Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Kaswi Resipi Signature Azie Kitchen

Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen

Assalamualaikum, Alhamdulillah kita bersiaran lagi. Entri hari ini, saya tulis ketika sedang mendapat rawatan di ward kerana mengalami masalah “infection”. Agak lama kali ini saya akan berada di ward. Doakan agar saya diberikan kesembuhan seperti sedia kala. 

Sementara saya bersendirian, saya membuat keputusan untuk menulis dan seterusnya berkongsi resipi kuih kegemaran saya yang telah lama saya simpan. 

Saya kebelakangan ini agak sibuk dengan pelbagai urusan berkait dengan majlis perkahwinan anakanda saya yang akan dilangsung sebelum saya berangkat ke United Kingdom. Insya Allah saya akan berada di sana selama setahun. Insya Allah blog Azie kitchen akan bersiaran dari sana pula. 

Selain itu, saya juga akan mengeluarkan product “by Azie Kitchen” tidak lama lagi. Ia menjadikan saya agak sibuk dengan pelbagai urusan yang berkaitan. Kepada follower saya, jangan lupa untuk support product saya tau. 

Entah kenapa kebelakangan ini saya menjadi seorang yang sangat sensitif. Perasaan saya bercampur baur, gembira kerana Juita akan berkahwin dan dalam masa sama, saya sedih kerana keadaan tidak akan sama lagi. Setiap kali mengingatkan ini, airmata saya akan mengalir sendiri. 

Saya selalu memujuk diri sendiri untuk mula melepaskan anak anak untuk memulakan kehidupan mereka sendiri. Saya pula perlu menyiapkan diri sendiri untuk fasa perjalanan seterusnya. Insya Allah saya akan cuba menguatkan diri untuk menempuhinya. Sekarang kita masuk bab resipi. 


Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen

Saya memang peminat kuih kaswi. Tak tahu kenapa tapi dalam banyak banyak kuih tradisional, kuih kaswi lah yang terasa sedap sangat. Rasanya yang unik tu, memang sangat kena dengan selera saya. Lagi lagi kalau kelapa parut yang digunakan adalah kelapa muda. Terasa lemak lemak dan masin masin. Alahaai. 

Resipi kuih kaswi ini adalah antara signature recipe Azie Kitchen. Resipi yang saya gunakan berulang ulang kali. Dan resipi ini juga ada terdapat dalam buku Resipi Azie Kitchen yang boleh di dapati di kedai buku Popular yang terpilih. 

Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen

Jom layan resepi dan jangan lupa menonton video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen

Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen
Oleh: Azie Kitchen
Loyang saiz 10” x 10”

Bahan bahan: 
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
2 keping gula Melaka - 90 gram
1 cawan gula pasir 
7 cawan air 
1 sudu kecil kapur – bancuh dengan sedikit air

Bahan lain:
Kelapa parut muda
Sedikit garam 

Cara cara:
Masak gula Melaka dan gula pasir dengan 2 cawan air sehingga gula larut. Sejukkan sehingga agak agak air gula suam. Nota: selepas masak, sukat bagi pastikan air cukup 2 cawan. 

Masukkan tepung gandum dan tepung ubi ke dalam bekas bekas. Tuang 3 cawan air dan air gula Melaka dan kacau sebati. Masa ini, boleh rasakan sedikit adunan dan jika belum cukup manis, boleh tambah sedikit gula pasir. 

Masukkan air kapur dan kacau rata.Tuang 2 cawan air panas mendidih. Tapis adunan ke dalam jug bermuncung. 

Lenser acuan dengan sedikit minyak masak. Panaskan periuk pengukus dan masukkan loyang. Saya guna loyang bulat saiz 9 inci. 

Setelah loyang panas, tuang adunan ke dalam loyang dan kukus sehingga masak selama 45-60 minit atau sehingga masak dengan menggunakan api yang besar.  

Sekali sekala, lapkan penutup pengukus atau balut penutup dengan tuala dapur. Bila telah masak, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup dalam 5-10 minit untuk mengeringkan air di permukaan kuih, jika ada.

Setelah betul betul sejuk, baru dipotong dengan menggunakan pisau plastik atau pisau yang dilumur dengan sedikit minyak. 

Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen

Hidangkan bersama kelapa muda parut yang telah digaul dengan sedikit garam.

Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen

Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen

Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen

Nota:
Boleh juga guna 1 ½ cawan gula pasir dan 1 uncang kopi. Tak guna gula Melaka. 

Kelapa parut boleh dikukus selama 5 minit untuk tahan lama.

Kuih ini boleh tahan selama 2 hari atau 48 jam di bawah saji dalam bekas bertutup. Jika suka, boleh juga disimpan di dalam peti ais.  


Catat Ulasan for "Kuih Kaswi Resipi Signature Azie Kitchen"