Roti Jala dan Kari Ayam Nana Ain
Terlebih dahulu saya mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada semua umat Islam walau di mana sahaja berada. Kita diajar untuk bersyukur kerana dilahirkan Islam dan menjadi pengikut Nabi Muhammad SAW walaupun hidup di akhir zaman kerana baginda mendoakan 7 kali bahagia orang yang tidak melihat baginda tetapi beriman kepada baginda.
Abu Umamah meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku dan berbahagialah tujuh kali bahagia orang yang tidak melihatku walhal ia beriman kepadaku. (HR Ahmad)
Jadi kita seharusnya bersyukur kerana terlalu banyak kelebihan berbanding umat Rasul yang lain. Berselawat antara bukti kecintaan terhadap Rasulullah SAW dan ia bukan hanya mendoakan Baginda kerana hakikatnya kita mendoakan diri sendiri.
Ganjaran berselawat juga sangat besar seperti mana Sabda Rasullah SAW: Barang siapa yang berselawat ke atas ku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat keatasnya 10 kali ganda - (HR Muslim.)
Selain itu, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari lahir kepada menantu kami Alain Iylia dengan doa semoga beliau sentiasa diberikan kesihatan yang baik, rezeki yang murah dan diberkati serta kebahagiaan dunia dan akhirat.
Oleh kerana sekarang masih dalam PKPB yang disambung untuk 2 minggu lagi sehingga 9 November 2020, kami menyambutnya dengan makan makan secara kecil kecilan sahaja.
Juita menyediakan Shrimp and Mushroom Alfredo yang sangat sedap. Tapi hari ini, saya bukan hendaklah kongsikan resepi ini tapi hanya kongsikan resepi favourite Juita dan Nana iaitu roti jala dan kari ayam. Untuk resepi roti jala yang lembut sehingga ke petang, boleh klik entri sebelum ini di SINI.
Hari ini, saya akan kongsikan resepi kari ayam yang sangat sedap yang disediakan Nana. Untuk membuat kari yang dimakan dengan roti jala, kuahnya perlu pekat pekat sikit dan tidak terlalu berminyak di permukaannya.
Hanya sekadar terbit minyak dan lemak lemak sahaja. Saya sendiri pun kadang kadang fail untuk menyediakan kari ayam yang hasil kejadiannya seperti ini.
Jom layan resepi yang Nana gunakan di bawah ini. Selamat mencuba...
Kari Ayam Lauk Roti Jala
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
½ ekor ayam
½ kg santan segar pekat
2-3 biji ubi kentang - potong dadu
Rempah 4 sekawan - kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, cengkih
10 sudu besar rempah kari
1 pelepah daun kari
Asam jawa
Gula
Garam
Minyak masak
Bahan hiris:
8 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
3 inci halia - 5 gram
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah 4 sekawan, daun kari dan bahan bahan hiris sehingga naik bau dan keperangan. Masukkan rempah kari (kering) dan kacau rata dengan cepat sehingga naik bau. Masukkan sedikit air. Masukkan sedikit dahulu garam dan air asam jawa.
Masak sehingga terbit minyak. Masukkan sedikit air dan tumis hingga terbit minyak lagi. Boleh ulang beberapa kali proses ini bagi memastikan rempah masak dengan sempurna.
Masukkan ayam dan ubi kentang. Kacau rata. Bila air ayam hampir kering, masukkan santan. Masak sehingga mendidih dan kentang empuk.
Setelah kuah terbit minyak, masukkan garam dan gula secukup rasa. Sesuaikan rasa dan tambah yang mana belum cukup rasa. Bolehlah ditutup api.
Salam Maulidur rasul 1442H
BalasPadamSelamat menjamu selera.