Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kari Ikan Merah Dan Tips Membuat Kari Sedap

Kari Ikan Merah

Entah kenapa kebelakangan ini saya menjadi sangat sentimental dan jiwang jiwang. Saya suka mendengar lagu lagu sedih terutama lagu Allahyarhamah Datin Rafeah Buang. Satu satu lagu saya putar berulang ulang kali hingga saya jemu. Airmata bergenang dan mengalir tanpa sebab. 

Macam macam yang difikirkan sehingga jauhnya jarak Manchester dengan Kuala Lumpur juga muncul di bayangan. Dihubungkan oleh penerbangan yang memakan masa berbelas belas jam. Membayangkan anakanda saya hidup di muka bumi yang jauh terpisah dengan saya. Di kala dan saat saya memohon Allah menjaga dia.

Saya juga mudah menitiskan airmata mengenangkan masa silam. Banyak perkara yang saya kesalkan. Bukan sahaja kepada ibubapa tetapi juga pada anak anak. Banyak yang saya tidak mampu berikan pada mereka ketika mereka masih di usia remaja. Terasa begitu cepat masa berlalu, mereka kini punya kehidupan sendiri. Mereka tidak lagi mengharapkan ibubapa. Mereka sibuk dengan urusan sendiri dan bercuti sendiri bersama kawan kawan. Wang yang banyak tidak menjamin kebahagiaan dan penawar kesunyian di hati ketika ini.

Mungkin betul lah kehidupan umpama roda. Saya sendiri juga pernah begitu. Sebaik melangkah ke alam perkahwinan dan bekerja di bandar, saya secara rasminya telah berhijrah dan tinggal berjauhan dengan ibubapa. Saya telah punya kehidupan sendiri dan kesibukan masa dengan urusan harian sehingga mungkin melupakan ibubapa. Lagi pula ketika itu, tiada kemudahan berkomunikasi seperti sekarang. 

Sedih juga memikirkan betapa banyak masa yang telah kerugian. Amalan yang tidak seberapa. Cuma saya berbaik sangka bahawa Allah Maha Pengasih kerana memanjangkan usia saya untuk memberi peluang bertaubat dan membuat sedikit amalan. Maklum usia kita setiap hari bukan bertambah, sebaliknya semakin singkat. Saya kuatir kalau kehidupan dunia ini melekakan saya dan anak anak. Atas dasar itulah, saya sentiasa memohon agar diberikan petunjuk dan hidayah supaya berada di jalan yang benar. 

Saya menyediakan Kari Ikan selepas lama memikirkan apa yang hendak dimasak. Ikan merah segar yang siap disiang dan dibersihkan dari Instagram @seafoodelivery. Biasanya kalau ikan merah, yang terbayang dalam kepala ialah ikan masak lemak, masak asam pedas, sup ikan atau kari ikan. Ikan merah ini dimasak apa pun sedap macam ikan berlado, atau asam rebus atau masak tiga rasa. Semua pun sedap. 

Kari Ikan Merah

Oleh kerana telah lama tidak memasak kari, itu yang tiba tiba teringin nak makan kari yang masam masam seperti yang disediakan oleh kakak ipar saya. Saya pernah melihat kakak ipar saya menggunakan satu kepal asam jawa. Itu sebab karinya akan terasa lebih masam seperti mana kari yang kita makan di restoran nasi kandar. 

Kari ikan adalah masakan baru buat saya. Masakan yang saya kenal selepas berkahwin sahaja. Saya tidak pernah makan kari ikan sejak kecil. Kalau ikan, biasanya arwah Bonda akan memasak gulai atau digoreng. Kalau kari, hanya kari ayam dan daging sahaja. 

Jom layan resepi Kari Ikan cara yang saya pelajari dari kawan kawan dan juga dari kakak ipar saya sendiri. Klik di SINI untuk video. Jom baca tips untuk menyediakan kari yang sedap di bahagian bawah entri ini. 

Kari Ikan Merah

Kari Ikan Merah

Bahan bahan:
1 ekor ikan merah
1 paket kecil rempah kari 
1 sudu besar halba campur
1 tangkai daun kari
Sedikit serbuk cili/cili kisar - jika suka pedas
1 kepal asam jawa
1 kotak santan kotak + 3 kotak air
Garam

Bahan hiris:
2 tangkai cili padi
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih

Bahan lain:
8 batang kacang bendi
1 biji tomato buah
2 tangkai cili hijau - belah 2

Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak dan tumis cili padi, bawang putih dan bawang merah yang dihiris dan halba campur. Bila minyak banyak, baru minyak akan timbul ketika dimasukkan santan. Minyak yang banyak bukan saja kari nampak cantik tapi rasanya pun lebih sedap. 

Kari Ikan Merah

Masukkan rempah kari kering yang tidak dibancuh dengan air. Kacau laju laju dalam 1-2 minit sebelum dimasukkan sedikit air. Masak lama lama dengan api perlahan sehingga rempah garing dan pecah minyak. 

Kari Ikan Merah

Setelah rempah terbit minyak, baru masukkan daun kari, santan dan air asam jawa. Perlahankan api. Kena selalu dikacau sehingga mendidih supaya kuah cantik dan tidak berketul. 

