Mee Hoon Goreng Daun Limau Purut Yang Sangat Sedap
Sekarang ada istilah baru marhaen dengan kayangan. Tak pasti lah siapa yang mula menggunakan istilah kayangan untuk digambarkan mereka yang kaya, ternama dan berkedudukan.
Istilah mulai timbul apabila terdapat perbezaan layanan bila kes yang sama melibatkan orang biasa dan orang yang berkedudukan ini. Contoh bila kes melibatkan pelanggaran SOP semasa perintah kawalan pergerakan sekarang ini.
Pada saya, mudah jer. Rezeki memihak kepada mereka. Kalau yang perempuan, sebab jadi selebriti, dapat kawin dengan orang kaya, kerabat atau orang berkedudukan, terus diletak sebagai kayangan. Hahaha hakikatnya manusia juga yang mengangkat kedudukan tersebut. Aduhaai.
Tapi ada juga memang jadi kayangan kerana lahir dalam golongan kayangan. Mereka tak perlu bekerja seperti kita mencari rezeki pagi sampai petang. Duduk di rumah bermain dengan haiwan peliharaan eksotik atau dengan kereta kereta mewah sahaja.
Walau siapa pun kita, bersyukur kerana dengan bersyukur kita akan rasa kaya, rasa cukup dan rasa bahagia seperti orang lain juga. Rumah kecil pun rasa seperti istana. Yang penting, cari kasih sayang Allah supaya kita akan menjadi orang kayangan selamanya di akhirat kelak. Kehidupan dan kayangan yang abadi. OK sekarang kita masuk pula bab masakan.
Saya menyediakan mee hoon goreng untuk hidangan juadah pagi raya kami. Itu sebab pagi raya, anak anak makan lemang dengan rendang, nasi minyak dengan ayam masak merah dan dalca tapi saya memilih mee hoon goreng daun limau purut.
Tak tahu macam mana nak tulis tapi saya suka sangat dengan mee hoon ini. Rasa daun limau purut menjadikan ianya sangat unik dan sedap. Memasaknya pun cukup mudah dengan bahan yang simple dan menggorengnya pun tidak lama seperti mee hoon lain yang menggunakan cili kering kisar.
Siapa yang belum pernah mencuba resipi ini, anda harus mencuba dulu. Jika anda suka daun limau purut dan mee hoon ala ala tomyam, mee hoon goreng daun limau purut adalah sangat menepati.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...
Mee Hoon Goreng Daun Limau Purut
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 paket mee hoon - 350 gram
Udang secukupnya - buang kulit
1 mangkuk karot
3 biji telur
1 sudu besar garam
¾ cawan minyak
Bahan kisar:
2 biji bawang besar - 250 gram
3 biji cili hijau - 2 cili padi, jika mahu pedas
2 biji cili merah
18 helai daun limau purut - buang tulang
Bahan hiasan:
Daun bawang
Bawang goreng
Cara cara:
Mee hoon direndam dengam air sejuk dalam 20-30 minit. Tos dan ketepikan.
Kisar cili dan bawang besar sehingga hancur. Kemudian baru dimasukkan daun limau purut. Jangan terlalu hancur.
Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
Masukkan udang dan karot. Kacau rata.
Masukkan mee hoon dan garam. Kacau rata.
Ketepikan mee hoon dan masukkan telur. Biarkan telur separuh masak, baru digaul rata dengan mee hoon.
Masak sehingga mee hoon terbit minyak. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat dan dihidangkan. Tabur daun bawang dan bawang goreng.
Catat Ulasan for "Mee Hoon Goreng Daun Limau Purut Yang Sangat Sedap"
Add your comment