Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Kerang Yang Sangat Sedap

Rendang Kerang Yang Sangat Sedap

Selain emosi tidak stabil kerana diuji dengan masalah kesihatan, saya juga agak kesedihan bila memikirkan tidak lama lagi Ammar, cucunda kesayangan saya akan berpindah masuk ke rumah mereka. Saya tahu detik dan saat ini pasti berlaku. 

Walaupun saya memang telah bersedia, tetapi hakikatnya tidak semudah itu. Kesedihan membayangkan bila rumah kami yang agak besar ini kembali sunyi tanpa suara dan tangisan seperti sebelum kelahiran Ammar. 

Bukan senang untuk memujuk hati sendiri atas sesuatu yang memang diketahui jawapan dan jalan penyelesaiannya. Yang pasti suatu hari, anak anak akan pasti meninggalkan kita. Saya hanya perlu mempersiapkan diri untuk satu hari bila kita juga akan bersendirian. Melakukan pengisian dengan aktiviti yang boleh memberi manafaat pada diri sendiri di dunia dan akhirat.

Teringat arwah Bonda menjalani kehidupan bersendirian di pengajian Pondok Pasir Tumbuh sejak tahun 1995 sehingga beberapa bulan sebelum beliau meninggal pada tahun 2014. Arwah berpindah sebaik sahaja pemergian ke rahmatullah arwah Ayahanda saya pada 13 Mei 1995. Semoga roh mereka berdua dicucuri Rahmat Nya dan diampunkan segala dosa. Aameen. Begitulah caranya seseorang patut menghabiskan masa masa yang ada. 

Rendang Kerang Yang Sangat Sedap

Saya dengan Pengasuh Ammar menengok nengok Instagram. Tiba tiba terpandang IG Zarina Zainuddin yang menjual pulut kuning dan rendang kerang. Teringat pulak masih ada baki isi kerang dalam peti. Hahaha dengan melihat gambar secara tiba tiba memberi idea apa yang hendak dimasak. 

Isi kerang ini adalah baki selepas memasak kerang goreng dengan kacang panjang di SINI dan Rendang Pucuk Paku dengan Kerang di SINI. Rasanya dalam 1 kg kerang yang sama dengan 1 mangkuk isi kerang. 

Rendang Kerang Yang Sangat Sedap

Anak saya Aween memang penggemar kerang. Bila lauk berasaskan kerang, memang dia makan menambah nambah dan mengulang ngulang. Saya pulak memang dah lama mengidam nak makan rendang kerang tetapi sejak allergi, terpaksa lah menangguh hasrat tersebut sehinggalah menjadi kenyataan pada hari ini. 

Rendang kerang selain sedap dimakan dengan nasi putih, juga sangat sedap dimakan dengan nasi lemak dan pulut kuning. Saya menyediakan rendang hari ini yang agak kering. Jika suka basah basah, jangan dikeringkan. Semuanya ikut citarasa masing masing. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini dan video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...

Rendang Kerang Yang Sangat Sedap

Rendang Kerang

Bahan bahan:
1 mangkuk isi kerang - 1 kg kerang
½ - ¾ biji kelapa parut - santan
1 batang serai - ketuk
2 sudu besar cili kisar kering
1 keping asam keping
1 sudu besar garam kasar
1 sudu besar gula Melaka
1 sudu besar kerisik
½ helai daun kunyit - hiris

Bahan kisar:
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
½ inci halia
½ inci lengkuas
½ inci kunyit hidup
1 batang serai

Cara cara:
Masukkan bahan kisar dan santan ke dalam kuali. Kacau sehingga mendidih dan kuah pekat. 

Masukkan asam keping dan garam. Terus kacau sehingga ianya terbit minyak. 

Setelah kuah hampir kering dan terbit minyak, masukkan kerisik dan gula Melaka. Kacau lagi. 

Setelah kuah naik minyak cantik, tuangkan isi kerang dan kacau rata. 

Rendang Kerang Yang Sangat Sedap

Rendang Kerang Yang Sangat Sedap

Akhir sekali tabur daun kunyit dan sesuaikan rasa. Bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih, nasi lemak atau dengan pulut kuning. 

Rendang Kerang Yang Sangat Sedap

Rendang Kerang Yang Sangat Sedap

Nota:
Jika suka rendang sedikit basah, jangan dikeringkan sangat rendang. Semuanya terpulang pada citarasa. 

Rendang Kerang Yang Sangat Sedap

Catat Ulasan for "Rendang Kerang Yang Sangat Sedap"