Kuih Seri Muka Azie Kitchen A Keeper Recipe
Alhamdulillah saya masih membuat kuih seri muka menggunakan resepi yang sama. Sebelum ini saya menyediakanya menggunakan acuan kuih lompang di SINI. Klik juga di SINI untuk entri menggunakan loyang saiz 7"x7"x3".
Sebenarnya menggunakan saiz loyang 8''x8" hari ini pun OK. Pertama lebih cepat masak. Kedua tak lah tebal sangat. Jadi sesuai untuk dimakan. Jika tebal sangat, kot lah ada yang tak habis. Kan dah membazir.
Haa sila ambil maklum yang saya hari ini hanya guna ½ adunan sahaja. Bukan resepi penuh. Rumah saya tak ramai orang, jadi saya tak perlu buat banyak banyak. Cukup sekadar dimakan untuk habis dalam masa sehari atau 2 hari sahaja.
Untuk resepi adunan penuh, guna loyang saiz 10"x10". Resepi penuh, boleh klik di SINI. Kalau nak berniaga, elok guna saiz loyang ini, senang nak dipotong. Itu sebab kena baca juga di ruang catatan sebelum mula menyalin resepi sebab saya akan tulis apa apa info penting berkaitan dengan resepi.
Ramai komen, kena baca panjang panjang dulu, baru ada resepi. Silap tu, sebab kalau tak nak baca pun boleh. Terus sahaja lah ke resepi. Tapi siapa yang rugi kalau ada info penting yang tidak diketahui.
Saya memang tak akan bertukar pada resepi yang lain untuk kuih seri muka. Saya sangat berpuas hati dengan resepi ini. Namun begitu, tidak semestinya saya tidak mencuba resepi kuih seri muka yang lain. Saya memang suka mencuba dan mempelbagaikan resepi walaupun telah menpunyai a keeper recipe.
Potongan kuih saya hari ini tidak berapa cantik kerana belum betul betul sejuk gara gara nak potong cepat untuk Hubby bawa kuih pada Nana dan Alain. Rupa tak cantik pun tak apalah, asal rasanya sedap. Betul tak?
Jom layan resepi di bawah ini dan video penyediaannya yang saya kongsi sebelum ini di SINI. Selamat mencuba.....
Kuih Seri Muka Istimewa Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen
Loyang 8''x8''x2"
Lapisan Bawah:
300 gram beras pulut - boleh juga guna 320 gram
1 ½ cawan santan - dari 1 biji kelapa
½ sudu kecil garam
Beras pulut dibasuh bersih dan rendam selama 1-2 jam. Kemudian bilas dan tos.
Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Satukan kesemua bahan dan masukkan ke dalam loyang. Pastikan santan sekadar menenggelamkan pulut. Kukus pulut sehingga masak dan lembut.
Angkat dan dikacau dengan senduk kayu supaya bergaul rata. Jika tidak melekat pada senduk, ertinya telah masak. Kemudian ditekan tekankan dengan tangan berlapik plastik/sudu sehingga padat.
Nota:
Jika santan cukup pekat dan lemak, pulut tidak akan melekat, jadi boleh guna loyang yang sama. Jika guna, santan kotak, masukkan 1 sudu besar minyak masak.
Boleh juga lapik, loyang dengan plastik atau dengan baking paper.
Hari ini saya menyediakan setengah adunan sahaja. Untuk adunan penuh, guna loyang saiz 10"x10". Adunan penuh menggunakan 3 ½ cawan beras pulut (640 gram) dan 3 cawan santan. Gandakan sahaja.
Lapisan Atas:
½ cawan air daun pandan - kisar 4 helai daun pandan
2 cawan santan segar pekat
1 cawan gula pasir - boleh kurangkan
2 biji telur – saiz B
½ cawan tepung gandum
½ sudu kecil garam
Sedikit pewarna hijau dan pewarna coklat
Kisar daun pandan dengan ½ cawan air dan tapis airnya. Ambil air daun pandan secukupnya.
Telur dan gula dipukul seketika agak agak gula hancur sedikit. Tak perlu hancur betul betul pun. Masukkan separuh dari tepung gandum. Kacau dan masukkan 1 cawan santan. Kacau lagi.
Masukkan baki tepung dan diikuti dengan baki santan. Masukkan pewarna hijau dan beberapa titis pewarna coklat untuk menghasilkan warna hijau yang lebih gelap. Tapis dan akhir sekali, masukkan ½ cawan air daun pandan dan kacau rata. Nota: Jangan terlebih pukul untuk mengurangkan buih.
Masukkan loyang lapisan pulut yang telah ditekan padat dan rata ke dalam pengukus dan kukus 5-7 minit atau sehingga panas.
Masak lapisan hijau sambil dikacau sekadar keluar wap sahaja. Tuang adunan hijau dengan perlahan lahan atas senduk kayu/sudu barulah turun ke permukaan pulut untuk elakkan lapisan pulut bocor. Nota: boleh juga jika tidak mahu dimasak terlebih dahulu, boleh tuang terus lapisan hijau atas pulut.
Kukus atas api kecil dan air pengukus sekadar mendidih (tidak mendidih dengan kuat) selama 15 minit atau sehingga kuih keras sedikit.
Setelah kuih keras sedikit, boleh dikuatkan api untuk kuih masak sepenuhnya. Kukus selama 45-60 minit atau sehingga masak. Cucuk dengan lidi, jika tidak melekat menandakan lapisan atas telah masak.
Ketika mula mengukus, buka penutup pengukus setiap 2-3 minit sekali dan tutup semula untuk membuang wap yang kuat. Ulang sehingga kuih sedikit keras. Untuk 5-10 minit terakhir, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup untuk mengeringkan air di permukaan kuih.
Biarkan sejuk selama 3-4 jam, baru dipotong dengan pisau plastik bersaiz kecil atau pisau yang dilenser dengan minyak.
Nota:
Saya kukus selama 35 minit dan kukus tanpa tudung pengukus selama 10 minit.
Untuk memotong dengan cantik, celupkan pisau ke dalam air panas dan potong. Sekiranya ada pulut melekat di pisau, bersihkan dulu. Celup pisau ke dalam air panas dan ulanglah sehingga selesai. Semasa dipotong, jangan ditarik pisau, bagi mengelakkan potongan lapisan atas menjadi tidak cantik.
Jika untuk makan pagi, seelok buat sebelah malam. Kalau untuk hidangan petang, boleh disediakan awal pagi. Kuih seri muka boleh tahan lebih 30 jam di bawah tudung saji.
Boleh juga guna 320 gram beras pulut untuk sukatan santan dan garam di atas. Juga sedap dan lembut.
www.nonwovenbagmalaysia.com.my/ www.magspremiums.com
BalasPadamMAGS PREMIUM GIFTS SDN BHD We specialize in premium and corporate gifts printing (cenderamata korporat) , Welcome to custom made your own design on the gifts. Example: non woven bags, tshirt, lanyard, keychain, etc...