Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Percik Kelantan Yang Sedap, Original and Authentic



Insya Allah esok kita akan mula masuk malam ke 20. Bermakna kita telah berada di 10 malam terakhir yang di dalamnya adanya malam Lailatul Qadr yang ganjarannya melebihi 1000 bulan. Jom kita sama sama memburu malam Lailatul Qadr dengan penuh keikhlasan kerana Allah Taala. OK kita masuk sedikit bab pesanan dari ustaz ustazah. 

Kalau sayang anak kena suruh dia solat. Tak boleh putus asa untuk terus bagi peringatan. Solat adalah tiang agama. Tak boleh biarkan anak tak solat tapi kita buat tak tahu jer. 

Namun ramai ibubapa yang tidak menegur anak yang tidak solat. Malah ada ibu yang tidak menegur anak yang dah besar panjang yang tidak berpuasa pun. Hidayah milik Allah tetapi ia bukan bermakna ibubapa boleh cuai dalam menjalankan tugasnya mendidik anak anak. 

Ibubapa akan bertanggungjawab di hadapan Allah jika hanya mendiamkan diri tanpa menegur. Selebihnya hendak lah ibubapa berdoa agar anak anak diberikan petunjuk dan jalan yang benar. Ibubapa juga perlu sentiasa memohon keampunan dari Allah atas kecuaian dalam mendidik anak anak yang diamanahkan Allah. 

Itu sebab bila kita memilih pasangan, cari lah orang yang tinggi ilmu agamanya. Lebih lebih lagi suami kerana dia akan menjadi ketua keluarga. Apa jadi pada kapal jika kaptennya sendiri tidak berfungsi. Ramai para suami sekarang yang bukan sahaja tidak bagus kedudukan kewangan tapi rapuh ilmu agamanya. Jom kita masuk pula bab resipi. 


Resepi Kelantan original adalah simple sahaja. Resepi inilah yang digunakan oleh arwah Bonda saya jika ingin menyediakan percik samada percik ayam atau percik ikan kembung. Lagi sedap jika ikan ada telur di dalamnya. Boleh lihat di SINI, entri ayam percik putih yang disediakan oleh kakak saya. Jika ingin percik merah, cuma letakkan sedikit cili kering seperti entri di SINI. Entri Ikan Percik Kelantan original pula, boleh klik di SINI

Semasa berchatting dalam group rakan sekolah, kawan saya cikgu Roslina Majid telah menulis resepi keluarga beliau yang sama dengan cara arwah Bonda saya menyediakan ayam percik. Tapi biasalah orang zaman dulu memasak main campak campak jer. Tiada sukatan. 

Jika kita rajin menyibuk di dapur untuk memasak bersama, kita akan pandailah mengagak bahan bahan yang digunakan. Jadi saya minta Roslina memberi sukatan agak agak yang beliau gunakan. Berdasarkan sukatan yang diberi, saya olah berdasarkan apa yang biasa saya gunakan juga untuk menghasilkan resepi yang secukup rasa sukatannya. Supaya ianya menghasilkan ayam percik yang bak kata Roslina "very original and authentic". 

Ada orang yang akan mengisar sekali serai bersama bawang tetapi saya lebih suka haruman serai yang diketuk sahaja di dalam kuah percik.


Jom layan resepi dulu. Untuk menikmati masakan Kelantan yang betul betul original, saya tiada pilihan melainkan menyediakannya sendiri di rumah. Tak sama dengan masakan orang yang berniaga di KL ni walaupun mereka berasal dari Kelantan. 

Ayam percik saya hari ini kelihatan sedikit nipis kerana saya celup dengan kuah percik hanya sekali sahaja kerana arang dah kehabisan. Masa nak makan, boleh lumur dan masukkan dalam air fryer jika mahu kuah percik yang melekat di ayam lebih tebal dan bersalut. Saya tak buat macam tu kerana mahukan aroma arang ketika dibakar ada pada ayam percik. 

Jangan lupa subscribe pada youtube Azie Kitchen channel dan follow Instagram Azie Kitchen. Video di Azie Kitchen youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...

 
Ayam Percik Original Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
½ ekor ayam - guna 6 bahagian thigh 
700 gram santan pekat segar
1 keping asam keping
4 sudu besar gula - kena ada rasa manis
½ sudu kecil garam 
1 sudu besar tepung beras/tepung jagung - opysenal
1 batang serai ketuk - opsyenal

Bahan kisar:
4 tangkai cili kering - guna 1 sudu besar cili kering kisar
15 biji bawang merah - kena lebih baru sedap

Bahan perap:
12 biji bawang merah
2 inci halia
Garam

Cara cara:
Ayam dibuang kulit dan potong 4 dan dikelar kelar. Tumbuk halia dan bawang merah hingga lumat. Masukkan garam supaya lebih lumat. Lumur bahan tumbuk pada ayam. Biarkan dalam 30 minit. 


Lepas tu, ayam disusun dalam pengukus dan dikukus sehingga masak, sebelum dibakar. Nota: mesti kukus sampai masak supaya tiada lagi darah pada tulang ayam. 



Sementara. itu, kisar bahan kisar bersama dengan sedikit santan pekat hingga benar benar hancur. 

Masak bahan kisar bersama baki santan serta serai atas api perlahan sambil terus dikacau sehingga santan pekat. Masukkan asam keping, gula dan garam secukupnya. Boleh keluarkan asam, dikuatiri terlebih masam. Nota: kuah percik mesti sedikit ada rasa manis.



Akhir sekali, masukkan tepung beras yang dibancuh dengan sedikit air. Bila elok kepekatannya, bolehlah tutup api dan dilumur pada ayam yang sedang dibakar. 

Ayam dibalik balikkan dan lumur lagi kuah percik berulang ulang. 






Nota:
Jika menyediakan ayam percik putih, tak perlu memasukkan cili kering. 

Kuah akan lebih pekat setelah sejuk, jadi jangan dimasak terlebih pekat.

Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

Catat Ulasan for "Ayam Percik Kelantan Yang Sedap, Original and Authentic"