Pulut Kuning Lembut, Lemak Dan Berkilat Versi Azie Kitchen
Hari cuti Wilayah Persekutuan 1 Februari 2021, saya ke UTC Shah Alam kerana menpunyai urusan dengan JPJ yang perlu diselesaikan. Kalau nak tunggu PKP tamat, tak tahu bila. Jadi keluarlah juga dengan menjaga SOP yang ditetapkan.
Semasa dalam perjalanan balik, saya singgah mengambil pulut kuning yang ditempah dari Zarina Zainuddin. Memang sedap pulut beliau. Lembut, lemak dan berkilat walaupun sehingga ke malam.
Saya sebenarnya terlalu obsess dengan pulut kuning. Saya tidak pernah jemu untuk mencuba dan mencuba untuk menghasilkan pulut kuning terbaik dari yang terbaik. Pantang dengar orang pandai buat pulut kuning, saya memang akan menanya. Kalau masa di kampung dulu, semua urusan pulut kuning kalau ada majlis akan diserahkan pada sepupu kami, Kak Nik Yam.
Beli 4 bekas tapi habis licin. Jadi saya memikir, lebih baik saya menyediakan sendiri pulut kuning. Jadi sebelum tidur, saya turun semula ke dapur untuk membasuh dan merendam beras pulut. Memang kalau nak buat pulut kuning yang lembut, beras pulut perlu direndam semalaman barulah ianya cukup kembang, akan jadi lembut dan warnanya juga menyerap dengan cantik.
Ada 3 cara menyediakan pulut kuning. Pertama cara yang saya akan tunjukkan di bawah ini. Ini adalah cara tradisional di mana pulut dikukus tanpa santan sehingga masak sebelum dituangkan santan. Pada saya ini lah cara yang kita harus pelajari supaya ianya kekal menjadi kebanggaan kita orang Melayu.
Santan pula ada dua cara, samada dimasak dahulu atau tidak. Jika santan tidak dimasak, selepas digaul dengan santan, boleh juga dikukus tanpa ditutup penutup pengukus dalam 5 minum bagi memastikan pulut tahan basi. Kalau kuantiti yang dimasak sedikit sahaja, saya tak kukus semula pun, wap dari panas pulut akan memasakkan santan. Yang penting pulut habis sekali makan. Lebih sedap sebenarnya kerana masih terasa lemak santan.
Cara kedua, ialah cara seperti mana saya menyediakan kuih pulut serimuka di SINI di mana pulut dikukus bersama santan di dalam loyang sehingga santan kering.
Ketiga seperti cara saya menyediakan nasi lemak kukus di SINI di mana pulut dimasak di atas api bersama santan sambil dikacau sehingga santan kering. Setelah itu, pindahkan ke dalam pengukus dan dikukus sehingga masak sepenuhnya.
Ada lagi satu cara, cara zaman moden iaitu dimasak dengan periuk tekanan jer. Masukkan santan separas dengan beras pulut dan dimasak selama 8 minit. Siaaap. Pun bolehlah juga, kira macam pulut kuning versi tanak. Cara ni senang, tak perlu rendam pun. Rendam sekadar nak beri warna kuning menyerap pada pulut sahaja.
Pulut kuning selain sedap, mestilah cantik. Berasnya jangan pecah perut, istilah keluarga saya. Mesti nampak sebiji sebiji begitu. Mesti nampak berkilat dan baunya wangi. Pulut kuning sedap dimakan dengan rendang kerang di SINI selain rendang ayam atau rendang daging. Untuk hari ini, saya sediakan Sambal Sardin di SINI dan Rendang Ayam Kampung di SINI.
Jom layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...
Pulut Kuning Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
500 gram beras pulut
½ inci kunyit hidup
½ sudu kecil serbuk kunyit
1-2 keping asam keping
1 helai daun pandan
Bahan B:
200 ml santan segar pekat
2 helai daun pandan
1 ½ sudu kecil garam
1 sudu besar gula - opsyenal
1 sudu besar minyak masak - jika guna santan kotak
Cara cara:
Basuh beras pulut dan tos. Masukkan air kunyit hidup dan digaul rata sehingga sekata. Masukkan serbuk kunyit dan air secukupnya.
Rendam beras pulut bersama air kunyit hidup, serbuk kunyit dan asam keping selama semalaman. Ianya akan menjadikan pulut kembang dan warna menyerap dengan cantik. Basuh dan tos beras pulut.
Kukus beras pulut dengan 2 helai daun pandan sehingga masak. Buat lubang di tengah tengah. Kacau beberapa kali ketika dikukus supaya pulut masak sekata.
Sementara itu, masak santan (dengan minyak jika santan kotak), garam dan gula atas api perlahan sehingga sekadar mendidih sahaja. Jangan sehingga pecah minyak.
Kemudian keluarkan pulut dari periuk pengukus dan masukkan ke dalam bekas besar. Tuang santan dan digaul rata. Tuang santan sedikit demi sedikit dan biar dia serap sekejap. Gaul dengan cepat sehingga pulut kelihatan berkilat. Nota: tak perlu habiskan santan, jika pulut telah lembut.
Nota;
Jika santan tidak dimasak, kukus sekali lagi pulut tanpa penutup pengukus supaya pulut tahan lama.
Jika mahu dibuat pulut hiasan, bentukkan dalam acuan ketika pulut masih panas.
Jika suka, gula boleh ditabur selepas pulut digaul dengan santan. Pulut akan menjadi cantik berkilat.
hai sis azie. alamak sy peminat pulut kuning! sedapnyaaaaaa tak kisah hidang dengan apa jugak hehehe
BalasPadamsalam kenal,
anamizu :)