Gulai Nasi Berlauk Kelantan
Nasi berlauk yang biasa adalah lauk ikan rebus walaupun ada juga lauk gulai daging dan gulai ayam. Ikan rebus ini pula ada pelbagai jenis ikan antaranya ialah ikan kembung rebus, ikan tongkol rebus dan ada juga ikan selar kuning rebus.
Nasi berlauk, kalau nak lagi sedap kena dibungkus dan dimasukkan gulai ikan dan sambal sekali. Baunya memang sangat nostalgia. Ia berbeza jika kita makan dalam pinggan. Maksud saya tidak dibungkus dulu.
Kalau ikan, biasanya diguna ikan rebus. Ikan yang direbus dengan asam keping dan garam tang banyak dan dibiarkan semalaman. Kebiasaannya ikan tongkol atau ikan kembung.
Musim PKP ni tak boleh nak memilih ikan itu ini. Jadi ada jiran jiran order ikan pelaling dari peniaga yang buat penghantaran ke rumah, saya order lah 4 kilo. Jadinya ikan rebus saya hari ini ialah ikan pelaling.
Jom layan resepi di bawah ini. Juga video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...
Gulai Kuning Kunyit Lengkuas
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
5 ekor ikan rebus
½ kg santan - guna 200 ml santan kotak
1-2 keping asam keping
Garam kasar
Gula
Bahan kisar:
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
5 tangkai cili kering - atau 1 sudu besar cili kisar
1 ½ inci lengkuas
1 ½ inci kunyit hidup
Bahan hiasan:
Timun/kacang panjang
Lada hijau solok
Cili padi – jika suka
Cara cara;
Ikan direbus dengan 5-6 keping asam, segenggam garam dan ½ keping gula Melaka dengan air tenggelam ikan. Rebus sehingga air hampir kering. Ikan rebus mesti menpunyai rasa masam dan masin, baru lebih sedap.
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak. Nota: resepi asal bahan kisar dimasak dengan santan sehingga mendidih dan benar benar masak. Perlu selalu dikacau bagi mengelakkan santan berketul.
Setelah terbit minyak, masukkan sedikit air dan kacau sehingga mendidih. Setelah mendidih, baru dimasukkan santan, asam keping, garam dan gula.
Sentiasa dikacau sehingga santan mendidih untuk mengelakkan santan dari berketul. Boleh ditambah air jika terlalu pekat.
Setelah mendidih, baru dimasukkan ikan rebus, timun, lada hijau solok atau kacang panjang. Masukkan juga asam keping, garam dan gula.
Masak dengan api perlahan lama lama sehingga kuah pekat dan cantik terbit minyak. Sesuaikan rasa.
Tutup api dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih dan sambal sebagai nasi berlauk pagi.
Catat Ulasan for "Gulai Nasi Berlauk Kelantan"
Add your comment