Daging Masak Rose
Saya menyediakan daging masak rose ini pada tahun 2020 tapi belum sempat di update di sini. Saya pun tak menyangka bahawa saya menjadi sangat sibuk selepas bersara. Mungkin kerana saya tidak sempat berehat tetapi sebaliknya terus memulakan projek buku edisi ke2 saya iaitu Resepi Azie Kitchen, Hebat Di Dapur.
Alhamdulillah kerana buku telah pun berjaya disiapkan walaupun ianya telah melepasi tarikh yang saya tetapkan pada asalnya. Jadi kepada follower saya, jangan lupa untuk mendapatkan naskah ini kerana bila stock habis, tak akan ada lagi. Jangan lupa, blog adalah tertakluk kepada renewal.
Sedangkan buku adalah hakmilik kekal kita. Hadiahkan buku kerana ia akan menjadi ilmu yang berkekalan yang boleh pula dipanjangkan kepada anak anak dan cucu cicit. Atau boleh selamanya kita mendapat manafaatnya. Jadi kalau nak beli, boleh email di haziahjaya@hotmail.com
Bagus juga bila kita sentiasa merasa sibuk kerana tidaklah terasa bosan berada keseorangan diri di rumah. Insya Allah selepas ini saya akan menulis buku berupa novel yang telah lama tertangguh. Saya mula menulis sebaik sahaja menamatkan pengajian di universiti namun ianya terhenti begitu sahaja dek kesibukan dengan tugasan di pejabat.
Saya akan cuba untuk menyambung semula episod yang telah dimulakan dulu. Ianya berkisahkan kisah cinta dan kekuatan dan kecekalan hati seorang wanita menghadapi hidup yang penuh dengan cabaran.
Daging masak rose ini saya belajar di Instagram. Salin dan terus cuba. Alhamdulillah sedap dimakan dengan nasi atau pulut kuning. Jom kalau ada yang nak cuba, boleh salin resepinya di bawah ini.
Saya suka masak daging kerana ianya tahan lama dan boleh disimpan di dalam freezer. Bila rasa nak makan, dah ada. Tinggal di panaskan sahaja. Ya lah nak masak daging kan agak memakan masa untuk daging empuk.
Jom layan resepinya di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Daging Masak Rose
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 kg daging - hiris kecil
1 sudu kecil gula
1 sudu besar garam
1 cawan minyak masak
Bahan-bahan perap:
4 ulas bawang putih - cincang
1 inci halia - cincang
4 sudu besar gula merah
2 sudu besar cuka
3 sudu besar kicap manis
3 sudu besar kicap pekat
Bahan tumis:
2 biji bawang merah besar - hiris
4 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
Bahan kisar:
3 biji bawang merah besar
5 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
4 batang serai
30 tangkai cili kering - rendam air panas & tos
1 cawan air
Cara-cara:
Perap daging dengan bahan perap selama 3-4 jam. Panaskan 1 cawan minyak dan tumis bahan hiris sehingga naik bau dan sedikit keperangan.
Masukkan bahan kisar dan kacau rata sehingga cili benar benar masak.
Masukkan daging yang telah diperap, gaul rata, tutup periuk dengan penutup, biarkan selama 30 minit dengan api kecil atau sehingga daging empuk. Boleh tambah air, jika daging belum empuk. Masak sehingga kuah hampir kering yang disukai.
Akhir sekali, masukkan garam dan serbuk perasa secukup rasa. Boleh tutup api.
Nota:
Cili kisar yang dikeringkan air adalah 3 sudu besar.
Catat Ulasan for "Daging Masak Rose "
Add your comment