A Keeper Recipe Soto Ayam Sedap Di Hari Raya Ketiga
Apabila masuknya Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Baginda S.A.W ialah puasa enam hari. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [HR Muslim: 1164].
Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diberikan pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.
Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Haa sangat besar pahalanya kan. Jadi amat rugilah jika kita yang masih sihat tidak mengambil tawaran yang Allah berikan ini. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, sentiasa memberi peluang untuk kita menambah pahala dan amalan. Cuma kita yang tidak tahu mengambil peluang sementara nyawa masih di kandung badan. OK sekarang kita masuk pula bab resipi.
Saya telah menggunakan resipi ini lebih 30 tahun. Resipi yang saya pelajari dari rakan sekerja yang berasal dari Johor. Sejak dulu, inilah resipi yang saya guna untuk memasak soto di majlis rumah terbuka kami.
Saya menghidangkan soto ini untuk hidangan sarapan pada hari raya ketiga yang lalu. Nana juga membawa untuk Alain di hospital. Soto hari ini sesuai untuk hidangan 10 orang. Memang sedap sangat, lebih lebih lagi bila makan secara beramai ramai.
Jom layan resipi yang saya gunakan dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa klik iklan di atas blog saya dan juga klik follow blog tau. Selamat mencuba semua...
Soto Ayam Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ekor ayam
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
2 sudu besar serbuk lada putih
Cengkih, bunga lawang, kayu manis, pelaga
1 cawan santan pekat - 1 kotak santan 200 ml
3 batang serai - ketuk
1 sudu besar garam kasar
1 kiub ayam - opsyenal
3 liter air
1 cawan minyak masak
Bahan kisar:
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan rempah penumis, bahan serbuk dan bahan kisar sehingga wangi dan terbit minyak.
Masukkan air dan masak sehingga mendidih. Masukkan serai dan lada putih.
Masukkan ayam dan bila ayam masak, keluarkan ayam dan perap dengan kicap masin seketika sebelum digoreng seketika sahaja. Bila sejuk, bolehlah dicarik halus.
Setelah mendidih, masukkan santan, serbuk perasa dan garam.
Sambal Kicap
Bahan bahan:
12 biji cili padi - ikut suka nak pedas banyak mana
4 ulas bawang putih
¼ cawan + 2 sudu besar kicap lemak manis - 100 ml
1 sudu kecil bawang goreng
1 sudu kecil gula
Goreng cili api dan bawang putih (tak perlu hiris) dengan 1-2 sudu besar minyak. Angkat cili dulu dan terus goreng bawang putih sehingga keperangan.
Masukkan bahan digoreng termasuk minyak sekali dalam blender, masukkan kicap dan gula. Kisar halus.
Begedil
4-5 biji ubi kentang - hiris nipis
6 sudu besar daging kisar - masak dengan 1 sudu besar minyak dan 1 sudu kecil bawang putih cincang
4 sudu besar bawang goreng
1 sudu besar lada sulah - tumbuk
1 sudu kecil garam
1 kiub daging - opsyenal
Daun bawang dan daun sup
Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng ubi kentang sehingga keperangan. Angkat dan terus tumbuk ketika masih panas.
Masukkan semua bahan ke dalam bekas dan gaul rata. Bulat bulatkan mengikut saiz yang disukai.
Sebelum menggoreng, leperkan dan celup ke dalam telur 2 biji yang telah dipukul dengan garfu.
Panaskan minyak dan goreng sehingga masak. Angkat dan tos.
Bahan lain:
Suhun - goreng
Kacang tanah goreng
Bawang goreng
Daun sup/daun bawang
Taugeh - saya tak ada hari ini
Nasi impit/mee hoon
Catat Ulasan for "A Keeper Recipe Soto Ayam Sedap Di Hari Raya Ketiga"
Add your comment