Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Gulai Kampung Daging Kambing




Gulai Kampung Daging Kambing


Oleh kerana tahun ini, kami membuat korban kambing, jadi resepi saya untuk hidangan makan tengahari hari ini masih lagi menggunakan daging kambing. Anda boleh menggunakan resepi yang sama untuk daging lembu juga. 

Daging kambing adalah lauk istimewa dalam keluarga saya di Kelantan. Setiap kali menpunyai majlis yang istimewa, pasti kami memilih kambing. Majlis istimewa tu seperti ada nazar ke, atau ada majlis kesyukuran ke.

Maklum kalau di kampung saya, daging lembu segar memang boleh di dapati setiap hari kerana boleh dikatakan lembu di sembelih setiap hari atau selang sehari. Tiada masalah untuk makan daging segar. 

Tapi tidak dengan kambing. Kena beli dan sembelih jika kita ingin makan daging kambing. Maksud saya, ianya tidak terdapat setiap hari. Selain kambing, itik serati, juga adalah hidangan istimewa yang dimasak untuk majlis tertentu atau pada hari tertentu seperti hari raya. 



Gulai Kampung Daging Kambing


Sebagai persediaan untuk memasak lauk pauk Kelantan pada hari raya Aidil Adha tahun ini, saya awal awal lagi telah memesan pada Cikgu Sakinah untuk tolong membeli rempah gulai dari Kelantan. Cikgu Sakinah telah pos rempah kuzi, rempah gulai kampung dan juga rempah kerutuk Hajah Cik Jah yang sangat terkenal di kalangan tukang gulai/tukang masak di Bachok. 

Ramai yang menghantar mesej bertanya brand rempah rempah dari Kelantan yang biasa saya gunakan. Sebenarnya rempah gulai kawah, rempah kerutuk, kuzi dan sebagainya dijual secara timbang di Kelantan. Tiada brand pun. 

Bila ke kedai runcit, cuma perlu beritahu rempah diperlukan untuk memasak berapa ekor ayam atau kita perlu rempah untuk berapa kilo. Semasa ditimbang, mereka akan satukan pelbagai rempah ratus mengikut nisbah tertentu. Semua dibuat di hadapan pelanggan. Rempah rempah ini semua diletak dalam guni plastik besar. 

Hari ini, saya menyediakan masakan Gulai Kampung Kambing. Saya pun tak pasti rempah yang ditulis sebagai gulai kampung ni sama dengan rempah gulai kawah. Hmm itu tak penting, kerana asal rempah dari Kelantan, tetap kesukaan saya. 

Daaaan yang paling penting, gulai saya hari ini memang sedap kebabom. Hubby makan dengan mencicah roti gardenia. Saya makan seperti nasi berlauk, dengan sambal belacan. 

Sebelah malam, lagi bertambah sedap sebab semuanya sebati bersama. Saya turun dah pukul 10.00 malam, masuk dapur buka periuk. Kali ini makan gulai dengan roti sahaja. 

Teringat zaman dulu masa kecik kecik, ada majlis kenduri yang tidak dihidangkan nasi. Sebaliknya hanya dihidangkan gulai kawah dimakan dengan roti bata. Tapi rasanya sekarang dah tak ada lagi kot yang buat seperti ini. Takut nanti dikecam orang sebagai bakhil pulak kerana lokek nak menghidangkan nasi dan lauk pauk.  

Jom layan cara menyediakan gulai kambing dengan menggunakan rempah gulai kampung hari ini. Terbaeek dan saya sendiri memuji masakan saya hari ini dengan memberi 10 bintang. Hahaha...




Gulai Kampung Daging Kambing

Gulai Daging Kambing 

Bahan bahan:
2 kg daging kambing dan tulang - hiris sederhana tebal
Hati, limpa, paru - hiris
4 sudu besar serbuk kari kampung
2 kotak santan kotak
2 - 3 sudu besar kerisik - saya buat sendiri
Sedikit gula pasir 
1/4 keping Gula Melaka
Garam
2 keping asam keping
1 biji bawang besar - kisar
Rempah 3 sekawan

Bahan Hiris:
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih 
2 inci halia 

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah 3 sekawan iaitu kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga. Masukkan bawang putih, halia dan akhir sekali bawang merah. Tumis sehingga bawang keperangan. 

Masukkan pula bawang besar yang dikisar dan diikuti dengan serbuk kari. Kacau rata sehingga wangi. 

Masukkan sedikit air untuk mengelakkan serbuk kari menjadi hangit. Tumis sehingga rempah garing. Kalau istilah orang Kelantan, ianya tidak kelihatan "berselut". Maknanya rempah dah terbit minyak. 

Nota: serbuk kari dibancuh dengan sedikit air tapi cara saya memasukkan serbuk kari semasa menumis supaya lebih garing dan wangi sebelum dimasukkan air untuk mengelakkan ianya hangit pula. 

Setelah rempah kari masak, masukkan daging dan masak sehingga air daging telah kering dan terbit minyak. Nota; Kali ini, saya merebus daging dengan pressure cooker terlebih dahulu. Kemudian, masukkan daging dan air rebusan ke dalam bahan tumis tadi. 

Setelah terbit minyak, baru dimasukkan santan dan air secukupnya. Kacau rata sehingga daging lembut. 

Akhir sekali masukkan bahan perasa seperti garam, gula Melaka, gula, asam keping dan juga kerisik. Sesuaikan rasa. 

Setelah kuah terbit minyak cantik, bolehlah diangkat dan dihidangkan dengan nasi putih, hirisan timun/acar timun masak dan sambal belacan menjadi ala ala nasi berlauk.


Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

2 ulasan for "Gulai Kampung Daging Kambing"