Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Daging Cili Padi Berempah


Sebelum raya menjelang, saya ingin kongsikan resipi rendang daging cili padi berempah yang sangat sedap. Jadi kalau ada yang masih tercari resipi rendang daging apa nak dimasak atau digunakan, boleh guna resipi ini. 

Saya belajar resepi rendang nogori dari Iza, isteri sepupu yang memang berasal dari Negeri Sembilan. Beliau memasak rendang ini untuk dimakan dengan pulut kuning bagi majlis pernikahan anak sepupu saya Syahirah di Bandar Sg Long lama dahulu. Memang sedap sehingga saya makan menambah nambah. Langsung tak menjamah nasi kerana kekenyangan makan pulut kuning dengan rendang daging.  

Saya memang obsess sikit dengan kedua dua masakan tradisional ini. Saya ingin menghasilkan yang terbaik setiap kali. Contoh pulut kuning, bukan senang untuk setiap kali menghasilkan pulut kuning yang konsisten hasilnya. Yang cukup lembutnya, yang berasnya masih sebiji biji, yang harum baunya dan cantik warnanya. Ianya memerlukan praktis dan praktis. 


Untuk rendang hari ini, saya menggunakan daging bahagian atas paha atau daging keting. Ada juga yang panggil daging harimau menangis. Kerana kata Iza, daging ini bila lagi lama dimasak, lagi lembut. Berbeza dengan daging batang pinang, yang bila dimasak lama lama, ia akan keras sedikit. Yang mana diajar, saya ikut sahaja. Kerana ilmu adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya. Ianya diperolehi dari pengalaman. 

Sedikit komen saya berkenaan rendang saya hari ini, hmm jawapannya sangat sedap. Lagi lama dimasak lagi cantik warna keperangan gelap dan lagi sedap. Tapi rendang ini ialah rendang cili api. Jadi ianya seharusnya mesti terasa pedas. Boleh adjust sendiri bilangan cili api untuk menghasilkan rasa pedas. Bila dimakan, mesti terasa pedas pedas di lidah. Kalau tak pedas, kurang kick gitu. 

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...



Rendang Daging Cili Padi Berempah
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 kg daging  
1 kg santan segar
1 pek kecil rempah kari ikan - boleh juga guna kari Babas
1 kulit kayu manis, 3 bunga lawang, 1 cengkih
3 batang serai - ketuk
1 inci lengkuas - ketuk
5 sudu besar cili kering kisar
1 keping asam keping
Garam

Bahan hiris:
15 biji bawang merah 
5 ulas bawang putih 
2 inci halia 

Bahan kisar:
100 gram cili api kampung - boleh lebihkan, jika suka
1-2 inci kunyit hidup

Cara cara:
Daging dibasuh dan ditos. Lumur dengan serbuk kunyit. Ketepikan. 


Satukan dan gaul bahan hiris, cili kisar, bahan kisar ke dalam satu bekas. Masukkan juga rempah kari ikan (seperti gambar di bawah). Gaul rata.  



Panaskan minyak dan tumis bahan yang digaul rata ini sehingga naik bau. Masukkan serai, lengkuas dan kacau rata. Nota: boleh juga jika tidak mahu ditumis terlebih dahulu. 


Masukkan daging dan kacau rata sehingga sebati. Masak sehingga air daging kering dan agak agak terbit minyak. 


Masukkan santan pekat segar. Masak sehingga kering. Masukkan asam keping dan garam secukup rasa. 


Biarkan di dalam kuali dan dipanaskan banyak kali. Lagi lama dipanaskan, warna akan menjadi lagi gelap dan lagi sedap.


Nota:
Sedap dimakan dengan pulut kuning atau lemang selain dibuat lauk biasa.



Catat Ulasan for "Rendang Daging Cili Padi Berempah"