Sambal Tumis Sotong Sedap
Malam tadi saya telah ketinggalan boat. Baru ternampak posting yang seorang rakan Instagram telah meninggal dunia beberapa minggu yang lalu dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran rumah saya. Arwah selalu juga like dan kadang kadang komen di IG saya
Innaalillaahi wainnaa ilaihiroojiuun. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Sangat saya kagumi ketabahan beliau membenarkan suaminya berkahwin lain. Dikatakan beliau sendiri yang meminang.
Berkahwin lebih dari satu adalah dibenarkan dalam Islam. Jadi saya tidak mahu komen bab ini namun jika tidak dapat berlaku adil atau tidak mampu, berkahwin satu adalah lebih baik. Yang saya terkesan ialah kerana selalu melihat gambar beliau di IG tapi hari ini melihat gambar arwah di dalam kain kapan yang ditutup hanya separuh sahaja di tanah perkuburan.
Ya setiap yang hidup mesti merasai mati tanpa mengira pangkat, darjat dan kekayaan di muka bumi ini. Semua sama, yang dibawa hanya kain kapan. Tiada harta dan kekayaan pun yang dibawa kecuali amalan yang soleh. Jadi sentiasa lah bersedia. Lakukanlah sebanyaknya amalan dan kebaikan hatta bersedekah setengah biji buah kurma. Mudah mudahan kita diberikan rahmat dan petunjuk Allah. Amalkan doa ayat ke10 surah Al Kahfi. 2 perkara yang sangat penting di mukabumi ini untuk menentukan kejayaan di akhirat. OK setakat ini dahulu dan semoga bermanafaat.
Semua orang boleh menyediakan sambal tumis sotong tapi sedikit perbezaan cara penyediaannya boleh membezakan sambal sotong yang sedap atau tidak. Syarat pertama ialah cili mesti ditumis garing sehingga terbit minyak supaya sambal tidak terasa cili masih mentah.
Kedua, sambal yang cantik kejadiannya mestilah tidak terlalu berkuah dengan air sotong. Sambal mesti ada minyak minyak sedikit bukan sambal pekat. Sotong juga tidak liat dek dimasak terlalu lama.
Dibesarkan dalam keluarga yang tidak pernah memasak sambal tumis, saya belajar dan belajar dari kawan kawan pejabat dan juga membaca cara cara orang lain menyediakan sambal tumis.
Memasak memang memerlukan praktis dan praktis untuk menghasilkan kejadian masakan yang cantik selain air tangan. Jadi anak anak gadis, belajarlah memasak dari awal agar anda menjadi wanita hebat di dapur.
Maaf jangan ada yang tersinggung. Saya mungkin masih ''old school" dalam bab lelaki di dapur kecuali jika mereka berkerjaya sebagai tukang masak atau memang menjalankan perniagaan makanan. Sekadar tologn tolong isteri memasak di dapur sikit sikit OK lah. Anak saya Aween pun memasak sendiri lauk sesuai dengan diet beliau. Hahaha jangan marah tau. Itu hanya pendapat dan pandangan peribadi saya.
Jom layan resepi di bawah ini dan cara penyediaannya. Selamat mencuba...
Sambal Tumis Sotong
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
650 gram sotong
3-4 sudu besar cili kering kisar
½ biji bawang besar Holland
1 ½ sudu besar gula
½ sudu kecil garam
½ sudu kecil pes asam jawa
1 - 1 ¼ cawan minyak masak
Bahan kisar:
1 biji bawang besar
8 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak. Masukkan cili kisar dan tumis dengan api perlahan sehingga cili garing dan terbit minyak. Minyak kelihatan berbuih.
Masukkan gula dan kacau rata sehingga sambal bertukar menjadi warna gelap. Masukkan air asam jawa dan garam.
Kacau lagi sehingga sambal kering dan terbit minyak cantik. Masukkan sotong dan kacau rata kerana sotong tidak boleh dimasak terlalu lama.
Masukkan bawang besar hiris dan kacau sehingga bawang layu. Bolehlah ditutup api.
Nota:
Jika minyak berlebihan, boleh ceduk keluar dan simpan untuk digunakan memasak mee goreng atau nasi goreng.
Boleh juga, digoreng sotong dalam kuali tanpa minyak untuk mengeluarkan air sotong. Air sotong kemudian dimasukkan dalam sambal. Tujuan supaya sambal tidak berkuah dengan air sotong.
Nampak sedap kejadiannya
BalasPadam