Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Masak Lemak Tempoyak Telur Itik Dengan Pucuk Ubi



Masak Lemak Tempoyak Telur Itik Pucuk Ubi


Sebelum masuk bab resepi, meh kita kongsikan sedikit kuliah dari youtube Ustaz Jafri. Kalau orang yang mati tahu yang dia akan mati pada hari tu, agak agak dia ada kat mana sepanjang hari tersebut. Mesti di masjid berzikir dan baca Al Quran seharian. Tapi masalahnya kita tak tahu bila kita akan mati. Yang paling takut ialah bila kita mati dalam keadaan masih ada dosa yang belum terampun. Mati dalam keadaan lalai. 

Siapa orang yang lalai? Orang yang lalai, ialah orang yang lalui sepanjang hari dari pagi tanpa sekali pun terfikir bagaimana kalau aku mati hari ini. Cukupkah amalan aku, cukup kah istighfar aku. Bagaimana dengan dosa aku. Orang lalai akan sangat terkejut bila malaikat maut datang. Dia lalai dia seronok dengan dunia. Bila malaikat maut datang memberi salam, masa tu baru terfikir amalan tak cukup, dosa belum terampun, Quran belum baca, taubat belum buat. Tapi ketika itu semua sudah terlambat. 

Jadi kenapa masih bertangguh? Sebabnya kerana kita belum ada plan untuk mati lagi. Kenapa suka bertangguh dengan amal? Kata Imam Ghazali, ianya tanda hati seseorang itu tenggelam dengan dosa. Kalau mati masih ada dosa. Dosa akan dibawa ke masyhar dan kita akan menyesal amat sangat kerana dosa dah tak boleh dipadam. Nilai dosa di akhirat adalah azab.


Masak Lemak Tempoyak Telur Itik Pucuk Ubi

Mari buat beberapa amal yang simple.
1. Sungguh sungguh dan niat sungguh sungguh nak buat solat sunat tahajjud. Kunci jam agak agak nak bangun. Jangan terlalu awal, takut kita akan tutup jam bila terlalu mengantuk. Buat 2 rakaat pun cukup untuk permulaan. Biar sedikit tetapi istiqamah.
2. Baca Al Quran secara istiqamah sekurang kurangnya satu muka surat setiap hari. Al Quran akan menjadi peguambela kita dan akan memberi syafaat kepadaa pembacanya.
3. Kena solat berjemaah terutama lelaki. Solat sendirian 4 rakaat dapat 1 pahala. Solat berjemaah 4 rakaat dapat 27 kali ganda pahala di darab pula dengan berapa ramai orang berjemaah tetutama solat Isyak dan Subuh berjemaah. Pahala seolah beribadah qiamullail separuh malam bagi Isyak dan sepanjang malam bagi Subuh. Tanda Allah sayang ialah bila Allah jemput dia pergi solat berjemaah walaupun rumah dia jauh dari masjid. Orang yang Hati sentiasa terikat dengan masjid akan dapat perlindungan arasy Allah.
4. Jaga wudhu. Jangan terputus. Bila batal ambil balik. Seorang yang suka berwudhu akan dapat 2 perkara iaitu hati akan sentiasa teringin untuk solat. Kita kadang kadang berat untuk solat kerana malas untuk mengambil wudhu. Kedua, malaikat akan selalu berdamping dan mendoakan orang yang berwudhu dengan 2 perkara iaitu supaya diampunkan dosa dan supaya Allah kasihkan kita. Di padang masyhar bagaimana Rasulullah kenal umat baginda? Jawapannya ialah wajah bercahaya hasil dari wudhu sepertimana kuda putih berada di tengah tengah kuda hitam.
5. Perbanyakkan beristighfar. Dalam tulisan akan datang, saya akan kongsikan apa yang dikatakan taubat dan apa pula istighfar. Saya sendiri masih belajar kedua duanya. Semoga kita dapat bertaubat sebelum mati. Mati itu pasti dan boleh berlaku pada bila bila masa tanpa mengira usia dan tahap kesihatan. Jangan kita jadi orang yang lalai iaitu orang yang seharian, tidak langsung mengingati mati. 

