Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Dari Juita Amanda

Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Dari Juita Amanda

Sebelum masuk bab resepi, saya ingin melahirkan rasa syukur dan gembira saya kerana semalam Juita menerima keputusan rasmi peperiksaan tahun akhir. Ianya bermakna Juita telah secara rasminya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda Ekonomi dari University of Manchester. Alhamdulillah kerana akhirnya Juita menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang. Sama sama doakan agar perjalanan Juita seterusnya dipermudahkan. Aameen.

OK sekarang kita masuk bab kuih lapis. Saya dan Juita berpuasa semalam. Saya memasak lauk masak lemak perut bersama umbut kelapa. Ada juga sup gear box yang dimasak menggunakan periuk Noxxa. Lauk lauk ini cukup untuk kami berbuka puasa.

Jadi sebelah petang saya cuma berehat rehat sambil melayan mesej mesej yang dihantar oleh follower di Instagram dan facebook page. Badan terasa sakit sakit selepas 3 hari berturut turut dari pagi sehingga malam menguruskan penghantaran buku buku pada mereka yang telah lama menunggu ketibaannya.  

Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Dari Juita Amanda

Bila saya menjenguk ke dapur, nampak Juita sedang menyediakan kuih lapis. Waah saya memang malas buat kuih ni apalagi kalau sorang sorang. Jadi dah dia sediakan semua bahan, saya pun ikut membantu mengelap tudung periuk pengukus. 

Saya memang suka makan kuih ni yang sangat mengasyik bila setiap kuih ditarik lapis demi lapis. Hahaha serious mengasyikkan. Menyediakan kuih lapis ni tidak susah, cuma bab mengukus tu yang tak berapa sabar kerana untuk memastikan permukaan kuih cantik, kita kena jaga dan sentiasa menengok kuih yang sedang dikukus. Tak boleh ditinggalkan begitu sahaja.

Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Dari Juita Amanda

Kuih ini sangat sedap dan cukup lembut dan terasa haruman perisa ros. Selain menggunakan tepung jagung, boleh juga menggunakan tepung ubi. Jadi kuih akan lebih berkilat dan lembut. 

Semasa berbuka saya dah makan sedikit. Dipotong walaupun masih panas panas. Pagi pagi hari ini, baru saya potong. Memang cantik jika dipotong ketika ianya benar benar sejuk. 

Jom layan resepi yang saya gunakan di bawah ini. Juga video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Dari Juita Amanda

Kuih Lapis Lembut Dan Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-Bahan
2 cawan tepung beras
½ cawan tepung gandum
½ cawan tepung jagung
1 cawan gula pasir
4 cawan santan (1 cawan santan kotak & 3 cawan air)
¼ sudu kecil garam
Sedikit pewarna merah dan perisa ros

Cara cara:
Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 7 x 7 inci. Masukkan santan ke dalam periuk. Nyalakan api dan masak sebentar sehingga ia menjadi suam-suam kuku. Tutup api.

Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk. Tuangkan santan sambil digaul rata hingga tidak berbintil. 

Tapis dan bahagikan kepada 2 bahagian. Adunan ini menghasilkan lebih kurang 1400 ml) bahagi kepada 700 ml setiap satu. Warnakan satu bahagian dengan warna merah dan letakkan perisa ros.

Masukkan loyang yang telah di sapu sedikit minyak ke dalam kukusan. Tuang ¾ cawan adunan tanpa warna ke dalam loyang. Kukus selama 5 minit dengan api kuat. 

Setelah lapisan pertama masak, tuang ¾ cawan adunan merah. Kukus lagi. Nota: lap tudung periuk pengukus supaya air tidak banyak menitis.

Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Dari Juita Amanda

Ulang proses hingga habis 8 lapisan diakhiri dengan lapisan merah.  

Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Dari Juita Amanda

Untuk lapisan atas sekali, boleh tambah sedikit lagi pewarna merah untuk wana lapisan akhir lebih menyerlah. Sebaiknya ditutup dengan aluminium foil supaya permukaan lebih cantik. 

Selepas dimasukkan lapisan atas sekali, kukus selama 20 minit. Kemudian biarkan lapisan atas dikukus selama 5 minit tanpa penutup pengukus bertujuan untuk mengeringkan air di permukaan kuih. 

Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Dari Juita Amanda

Sejukkan kuih lapis sebelum dipotong menggunakan pisau plastik atau pisau yang telah disapu dengan minyak. Kuih lapis yang elok, boleh dimakan selapis demi selapis.

Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Dari Juita Amanda

Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Dari Juita Amanda

Nota:
Lebih elok dibuat sebelah malam untuk dipotong sebelah pagi. 

Bagi mengelakkan wap pengukus menitis, boleh dilap tudung pengukus setiap beberapa minit atau lapis loyang dengan aluminium foil. 

5 ulasan for "Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Dari Juita Amanda"

  1. tumpang gembira dengan kejayaan Juita dan tumpang syukur dengan kak azie mempunyai anak2 yg pandai memasak....

    BalasPadam
  2. Lama tak makan kuih lapis, terliur tengok gambar nya :)

    BalasPadam
  3. What is Elementary EducationThe 52-year-old actress is currently facing public backlash for receiving special permission to avoid staying at a quarantine hotel after arriving in Australia from the US last Monday.

    BalasPadam
  4. Nk tnye kuih lapis nie klu buat mlm esk pg potong perlu di simpan dlm chiller atau tk perlu simpan dlm chiller

    BalasPadam
  5. Hai Azie nak tanya, 4 cawan santan maksud berapa liter santan dalam kotak ?

    BalasPadam