Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Onde Onde Lembut Dan Sedap


Masa kecil kecil dulu, tak suka sangat bila kena mengisar beras. Berat pengisar batu tu. Saya pula kurus cekeding jer. Bila penat, saya mula mengelat dengan letak air banyak banyak, jadi laju jer batu pengisar tu tapi hasilnya beras kisar jadi kasar. Hahaha kalau arwah Bonda nampak, dia akan marah. Lepas tu beras kisar akan dimasukkan dalam kain dan diperah untuk mendapatkan tepung beras. 

Saya selalu jer melihat Bonda menyediakan kuih onde onde tapi dulu dulu sayalah tidak rajin untuk duduk duduk di dapur. Kuih ini memang sangat sinonim dengan Ramadhan kan walaupun ada jer pada hari hari biasa.

Kuih ni jadi sempurna bila kita menggigitnya akan terpancut air gula Melaka. Malam tadi habis terpancut air gula. Jadi saya kira kuih onde onde saya ni menjadi lah. Itu sebab kena guna gula Melaka atau nisse yang original. Baru mudah mencair bila direbus. Baunya pun wangi sangat. Hahaha kurang pahala puasa sebab cium bau kuih sebelum waktu berbuka.

Tapi biasalah kita mana sempurna. Ssshhh jangan beritahu orang tau, saya sebenarnya terlupa memasukkan air kapur. Hahaha itu sebab kuih saya tak jadi kenyal kenyal dan bila siap dimasak, ada macam kemek dan tak bulat sikit. Dah terlupa nak buat macam mana kan. 

Ada yang menulis kuih ini sebagai Ondeh Ondeh, ada yang tulis sebagai onde onde. Ada yang panggil kuih buah Melaka. Panggil lah apa pun, ianya tetap merujuk kepada kuih yang sama. 

Kuih tradisional ini memang mudah didapati sepanjang masa tapi sangat famous di bulan Ramadhan bila ianya menjadi pilihan ramai untuk dijadikan hidangan kuih berbuka puasa. Sewaktu berbuka malam semalam, saya ngap dulu beberapa biji. Selepas berbuka makan lagi. Baru beberapa hari puasa, saya dah tak berselera makan. Kalau lauk yang dibeli, laaagi tak berselera kerana tak sedap. 



Untuk melihat entri kuih onde onde saya sebelum sebelum ini, boleh klik di SINI. Kuih ini telah melalui banyak pembaharuan dengan ditambah penggunaan seperti labu dan juga ubi keledek. Saya juga ada menyediakan Onde Onde labu di SINI. Kalau suka, boleh cuba juga kuih onde onde yang menggunakan ubi keledek. Satukan ubi keledek dengan tepung pulut, lembut dan sedap. 

Jom layan resepi di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Kuih Onde Onde aka Kuih Buah Melaka
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan-Bahan: 
1 cawan tepung pulut 
2 sudu besar tepung beras
½ cawan air daun pandan - tambah 1-2 sudu air lagi
Gula melaka - potong kecil
½ biji kelapa muda parut - ambil bahagian putih sahaja
Sedikit garam - untuk gaul dengan kelapa parut
Sedikit air kapur 

Cara cara: 
Bancuh tepung pulut dan tepung beras dengan air daun pandan dan air kapur sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh digentel dan tak melekat di tangan.



Ambil adunan sebesar ibu jari dan leperkan. Masukkan gula Melaka yang dipotong kecil atau dihancurkan supaya ianya betul betul cair semasa direbus. Saya tak suka rasa gula Melaka yang berbiji semasa mengunyahnya. Tutup adunan kemas kemas dan gentel adunan dengan kedua tapak tangan supaya berbentuk bulat cantik.  




Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih. Kalau suka, boleh masukkan daun pandan yang dicarik dalam air rebusan supaya wangi.

Masukkan bebola tepung tadi dan tunggu sehingga ianya timbul di permukaan air menandakan ianya telah masak dan sedia diceduk keluar.


Tos dan terus masukkan ke dalam pinggan kelapa parut yang telah digaul bersama sedikit garam. Golek golekkan kuih di atas kelapa tadi sehingga ianya betul betul bersalut. Sedia untuk dihidangkan. Nota: Kepala parut ditekan tekan sedikit dengan sudu supaya rata. Jadi ianya lebih cantik.


Nota: 
Resepi asal Bonda saya ialah menggunakan hanya tepung beras pulut. Tapi untuk menghasilkan kuih onde onde yang lembut, diubahsuai resepi dengan dicampur tepung beras.

1 ulasan for "Kuih Onde Onde Lembut Dan Sedap"

  1. Wah sedapnya..sya paling suka menikmati kuih-kuih tradisional apalagi pada saat bulan ramadan macam ni..hmm yummy

    BalasPadam