Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Masih dalam bulan Syawal dengan mood raya kan? Saya belum lagi cukup puasa enam di bulan Syawal. Apa kata kita mencuba resepi nasi dagang Kelantan untuk hidangan keluarga atau tetamu yang datang berkunjung. Atau selepas  beraya kerana menamatkan puasa enam. 

Hari raya tahun ini setelah sekian lamanya, saya menyediakan Nasi Dagang versi Kelantan menggunakan beras nasi dagang Kelantan. Kalau tak silap, saya menyediakan nasi dagang Kelantan terakhir sekali, lebih 20 tahun yang lalu ketika saya mengadakan rumah terbuka. 

Setiap kali menyediakan nasi dagang selepas itu, saya hanya memasak nasi dagang Terengganu yang menggunakan beras wangi sahaja. Saya suka nasi dagang Terengganu yang nasinya sangat lembut berbanding dengan nasi dagang Kelantan.

Nasi dagang Kelantan biasanya digandingkan dengan Gulai Ikan Tongkol, Gulai Udang, Gulai Kari Ayam dan Gulai Kerutuk Itik Serati. Lauk sampingan pula ialah Telur Rebus, Acar Timun dan Sambal Ikan. Mana mana pun boleh. 

Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Memasak menggunakan beras nasi dagang Kelantan ni agak mencabar juga. Saya merendam beras nasi dagang semalaman. Saya terpaksa mengukus sebanyak dua kali kerana masih kelihatan keras nasinya. Tapi saya puashati kerana nasi dagang yang dihasilkan sedap lah juga walaupun kejadiannya tidaklah perfect. 

Saya menyediakan lauk Gulai Ikan Tongkol mengikut resepi yang diajar oleh kakak saya Kak Hasnah, Gulai Udang, Acar Timun Masak dan juga Sambal Ikan sebagai gandingan dengan nasi dagang. Kalau selera saya, saya memang berpuashati. Adalah rasanya seperti nasi dagang Kelantan. 


Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Untuk melihat resepi gulai udang, boleh klik entri di SINI. Serious simple tapi sedap. Selain itu, saya juga menyediakan gulai kerutuk itik serati. Kalau nasi dagang Kelantan, harus ada sambal ikan ni. Selain makan dengan nasi dagang, ianya juga boleh dimakan dengan nasi kerabu dan juga nasi impit.  

Selepas siap masak, saya terus makan. Kemudian esok paginya baru dapat makan lagi. Kerana selepas makan, kami bergegas ke KLIA untuk menunggu kepulangan Juita. Sesampai di rumah kami bergambar raya sebelum bersiap siap kerana ada tetamu yang merupakan adik beradik Hubby akan datang beraya sebelah malam. Jadi memang tak sempat nak makan hingga lah keesokannya. Itu yang pagi pagi lagi bangun terus ke dapur mencari nasi dagang. Nasib baik masih ada baki nasi dan lauk pauk. 

Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Hari raya kali ini memang agak memenatkan kerana saya menyediakan banyak juadah raya dan memasak seorang diri. Ketika Mia ada di rumah, Mia ikut menemani saya di dapur. Tapi keadaan Mia yang sarat dan dah due bila bila masa, saya cuma meminta dia duduk di bangku sambil menemani saya sahaja. 

Bayangkan dari 2 hari sebelum raya sehingga 2 hari selepas raya, dapur saya sentiasa berasap. Akhirnya dapur meletup pecah retak seribu dan kami terpaksa mencari set dapur dan cooker hood yang baru. Nasib baik ketika meletup, saya telah siap memasak semua lauk pauk untuk hidangan tetamu dan masakan telah dipindahkan ke dry kitchen. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Bila memasak time raya, memang tak sempat buat video kerana banyak juadah yang perlu dimasak. 


Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Nasi Dagang Kelantan

Bahan bahan:
2 kg beras nasi dagang
2 biji kelapa - santan 
1 genggam kecil garam kasar - lebih kan supaya terasa masin 
1 sudu kecil gula 
5-6 ulas bawang merah - hiris, boleh tambah
2 inci halia - hiris nipis, boleh tambah
Halba secukupnya 

Cara cara:
Masak santan pekat dengan garam sehingga mendidih sahaja. Jangan sampai pecah minyak. Tutup api. Nota: perlu jika dimasak nasi dagang dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan ianya cepat basi.

