Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Bubur Barli Rancangan Nona TV3 dan Cerita Cinta Sejati


Sebenarnya telah lama saya tidak menonton televisyen apalagi Neflix tapi baru baru ini, bila saya asyik stress dan kepenatan dengan projek buku terbaharu saya iaitu Resepi Azie Kitchen, Hebat Di Dapur, barulah saya menonton movie. Haa jangan lupa mendapatkannya kerana buku masakan sekarang menjadi koleski yang sangat rare dan berharga. Koleksi yang boleh disimpan turun temurun. Sesiapa yang berminat, boleh email saya di haziahjaya@hotmail.com.

Berbalik kepada program TV, saya pun mencari movie yang menarik untuk ditonton. Akhirnya saya pilih movie berjudul VIP berkenaan kisah seorang suami yang selama ini disangkakan sangat loving di mata isterinya, rupa rupanya menjalin hubungan sulit dengan perempuan lain. Perbuhungan menjadi dingin dan menimbulkan stress kepada kedua dua pihak. Si suami walaupun mengakui sangat mencintai isterinya membuat keputusan untuk memilih perempuan kedua. 

Perhubungan dan ketidaktenangan berakhir apabila mereka akhirnya bercerai dan menjadi sahabat. Kesimpulannya, kalau tiada lagi cinta, tak perlu memaksa diri untuk hidup berpura pura sehingga ke mati. Kenapa takut untuk bercerai? 

Kalau tiada lagi rasa sayang, kalau tidak lagi boleh menganggap si isteri teman yang boleh mendengar segalanya, ceraikan sahaja lah. Dengan perempuan yang baru dikenali, boleh pula meluahkan masalah dan isi hati. Alahaii, hipokrit. Menyampah. 

Itu yang banyak berlaku bila si suami mula bercerita keburukan dan kelemahan isteri pada perempuan baru. Siap mengadu sehingga cerita isteri tidak suka balik kampung keluarganya juga diceritakan. Dah tahu kelemahan, si perempuan ini sanggup berada di kampung seorang diri semata mata ingin membuktikan dia lebih baik dari si isteri. Betapa hipokritnya. 

Sebetulnya telah lama saya mengakui bahawa di dunia ini, tiada cinta sejati. Tak payah lah mencarinya. Cinta sejati hanya pada Allah dan Rasulullah sahaja. Cinta sejati ialah bila siapa yang kita cintai akan mencintai dan menjaga kita dengan cintanya. Jadi fikir fikirkan. Hidup kita yang abadi di akhirat. Mahligai kita yang abadi juga di akhirat. 

Berbalik pada bubur barli, ianya adalah kegemaran cucunda saya, Ammar Yahya. Kalau buat bubur, saya lebih suka guna santan kotak kerana lebih cantik kuahnya. Tak berketul dan tidak cepat pecah minyak.


Kepada sesiapa yang belum pernah cuba memasak bubur barli, bolehlah cuba kerana ianya pasti menjadi kegemaran suami dan anak anak. Lagi pulak, bubur seperti ini sihat dan mengenyangkan.  

Jom layan resepi di bawah ini. Jangan lupa untuk klik iklan yang keluar di blog saya dan boleh tengok video rancangan Nona di SINI. Selamat mencuba...  



Bubur Barli
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 cawan barli - rendam selama 1 jam dan direbus dengan 8 cawan air 
1 ½ cawan santan
Sedikit garam

Untuk air gula:
¾ cawan gula pasir
2 sudu besar gula merah
1 helai daun pandan
½ cawan air 

Cara cara:
Masak 8 cawan air sehingga mendidih dan masukkan barli yang telah direndam selama 1 jam sehingga barli kembang. Boleh juga direbus dalam periuk tekanan selama 25 minit. 


Di dalam periuk lain, masakkan gula pasir, gula merah dan ½ cawan air sehingga mendidih dan gula larut. Tapiskan air gula ke dalam periuk berisi barli tadi. Kalau guna gula merah berkualiti tinggi, tak perlu tapis.

Setelah mendidih, masukkan santan dan sedikit garam. Kacau sehingga mendidih lagi. Masak atas api sederhana sahaja supaya tidak pecah minyak. Sedia untuk dihidangkan.


Nota:
Bubur akan jadi lebih pekat selepas sejuk.

1 ulasan for "Bubur Barli Rancangan Nona TV3 dan Cerita Cinta Sejati"