Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Gulai Lemak Daging Yang Sangat Sedap


Kali ini saya menyediakan gulai lemak daging menggunakan resepi yang diajar oleh Encik Sahor tuan punya kantin Sahor di Kolej Ketiga Universiti Malaya. Resepi asal yang pernah saya sediakan sebelum ini menggunakan perut lembu di SINI

Sepanjang 3 tahun menuntut di Universiti Malaya, saya tinggal di Kolej Ketiga kecuali satu penggal sahaja saya menyewa di belakang balai Bomba Jalan Pantai Baru. Setiap kali musim peperiksaan, Kantin Sahor akan menjual nasi lemak sehingga pagi bagi siswa yang ingin makan selepas penat belajar. 

Nasi lemak yang dijual sangatlah sedap dengan pelbagai lauk pauk. Antara lauk pauk pilihan saya ialah Gulai lemak perut lembu dan ayam masak merah. Selepas menamatkan pengajian pun, kami masih ke sana di musim peperiksaan untuk menikmati nasi lemak. 

Tapi sayang kerana kini Sahor tidak lagi berniaga di sana dan tidak lagi menjaul signature nasi lemak Sahor. Jadi bila nak menghilangkan keinginan dan kerinduan pada gulai lemak perut, saya belajar resepinya dari Sahor sendiri.


Hari ini saya ubah suai dengan menggunakan daging Korban yang masih banyak di dalam peti ais. Caranya sama sahaja, cuma gantikan perut dengan daging. Rasanya.. hmm sangat sedap sehinggakan Mia, menantu saya meminta resepi untuk dicuba masak sendiri. Sangat sedap. Rugi jika anda tidak mencubanya. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Video ada di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba....



Gulai Lemak Daging

Bahan bahan:
1/2 kg daging - potong
1 keping asam keping
2 helai daun limau purut
Garam

Bahan kisar:
10 - 15 tangkai cili padi - ikut pedas disukai
2 batang serai
1/2 inci halia
3-4 hiris lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Santan secukupnya - sedap jika guna santan segar

Cara cara:
Kisar kesemua bahan kisar bersama santan. Jika sukakan kuah yang berwarna sedikit kemerahan, boleh tambahkan sedikit cili kering kisar atau cili merah.


Masukkan sedikit sahaja minyak dan panaskan sehingga betul betul panas dengan api perlahan. 

Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga mendidih. 


Masukkan daging dan air secukupnya. Biarkan sehingga daging empuk. Nota: saya rebus daging terlebih dahulu. Air rebusan daging digunakan semasa mengisar bahan kisar. 

Masukkan garam, asam keping dan daun limau purut. 


Masukkan baki santan dan masak sehingga pekat sesuai dengan kepekatan yang kita suka. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.



6 ulasan for "Gulai Lemak Daging Yang Sangat Sedap"

  1. sebagai peminat masak lemak, sy terliur

    BalasPadam
  2. Sedapnya kalau cicah dengan ketupat atau lemang..

    BalasPadam
  3. Salam. Serai 2 batang tu perlu di blend sekali ya dgn bahan2 kisar yg lain?

    BalasPadam
  4. maaf kalau rs masam mcm mane nak altar balik rs 😭

    BalasPadam
  5. Masukkan baki santan dan masak sehingga pekat sesuai dengan kepekatan yang kita suka. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.

    BalasPadam