Dalca Tulang Tanpa Santan Yang Sangat Sedap
Hari ini ramai sahabat sahabat rakan sekerja yang masih bekerja menerima bonus. Alhamdulillah dapat juga menampung perbelanjaan persekolahan anak anak atau menampung bayaran cukai pendapatan.
Teringat beberapa tahun dahulu, saya diberikan zero bonus oleh boss saya. Dengan kata lain, saya tidak diberikan bonus langsung. Seolahnya saya langsung tak bekerja sehingga tidak layak mendapat bonus. Dia meminta saya mencerminkan muka sendiri dengan melihat cermin. Jangan lihat kaca katanya. Takut nampak orang lain.
Sebenarnya perkara yang sama patut dia juga lakukan. Apa apa pun ujian itu tidak menjadikan saya miskin dan berhutang walaupun di saat itu saya sangat sedih dan rasa sangat demoralise. Sebaliknya dia yang berhutang dengan saya akan tanggungjawab yang perlu dijawab di hadapan Allah.
Lebih lebih lagi di saat saya mengerjakan umrah, rancak mereka cuba menjatuhkan saya. Memanggil staf saya untuk cuba mencari kelemahan saya. Kesimpulannya di dunia ini, setiap apa yang dilakukan akan dipertanggungjawabkan. Jangan mudah mudah nak campakkan orang itu orang ini sebagai high performance, orang ini non performancer dsb. Jangan, kerana anda akan ditanya tat kala malaikat maut memunculkan dirinya. Belum lagi di Padang Mahsyar.
Ok, setakat ini dahulu untuk kali ini. Kepada mereka yang bergelar boss, jangan buat silap dengan manusia kerana dosa tersebut hanya boleh diperbetulkan dengan manusia yang kita aniayai.
Sebelum kita teruskan, nak tanya jika anda dah klik iklan google di atas? Yang view blog saya dalam sehari hampir 100K tapi yang klik hanya 1000 sahaja. Jadi adakah anda termasuk dalam yang 1000 atau tidak? Jika tidak, bolehlah bagi satu klik. Hahaha.
Saya sebenarnya baru teringat yang blog saya telah ditukar platfrom domain blog dengan tidak menggunakan blogger yang percuma. Saya guna yang berbayar. Pengalaman pahit saya ialah bila saya terlupa membayar yuran tahunan.
Sebenarnya yuran tidak mahal tapi terlupa. Blog cattery www.catalisacattery.com saya langsung hilang tanpa dapat dikesan lagi. Sedih dan sangat kecewa. Jadi saya sangat kuatir jika blog kesayangan ini satu hari, tidak dibayar yuran kerana terlupa. Memang saya bayar setiap 5 tahun sekali.
Saya sebenarnya tak suka makan dalca. Tak tahu kenapa tapi setiap kali ke majlis perkahwinan yang menyediakan lauk dalca, memang saya tak akan ambil. Mungkin kerana saya tak biasa makan lauk ini. Kalau di kampung saya, akan disediakan teresek dan sira labu untuk hidangan sayur dalam majlis perkahwinan.
Seingat saya, ini adalah kali kedua saya menyediakan lauk dalca. Pertama kali, rasanya dua puluh tahun lepas menggunakan resepi yang diajar oleh Haji Hasbullah, rakan sekerja di jabatan Personel ketika itu.
Tapi serious dalca saya hari ini sangat mantap, sangat sedap sehinggakan saya makan menambah nambah. Dah habis makan nasi, tambah lagi dalca untuk dicicah dengan roti gardenia. Terasa betapa nikmatnya bila apa yang kita kunyah terasa sedap di selera kita. Ada juga benda yang kita makan, tak terasa sedap. Mungkin ketika itu, makan kerana lapar sahaja.
Jom layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa tengok video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...
Dalca Tulang Tanpa Santan Yang Sangat Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 kg tulang lembu
5 sudu besar serbuk kari daging - 60 gram
1 cawan kacang dal - direbus
2 kuntum bunga lawang
1 inci kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 liter air
1- 1 ½ sudu besar garam
1- 1 ½ sudu kecil pes asam jawa
¾ cawan minyak masak
Bahan kisar:
10 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 inci halia
Bahan Sayuran:
3-4 biji ubi kentang - belah empat
2 batang lobak merah - potong panjang 1 inci
2-4 biji terung bulat - potong
1 mangkuk bunga kobis
2 biji tomato belah empat
3 batang cili hijau - potong 2
1 mangkuk kacang buncis
Bahan Tumis:
2 sudu minyak masak
8 biji bawang merah - hiris
2 tangkai daun kari
Cara cara:
Tulang direbus dengan 2 liter air bersama kacang dal sehingga empuk. Saya masak guna periuk tekanan selama 25 minit. Nota: kalau masak guna periuk biasa, bolehlah direndam kacang dal satu malam supaya cepat empuk.
Sementara daging direbus, panaskan minyak dan tumis rempah sekawan dengan bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan rempah kari daging dan kacau rata lagi sehingga garing. Masukkan air dan biarkan sehingga terbit minyak.
Setelah daging empuk, tuang bahan tumis ke dalam kuah daging. Kacau rata dan masak sehingga mendidih.
Masukkan santan, jika suka. Santan adalah opsyenal. Nota: saya tak masukkan santan. Warna akan lebih pucat jika menggunakan santan.
Masukkan sayuran dari yang keras sehingga yang mudah lembut dan masak sehingga lembut. Akhir sekali, masukkan tomato, pes asam jawa dan garam. Renihkan seketika.
Di dalam kuali lain, panaskan minyak dan tumis bawang hiris dan daun kari sehingga keperangan. Tuang ke dalam periuk sekali dengan minyak. Jangan dikacau. Tutup periuk dan biarkan selama beberapa minit sebelum dikacau.
Sedap dimakan dengan nasi minyak, nasi tomato atau dicicah dengan roti canai dan roti putih. Selamat mencuba...
terima kasih untuk resepi ni ;)
BalasPadam