Kali ini saya masih kongsikan resepi dari @bondarozita iaitu Pengasas Sendayu Tinggi yang memasak telur itik segar hasil dari reban beliau sendiri. Memang sangat teruja melihatnya. Petua yang diberi adalah perlahankan api dan masukkan telur sebelum kuah mendidih. Ketika dimasukkan telur, boleh dilihat kuahnya agak pekat, jadi telur tidak akan merebak keluar. Tambahan pula telur yang digunakan adalah telur baru yang masih segar. Itu sebab hasilnya telur yang dimasak oleh Bonda Rozita berbentuk bulat cantik. Selain itu, kuah masak lemak telur itik sedap jika kuahnya pekat. 

Boleh dikatakan setiap hari, saya akan menjenguk Instagram Bonda Rozita Ibrahim. Saya kagum dengan cara beliau menghabiskan usia beliau dengan penuh ceria dan memberi manafaat pada pembacanya. Bonda rozita tidak memasukkan daun kunyit tapi saya seperti biasa, akan memasukkan daun kunyit ke dalam masak lemak. Kenapa saya pilih resepi ini kerana ianya menggunakan bahan yang berbeza dengan resepi resepi masak lemak telur saya sebelum ini di SINI  dan di SINI. Ada penggunaan bawang putih dan buah keras. Bonda Rozita juga gemar memasukkan serbuk pati ayam dalam banyak masakan beliau.

Jom layan resepi yang saya catat hasil dari melihat video Bonda Rozita. Jangan lupa, nantikan video saya di Instagram Azie Kitchen juga di youtube Azie Kitchen channel...


Masak Lemak Tempoyak Telur Itik Pucuk Ubi

Masak Lemak Tempoyak Telur Itik Dengan Pucuk Ubi
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5 biji telur itik
1 ikat pucuk ubi
1 kotak santan kotak
Serbuk kunyit - jika tak guna kunyit hidup
Serbuk pati ayam
Garam
Gula
2 keping asam keping
1 sudu besar tempoyak - boleh tambah 2-3 sudu besar lagi ikut masam tempoyak
1 helai daun kunyit - opsyenal

Bahan kisar:
1/2 biji bawang besar Holland
3 ulas bawang putih
10 tangkai cili padi
1 inci kunyit hidup
1 batang serai
1 1/2 -2 biji buah keras

Cara cara:
Rendam seketika pucuk ubi dengan air yang diletak sedikit garam. Panaskan air sehingga mendidih. Rebus pucuk ubi sehingga daunnya empuk. Ambik sedikit daun yang direbus dan cuba putuskan. Jika senang putus bermakna pucuk ubi sudah empuk. Sekiranya terasa susah putus, teruskan rebus sehingga empuk. Bila empuk toskan airnya dan tunggu sehingga sejuk. Potong-potongkan sikit pucuk ubi jika suka.





Masak bahan kisar dan dikacau kacau sehingga sedikit masak cili padinya. Masukkan serbuk kunyit, serbuk pati ayam, gula dan garam. Jika guna kunyit hidup, tak perlulah serbuk kunyit. Kacau lagi.

Masukkan sedikit air dan biarkan ianya sedikit pekat. Perlahankan api. Masukkan telur satu persatu. Pastikan telur dimasukkan sebelum kuah mendidih. Jangan dikacau sehingga telur masak.





Bila telur dah masak, tambahkan air secukupnya dan bila kuah mendidih, baru masukkan santan. Selepas masuk santan, masak sekejap jer jangan sampai mendidih. Barulah kuah cantik, sedap dan berlemak.




Masukkan pula pucuk ubi yang direbus. Akhir sekali masukkan asam keping dan tempoyak. Ada tempoyak lebih masam jika telah lama, jadi rasa dulu sebelum masukkan asam keping. Kacau rata dan sesuaikan rasa.



 
Nota:
Masak lemak telur itik, mestilah kuahnya pekat. Barulah sedap.


 
Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

Catat Ulasan for "Masak Lemak Tempoyak Telur Itik Dengan Pucuk Ubi"