Rendang Cili Padi Ayam Kampung
Setiap manusia, tidak lepas dari diuji tapi saya berpegang kepada Allah tidak akan menguji hambaNya di luar kemampuan mereka. Dalam ayat 286 surah Al Baqarah antara lain menyebut Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
Saya meminta nasihat dari Ustaz Ibrahim Muhammad untuk zikir atau doa yang boleh dihafal di saat menghadapi masalah besar yang sukar. Ustaz memberikan satu zikir yang boleh diulang ulang baca setiap masa yang hadis diriwayat at Tirmizi dibaca,
Ya Hayyu Ya Qayyum birahmatika astaghith
يا حي يا قيوم برحمتك استغيث
Bermaksud, Wahai Tuhan Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Dengan Sendiri aku mohon dengan rahmantMu minta diselamatkan.
Saya menangis dan menitis air mata bila membaca zikir ini. Terasa Allah sangat dekat untuk kita menangis dan merayu. Saya tidak pasti dengan orang lain tapi saya memang sangat penakut orang nya. Sejak kecil sehingga sekarang pun. Penakut ini juga memberi masalah pada satu satu ketika. Itu sebab jangan suka menakutkan anak anak, kelak kesannya terbawa sehingga dewasa.
Jadi kepada sesiapa yang menghadapi apa jua masalah besar atau kecil, cubalah amalkan zikir di atas. Boleh google dalam youtube si SINI untuk mendengar bacaan yang lebih jelas. Tiada yang dapat menolong kita kecuali Allah. Sesungguhnya tiada daya dan kekuatan melainkan pertolongan Allah jua. Kita perlu berusaha dan melakukan sebaiknya supaya tidak menyerah kalah.
OK lah hari ini saya ingin kongsikan satu resepi iaitu rendang ayam kampung menggunakan cili padi. Tak tahu lah resepi rendang Nogori atau tidak tapi ini yang saya belajar dari orang Nogori. Boleh klik entri sebelum ini di SINI.
Sekali sekala tukar selera dengan menggunakan cili padi sebagai bahan untuk pedaskan rendang. Tapi saya tambah juga penggunaan cili kering kisar untuk menaikkan sedikit warna rendang. Ini adalah opsyenal.
Saya menggunakan ayam kampung. Ayam kampung ori yang dilepas bebas di bawah rumah. Bukan ayam kampung yang diberi makan dedak atau makanan organik. Saya beli 5 ekor yang kemudian ditangkap dan disembelih serta diproses. Jangan kena memasak agak lama berbanding ayam biasa.
Jom layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...
Rendang Cili Padi Ayam Kampung
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ekor ayam kampung
1 mangkuk santan pekat - 500 ml
2 keping asam keping
2 helai daun kunyit - boleh guna daun limau purut
2-3 sudu besar kerisik
1 sudu besar cili kering kisar - untuk warna
¾ sudu besar garam kasar
Serbuk perasa
½ cawan minyak
Bahan kisar:
35-40 tangkai cili api hijau
6 ulas bawang putih
2 biji bawang besar
8 batang serai
1-2 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas
2 inci halia
2 biji buah keras - opsyenal
Cara cara:
Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar sehingga kering. Nota: masukkan separuh dari garam ketika menumis.
Masukkan ayam dan kacau rata sehingga air ayam kering. Jika menggunakan ayam kampung atau ayam pencen, boleh masukkan santan cair dahulu untuk ayam empuk.
Setelah ayam empuk, masukkan santan pekat dan asam keping. Setelah hampir kering dan terbit minyak, masukkan kerisik, garam dan serbuk perasa.
Akhir sekali, masukkan daun kunyit yang dihiris halus. Masak sehingga kering yang disukai.
Nota:
Jika menggunakan ayam biasa, jika suka boleh dilumur garam kunyit dan digoreng dahulu untuk mengelakkan ayam hancur.
Catat Ulasan for "Rendang Cili Padi Ayam Kampung "
Add your comment