Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Tumis Udang dan Rahsia Sambal Tumis Yang Sedap


 Sambal Tumis Udang dan Rahsia Sambal Tumis Yang Sedap


Hari ini saya masuk ke dapur menyediakan hidangan makan tengahari untuk anak anak. Kebetulan Juita akan balik ke kolej, jadi beliau minta dimasakkan nasi lemak. Tapi rancangan memasak nasi lemak telah bertukar di saat akhir walaupun saya telah merebus telur dan membeli sayur kangkung untuk dicelur. Oleh kerana ingin menjemput Allain makan tengahari di rumah, saya kira elok dan lebih sesuai jika saya hanya memasak nasi putih. Saya menyediakan Sambal Tumis Udang, Sayur Lemak Putih Kubis dan Terung dan Ayam goreng kunyit. Walaupun lauk yang ringkas, seronok tengok Alain makan menambah nambah. 



Sambal Tumis Udang dan Rahsia Sambal Tumis Yang Sedap

Hari ini saya ingin kongsikan teknik memasak Sambal Tumis Udang cara Sharifah Zainon yang agak berbeza sedikit dengan cara saya. Berbeza sedikit sahaja. Bahan pun semua sama. Seperti biasa, saya akan belajar dan belajar dalam bab masakan kerana teknik yang berbeza boleh menghasilkan masakan yang berbeza keenakannya. 

Resepi yang dikongsikan Puan Sharifah juga tidak menggunakan asam keping, mahu pun air asam jawa. Jadi saya tuliskan ianya sebagai opsyenal di dalam resepi. Beliau hanya menggunakan gula dan garam sahaja. Tapi ikutlah selera masing masing, kalau suka bolehlah letak sedikit air asam jawa atau asam keping.

Bahan bahan yang digunakan semua sama dengan resepi sambal tumis yang saya sediakan selama ini cuma teknik memasaknya sahaja yang sedikit berbeza. Nak tengok apa perbezaannya, boleh layan video yang saya sediakan di Instagram Azie Kitchen. Jika biasanya, saya akan goreng udang seketika. Tapi kali ini, saya memasukkan terus udang ke dalam sambal. Entah kenapa dan di mana silapnya, sambal saya terasa agak hanyir. Jadi saya terpaksa meletakkan asam keping.

Saya juga belajar dari Roy, rakan sepejabat yang jika mahu menambah keenakan Sambal Tumis adalah dengan memasukkan sedikit santan atau susu cair untuk menambah rasa lemak. Haa inilah rahsianya. Tapi masa menyediakan Sambal tadi, terlupa lah pulak untuk masukkan susu cair. Aduhaai...Jom layan resepi di bawah ini...



Sambal Tumis Udang dan Rahsia Sambal Tumis Yang Sedap

Sambal Tumis Udang
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Udang secukupnya - buang kepala, jika suka
1 labu bawang besar - hiris
Minyak masak
Gula
Garam
Sedikit santan - opsyenal
Air asam jawa/asam keping - opsyenal

Bahan kisar:
5 labu bawang besar
1 labu bawang putih
1-2 senduk cili kisar
Sebesar ibu jari belacan - saya tak letak

Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak sesuai dengan bahan yang hendak ditumis.

Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Masukkan air panas sedikit demi sedikit dan masak lagi sehingga terbit minyak.

Bila mengelegak, masukkan gula dan masak sehingga ianya hampir kering. Jika suka petai, boleh masukkan petai ketika ini.

Sebelum kering, masukkan udang dan garam. Nota; saya suka menggorengkan dulu udang seketika. Akhir sekali masukkan bawang besar hiris dan sedikit santan, jika suka. Sesuaikan rasa. Masak sehingga kering dan pecah minyak.



Sambal Tumis Udang dan Rahsia Sambal Tumis Yang Sedap


Nota: jangan masukkan udang terlalu cepat kerana udang akan mengecut.

Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

5 ulasan for "Sambal Tumis Udang dan Rahsia Sambal Tumis Yang Sedap"

  1. Betul tu.
    Udang yang terlalu masak akan mengecut dan kulitnya akan melekat pada isinya.
    Sedapnya sambal udang.

    BalasPadam
  2. aah kalau mak saya memang letak santan sikit. sambal sotong pun sama jugak :)
    tapi kalau letak sambal udang ni dengan petai. pergh sodap! hehe

    BalasPadam
  3. Sambal tumis yg sedap memang bubuh sedikit santan. Itulah resepi negeri sembilan.

    BalasPadam
  4. Ada yang kata buat sambal tumis jangan guna bawang besarsebagai bahan kisar.guna bawang kecil.

    BalasPadam