siramkan ayam dengan campuran maltos. Kemudian gantung sehingga kering.
Bila dah kering, ulang siram kali kedua. Boleh ulang 3-4 kali supaya nampak cantik. Selepas itu, gantung selama 2-3 jam. Masa ini, kulit ayam akan menegang.
Selepas dah kering, baru masuk campuran 5 spices yang dicampur dengan sedikit garam dan serbuk pati ayam ke dalam perut ayam.
Panaskan oven pada suhu 180C, baru masukkan ayam. Letak ayam atas jaring. Tak perlu balut supaya garing dan air jatuh di bawah. Bakar selama 30-60 minit. Nota: ayam boleh juga digoreng.
Selepas keluar dari oven, siram dengan minyak panas untuk kulit ayam lebih cantik.
Setelah sejuk, baru dipotong supaya isi ayam tidak hancur. Susun di dalam pinggan hidangan dan tabur dengan daun ketumbar, daun bawang dan karot yang dihiris halus memanjang.
Nota:
Nota:
Kalau mahu dimasak pagi, bolehlah ayam diperap sebelah petang. Lagi lama diperap, lagi sedap.
Lebihan campuran maltose boleh simpan, bekukan dan guna banyak kali. Resepi asal, 1 bahagian campuran maltose adalah cuka merah tapi sebab tiada cuka merah, saya guna 2 bahagian cuka biasa dan dimasukkan pewarna merah.
Nasi Ayam
Bahan bahan:
5 cawan beras = 6 ½ cawan air - rendam seketika
4 ulas bawang putih - ketuk
5 biji bawang merah - hiris
2-3 inci halia - ketuk
1 helai daun pandan
2-3 sudu besar mentega
4-5 sudu besar minyak ayam
1 sudu besar garam
Cara cara:
Panaskan mentega dan tumis bawang bawang dan halia sehingga bawang keperangan.
Masukkan air rebusan ayam dan garam. Masak sehingga mendidih. Setelah mendidih, masukkan beras. Nota: saya guna air biasa kerana saya menggunakan minyak ayam.
Tuang minyak ayam dan kacau rata. Masak dalam periuk elektrik seperti biasa.
Kuah Sup
Tulang dan kepak ayam - potong kecil
Daun bawang
Sup bunjut - atau bunga lawang dan bunga cengkih
Garam
Gula
Rebus tulang ayam sekejap sahaja. Tapis tulang dan masukkan semula ke dalam periuk. Buang air rebusan untuk elakkan sup hanyir. Masukkan air baru dan rebus sehingga ayam masak untuk dijadikan air rebusan untuk nasi ayam dan kuah sup.
Masukkan sup bunjut atau bunga lawang serta bunga cengkih. Akhir sekali, masukkan garam dan gula. Masa dihidang, taburkan daun bawang.
Kicap
1 cawan kicap cair
½ cawan air
3 ulas bawang putih - ketuk
2 inci halia - diketuk
Rebus kicap dengan semua bahan di atas sehingga mendidih. Jika terlebih masin, tambahkan air sedikit demi sedikit.
Sos Cili
3-4 biji cili merah - 45 gram
2 ulas bawang putih
2 ½ sudu besar gula pasir
3 sudu besar cuka
1 sudu kecil garam
Kisar semua bahan di atas dan sesuaikan rasa.
Sambal Halia
Halia muda
Minyak panas
Garam
Kisar halia sehingga hancur dan tapis airnya. Tuang minyak panas ke dalam halia yang dikisar. Masukkan garam secukup rasa.
Catat Ulasan for "Nasi Ayam Hainan Azie Kitchen Yang Harus Dicuba"
Add your comment