Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Gulai Lemak Ikan Duri Masin Versi Bonda

Gulai Ikan Duri Masin Versi Bonda Saya

Sebelum bercerita bab masakan, meh kita sembang bab semasa. Apa yang hot topic baru baru ini? Tentunya perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara pasukan Johor dan Kedah. Yang menarik perhatian saya ialah semangat patriotik anak anak Kedah yang mungkin masih di bangku sekolah rendah seperti dalam video yang viral berkenaan kekecewaan mereka dengan kekalahan pasukan negeri kesayangan mereka. 

Ramai yang menangis hingga buka baju jersey dan baling ke lantai, ada yang berdoa beratus ratus kali, ada yang menangis dan macam macam lagi. Saya seronok dengan video adik yang memberi ulasan, nampak sangat tak mau main, main macam dalam kampung, ini piala Malaysia, nak maki dan nak pilih negeri lain. Hmm saya tak pernah pulak nampak anak anak dari negeri lain yang begitu patriotik berbanding anak anak Kedah. Bagus bagus sesuatu yang bagus. 

Saya tertanya tanya, apa yang mereka semai sehingga anak anak kecil begitu setia menyokong pasukan negeri mereka. Hebat. Selain itu, seronok juga mendengar percakapan dalam loghat Kedah. yang lembut bunyinya. Berulang ulang kali juga saya menengok video video anak anak tersebut. Kagum dengan semangat mereka. Kita tinggalkan dulu bab bola,  masuk bab masakan pula.

Hari ini saya ingin kongsikan resepi lauk yang dimasak oleh arwah Bonda yang menjadi kegemaran saya sejak kecil, iaitu gulai ikan duri masin. Yang unik berkenaan lauk ini ialah ikan duri diperap dengan garam beberapa jam atau mungkin semalaman. Kami memang dari dulu, kalau lumur garam kunyit pada ikan atau ayam atau daging untuk digoreng, akan dibiarkan dulu lama lama baru digoreng. Kami suka isi ikan atau ayam yang terasa masin masin. 

Jadi lepas kawin macam pelik juga tengok Hubby, lumur garam kunyit pada ikan dan terus masuk dalam kuali untuk digoreng. Saya makan ikan yang ada rasa masin, tak suka ikan yang isi rasa tawar tawar. Kini baru faham, ooh ramai yang cari ikan segar yang isinya dikatakan manis dan lebih sedap. 

Walaupun sekarang saya mencari ikan segar tetapi pada hakikatnya tekak saya berbeza dengan apa yang saya cari. Itu sebab saya suka nasi berlauk kerana gulai ikan nasi berlauk dibuat menggunakan ikan rebus yang dibiarkan semalaman sebelum digunakan dalam gulai atau digoreng.

Gulai Ikan Duri Masin Versi Bonda Saya

Selepas kawin, saya pernah sekali menyediakan lauk ini. Selepas itu, saya tak pernah lagi makan atau memasak lauk ini. Atas sebab itu lah, tiba tiba rasa teringat nak memasaknya. Lauk yang kira dah jadi resepi keluarga kami. Kalau saya tak memasaknya, kelak anak saya tak tahu pun berkenaan keujudan lauk ini. 

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa subscribe untuk video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...

Gulai Ikan Duri Masin Versi Bonda Saya

Gulai Ikan Duri Masin Versi Bonda

Bahan bahan:
½ ekor ikan duri - bahagian kepala
3 cawan santan
1 sudu besar cili kering kisar
Secekak daun kesum
1-2 keping asam keping
Sedikit gula melaka
Garam

Bahan kisar:
6 biji bawang merah
1- 1 ½  inci inci kunyit
4 hiris lengkuas
1 sudu besar biji ketumbar

Cara cara:
Ikan diduri diperap dengan garam beberapa jam atau semalaman. 

Tuangkan bahan kisar dan masukkan ikan. Masak keduanya sehingga air kering. 

Gulai Ikan Duri Masin Versi Bonda Saya

Gulai Ikan Duri Masin Versi Bonda Saya

Gulai Ikan Duri Masin Versi Bonda Saya

Tuangkan santan dan sentiasa dikacau sehingga mendidih. Masukkan asam keping.  

Akhir sekali, masukkan gula Melaka dan daun kesum. Petasakan dengan garam secukupnya. Masak sehingga kuah naik minyak dan sedikit pekat. Bolehlah ditutup api.

Gulai Ikan Duri Masin Versi Bonda Saya


Catat Ulasan for "Gulai Lemak Ikan Duri Masin Versi Bonda "