Bila mendidih, masukkan ikan. Setelah ikan hampir masak, masukkan bendi, tomato dan cili hijau.

Perlahankan api dan biarkan mereneh sehingga ianya pecah minyak. Jika perlu, boleh keluarkan ikan terlebih dahulu sementara kuah terbit minyak.

Kari Ikan Merah

Masukkan garam. Rasa garam harus seimbang dengan rasa masam. Paling penting, biarkan kuah kari ada sedikit rasa masam barulah rasanya lebih sedap. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan.

Kari Ikan Merah

Nota:
Saya suka kuah kari ikan yang sedikit cair dan rasa masam.

Kalau kari ayam, saya akan kisar sedikit bawang besar dan dimasukkan dalam kuah selepas dimasukkan santan yang sedang mendidih. Baru kari akan lebih pekat dan lemak manis. 

Jika sementara menunggu kuah terbit minyak, boleh ceduk keluar ikan takut ikan hancur. 

Kari Ikan Merah

Tips untuk menyediakan Kari Yang sedap. 
Rempah Kari Kering
Rempah ditumis kering dan dikacau dengan laju dalam 1-2 minit sebelum dimasuk sedikit air dan perlahankan api. Lepas terbit minyak barulah masukkan daun kari.

Kuantiti Minyak
Menumis kari mesti menggunakan minyak yang banyak. Ketika dimasukkan santan, baru minyak akan timbul. Minyak yang banyak bukan saja nampak cantik tapi rasanya pun lebih sedap.

Hirisan Bawang
Bawang bawang dan halia lebih sedap jika dihiris dan ditumis.

Halba Campur
Halba campur adalah bahan yang wajib dimasukkan dalam masakan kari ikan saya. Ia dapat menjadikan rasa dan aroma yang cukup hebat untuk kari ikan. 

Rempah Kari Kering
Rempah ditumis kering dan dikacau dengan laju dalam 1-2 minit sebelum dimasuk sedikit air dan perlahankan api. Lepas terbit minyak barulah masukkan daun kari. Apabila dah masuk air dan santan, perlahankan api dan biarkan lauk kari itu mereneh. Akhir sekali masukkan asam jawa atau asam keping, garam secukup rasa. 

Pecah Minyak
Ini langkah paling penting ketika menumis. Pastikan rempah ‘pecah minyaknya’ atau sesetengah orang panggil naik minyak. Pastikan minyak timbul dipermukaannya dan barulah dimasukkan ikan serta santan. Ketika menumis rempah, pastikan dibiarkan lama dengan penggunaan api perlahan sehingga minyak naik.

Asam Jawa dan Santan
Pastikan santan digaulkan dengan asam jawa hingga sebati terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam periuk. Apabila sebati adunannya barulah dituang ke dalam tumisan rempah yang sudah naik minyaknya. Mungkin ini agak janggal namun enak rasanya.

Kacau Sentiasa
Sebaik santan dimasukkan, kari haruslah sentiasa dikacau atau sesekali dikacau sehingga kuahnya mendidih. Ini bagi memastikan santan tidak pecah minyaknya dan kuah juga lebih elok.

Sedikit Masam
Rasa kuah kari ikan utara sememangnya masam berbanding jenis kari lain. Gaulkan asam jawa secukupnya ke dalam santan dan perasakan. Rasa garam juga harus seimbang. Paling penting, biarkan sedikit masam barulah rasanya lebih ‘umphh’.

Tambahan Sayuran
Akhir sekali masukkanlah tambahan sayuran. Tidak terlalu penting namun tambahan sayuran seperti kacang bendi dan tomato menaikkan lagi rasa berbeza kepada rasa kuah.


6 ulasan for "Kari Ikan Merah Dan Tips Membuat Kari Sedap "

  1. terima kasih kak azie untuk resepinya.. saya baru cuba td dan mmg sedap.. sy ikut tips yg akak bg Alhamdulillah sedap kari ikan saya masakkan tadi..

    BalasPadam
  2. Assalam... suka baca post ni.. awal-awal baca, sy hairan ni cerita kari ikan ke catatan peribadi... tapi saya baca jugaklah... akhirnya jumpa starting cerita kari ikan merah tu... hahaha. Cara terang masak kari macam tu, sy terbayang satu-satu... rasa senang jer nak buat... bila2 nanti nak pi cari ikan merah nak cuba sendiri... thanks kak Azie kut... rasanya saya muda lagi sebab anak sulung sorang jer dok kat Uni... hahaha

    BalasPadam
  3. Dah cuba ikut resepi dan tips ni. Sedap sangat. Terima kasih.

    BalasPadam
  4. Ikhlas dan sedap. The most trusted recipe. Honest and sincere.

    ‎جزاكَ الله خيراً كثير

    BalasPadam
  5. Pertama kali masak Kari..alhamdulilah ikut tips ini..berjaya dan sedap rasanya

    BalasPadam
  6. Dah Cuba resepi ini..pertama kali masak Kari..alhamdulilah berjaya Dan sedap

    BalasPadam