Masak Lemak Ikan Jenahak Yang Sangat Dirindui
Hari ini saya ingin kongsikan antara petikan yang saya salin dari kuliah Zohor Ustaz Ibrahim Muhammad berkenaan tawaran istimewa dalam keadaan di mana Allah menjelaskan bahawa hamba hambaNya melakukan dosa berterusan malam dan siang. Tapi Allah beri jaminan akan ampunkan jika beristighfar dengan syaratnya nyawa belum sampai di halkum.
Rugi kalau kita tidak ambil tawaran istimewa dari Allah. Bentuk pengampunan dari Allah terbahagi pada 3 iaitu:
- Bagi sesiapa yang memohon ampun. Memohon ampun tidak bermusim atau tidak terikat dengan masa tertentu. Ianya boleh dilakukan sepanjang masa untuk beristighfar pada Allah. Namun ada satu waktu iaitu satu pertiga akhir malam yang menyebut sifat orang beriman dalam surah Ali Imran ayat 17. Waktu yang dipilih sendiri oleh Allah. Guna waktu ini untuk memohon ampun. Rasulullah beristighfar 70 kali sehari. Disebut dalam Surah Az Zumar ayat 53 pun Allah ada bagi tawaran. Jangan sesekali kita berputus asa dengan rahmat Allah.
- Diringankan azab. Ini berlaku di akhirat. Hadis Al Bukhari dan Muslim Rasulullah bersabda berkenaan Abu Talib yang punya jasa besar dengan membantu dakwah Rasulullah. Kalau tidak kerana Aku, sudah pasti Abu Talib berada dalam neraka paling bawah. Tapi kerana Rasulullah, beliau berada di neraka paling ringan. Ada hadis mengatakan bahawa menggelegak otaknya. Ahli Tauhid yang masuk neraka di mana mereka mati dalam keadaan melakukan dosa besar. Cth tak bertaubat, minum arak, berjudi dsb. Ahli Tauhid ni masih terikat dengan kehendak Allah samada Allah nak azab penuh atau separuh atau diampunkan. Asal jangan mati dalam keadaan syirik.
- Ditangguhkan azab ke suatu waktu yang tertentu untuk kita insaf. Surah As syura ayat 30, apa musibah menimpa kamu adalah dari perbuatan tangan kamu sendiri. Dalam masa sama, Allah beri peluang untuk insaf dan akan ampunkan dosa.
Ambillah peluang bersungguh sungguh untuk bertaubat dan perbanyakkan beristighfar kerana kita yang tidak maksum. Sekarang kita masuk bab masakan pula.
Satu ketika dahulu, sahabat sekerja saya Zaharah akan tolong membelikan nasi campur di sebelah bangunan Ibupejabat KWSP bila dia keluar waktu tengahari. Dia tahu saya makan nasi dengan lauk yang banyak, jadi dia akan membeli nasi campur yang dibungkus dengan daun pisang dengan pelbagai lauk pauk. Kebiasaannya lauk yang sama iaitu Masak Lemak Ikan Jenahak, Daging Masak Lada Hitam, Kentang dan ikan bilis dan Cencaluk. Di sinilah saya belajar makan cencaluk.
Pernah satu hari kerana lama Zaharah tidak keluar, kerans terlalu teringin nak makan, saya mengajak Hubby menunggu di sebelah bangunan Ibu Pejabat KWSP kerana vannya agak lambat tiba berbanding gerai dan van yang lain. Sanggup saya menunggu hampir lebih sejam juga demi keinginan nak makan nasi campur tersebut.
Tapi kini mereka tidak lagi berniaga. Puas saya merisik khabar kot mereka ada berniaga di tempat lain sehingga saya diberitahu bahawa adik yang berniaga nasi lemak pagi dengan van di sebelah JKR adalah anak mak cik yang berniaga nasi campur tersebut. Jadi sejak itu, saya mengintai ngintai peluang untuk bersembang dan bertanyakan maklumat mengenai mak cik dan yang pastinya lauk lauk kegemaran saya.
Akhirnya ketika saya singgah untuk membeli nasi lemak, tidak ada orang yang beratur, jadi saya pun memulakan bicara yang selama ini saya nanti nantikan. Ida, nama anak mak cik tersebut terus kongsikan bahan bahan dan cara memasaknya. Saya yang tidak membawa turun hp, hanya cuba mengingati bahan bahan yang digunakan serta teknik memasaknya. Alhamdulillah, kerana akhirnya saya dapat juga mengetahui resepi lauk yang terasa sangat sedap di tekak saya.
Kalau diperhatikan bahan bahan yang digunakan adalah sama sahaja dengan lain lain resepi tetapi teknik dan cara ianya dimasak yang menghasilkan rasa yang berbeza. Inilah teknik yang kita perlu perhatikan atau ikut sama di dapur semasa emak emak kita memasak, barulah hasilnya sama dengan air tangan emak kita. Betul tak?
Jom layan resepi yang saya salin hasil perbualan di WhatsAppa dan cara penyediaannya. Semoga Ida dan Bonda beliau diberikan pahala hasil dari perkongsian ini. Kepada semua follower Azie Kitchen, jangan lupa menonton video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Tapi awas, mak cik Bawang yang komen pelik dan negatif di youtube saya, saya akan block anda.
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ekor ikan merah/ikan jenahak
1/2 kg santan pekat
1 helai daun kunyit - carik carik
3 helai daun limau purut
Garam
Gula
Bahan kisar:
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
2 tangkai cili merah
5 tangkai cili padi
Cara cara:
Ikan dibersih, dipotong dan direndam dengan air asam jawa. Biarkan seketika. Kisar bahan kisar dengan air sehingga halus.
Masak ikan dengan bahan kisar, daun kunyit, daun limau purut serta sedikit garam dan gula. Masak sehingga ikan menyerap dengan bahan rencah yang dikisar.
Masukkan santan cair dan masak lama lama dengan api perlahan hingga mendidih. Nota: Boleh keluarkan ikan jika dikuatiri ikan akan hancur. Dimasukkan semula setelah kuahnya cantik dan sebelum ditutup api.
Setelah mendidih, baru masukkan santan pekat. Kacau rata.
Akhir sekali, masukkan garam dan sedikit gula secukup rasa. Bolehlah ditutup api.
Nota:
Jika bahan kisar ditumbuk, boleh tumbuk sekali sedikit garam dan gula. Masuk bahan kisar dengan sedikit air dan masak dengan ikan.
Salam..tq untuk rasepi..mohon cuba..
BalasPadam