Beras dibasuh dan direndam semalaman. Tos dan dikukus sehingga masak atau wap keluar. Angkat dan semasa masih panas panas, masukkan santan cair dan arung/kacau sehingga santan sebati dan beras cukup lembut. Nota: santan dibahagi kepada santan cair dan santan pekat.

Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Masukkan semula ke dalam periuk pengukus dan kukus sekali lagi sehingga wap keluar dalam 5 minit, angkat dan keluarkan. 

Angkat nasi dagang dan ketika masih panas panas, tuang santan yang dimasak, bawang merah, halia dan halba ke atas nasi dagang. Gaul dan kacau rata. 

Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Sedia untuk dihidangkan. Nasi dagang akan kekal elok dan tak basi sehingga ke malam pun. 



Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Gulai Ikan Tongkol Kelantan 

Bahan bahan:
1 ekor ikan tongkol saiz besar - rebus dengan 1/2 keping gula Melaka, garam kasar dan 4 keping asam keping 
1 pek kecil rempah kari ikan
5-6 biji telur rebus
2-3 tangkai cili hijau solok
1 keping asam keping
Gula
Garam
2 sudu besar cili kering kisar- boleh ganti cili api jika mahu kuah lebih warna kuning 
1 kg santan

Bahan kisar:
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup 
1 sudu kecil rempah ketumbar
1/2 inci halia 

Cara cara:
Ikan direbus dengan garam, asam keping dan gula Melaka. Biarkan semalaman.

Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar. Kemudian masukkan serbuk kari. Tumis sehingga terbit minyak. Nota: cara orang zaman dahulu, tak perlu ditumis. 

Masukkan sedikit air dan masak sehingga mendidih. Setelah mendidih, masukkan santan dan kacau rata. 

Masukkan ikan rebus, asam keping, gula dan garam secukup rasa.

Akhir sekali, masukkan cili hijau solok dan cili padi serta serbuk perasa, jika suka. 

Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan

Bila telah mendidih, perlahankan api dan renih dengan api perlahan sehingga kuah cantik, baru ditutup api.



Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan


Sambal Kelapa Ikan

Bahan bahan:
1 biji kelapa parut 
5 ekor Ikan kembung saiz kecil 
Garam

Bahan kisar:
3-4 ulas bawang merah
1/2 inci halia
2 batang serai
1/4 keping gula Melaka

Cara cara:
Ikan direbus dan diasingkan isi dan tulang. Tumbuk isi ikan sehingga lumat. 

Kelapa parut digoreng sehingga garing dan sedikit keperangan. Tumbuk kelapa parut goreng sehingga separuh halus.  

Masak bahan kisar sehingga kering. Tuang ke dalam kelapa tadi dan masukkan isi ikan yang ditumbuk.  Kacau rata. Masukkan garam secukupnya. 

Sedia untuk dihidangkan. Saya suka makan dengan nasi impit. Sambal kelapa ini juga boleh dihidangkan sebagai sambal nasi kerabu.



6 ulasan for "Nasi Dagang Kelantan Dengan Gulai Ikan Tongkol Dan Sambal Ikan"

  1. Salam.nk cuba resipi ni tapi guna rempah kari apa ye

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wslm. Rempah kari ikan. kalau tak ada, guna rempah apa pun ok

      Padam
  2. Salam kak.. Untuk berapa org makan ni kak azie

    BalasPadam
  3. Nak tanya...2 kg beras nasi dagang utk brpa org mkn

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya masak 600 gram semalam, habis untuk 11 orang makan. Tapi separuh daripada geng pompuan yang tak makan banyak hihi. Kalau semua makan banyak, maybe 600 gram untuk 6 - 7 orang kot.

      Padam
    2. Thank You! Licin nasi dagang saya buat semalam. Dah la 1st time try! Thank you ajar siap ada gambar bagi hampir setiap step

      Padam