Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Ayam Kampung Dara Organik Yang Sangat Sedap



Rendang Ayam Kampung Dara Organik


Menu wajib setiap kali menyambut hari raya, pastilah Rendang untuk dimakan dengan lemang. Tanpa rendang, memang rasa tak lengkaplah hidangan raya. Rendang ayam saya hari ni menggunakan ayam kampung dara organik. Ayam ini menjadikan rendang saya lebih sedap kerana dagingnya yang lebih keras dan tidak hancur. Saya membeli 10 ekor ayam kampung dara organik dari Makku Saniah. Sesiapa nak order, boleh call Makku Saniah di 0187734348. Tolong promote sikit sebab memang sangat berbaloi beli ayam ini. Selain sedap, ianya juga lebih sihat kerana kurang lemak. Walaupun dimasak dan dikacau agak lama, tapi ayamnya tidaklah hancur seperti mana ayam biasa. 



Rendang Ayam Kampung Dara Organik


Selain menggunakan ayam kampung dara organik, kelainan dari tahun tahun sebelum nya ialah rendang ini saya masak lama dengan menggunakan api perlahan. Hampir rendang saya menjadi hangit bila Juita dan Aween yang ditugas untuk mengeringkan rendang mungkin terlupa untuk mengacaunya. Ada hikmahnya juga kerana inilah kali pertama saya mendapat rupa Rendang Minang yang berwarna agak gelap dan kering. Maklum kalau saya yang mengeringkannya, cukup sekadar pecah minyak jer. Tak larat nak mengacau lama lama. Itu sebab warna rendang saya kali ini agak gelap keperangan. Saya agak malas untuk mengambil gambar yang cantik cantik, yang mana dihidang itulah saya snap gambar. Maklum selepas rendang masak, saya telah menjadi sangat keletihan. Saya bergegas ke surau untuk menunaikan solat Isyak dan kemudian join takbir raya dari rumah ke rumah di kejiranan kami. 7 buah rumah juga yang menyertai. Jadi bila balik rumah, saya da memang keletihan tahap gaban. Ianya terbawa bawa sehingga ke pagi raya. Berbalik pada resepi rendang, boleh klik di SINI untuk entri sebelum ini. Boleh juga layan video yang saya sediakan di bawah ini.





Jom layan resepi Rendang Minang yang saya pelajari dari sahabat saya. Resepi turun temurun keluarga beliau. Selain sedap, yang penting tahan lama. Maklum rendang untuk jamuan raya di masak dalam jumlah yang banyak. Jadi ketahanan sangat lah penting supaya ianya tidak cepat basi. Rendang ini jugak lagi sedap selepas sehari, panaskan sehingga minyak dalam rendang akan kering bersama ayam dan perencahnya..

  Rendang Ayam Kampung Dara Organik

Rendang Ayam Minang

Bahan bahan:
2 ekor ayam
1 kg bawang merah - hiris
3 labu bawang putih - hiris
4 inci halia - hiris
4 inci lengkuas - tumbuk
2 inci kunyit hidup - tumbuk
4 batang serai - titik
4 senduk cili kisar - ikut suka pedas
Kayu manis, buah pelaga, bunga lawang
4 kg santan
2 keping asam keping - ikut rasa
Garam
Gula
Daun kunyit - opsyenal
Sedikit kerisik - opsyenal utk warna gelap

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah penumis bersama bahan hiris serta serai sehingga wangi. Kemudian masukkan cili kisar dan kunyit serta lengkuas yang ditumbuk. Tumis sehingga cili benar benar garing.

Masukkan ayam dan gaul rata sehingga ayam kecut. Masukkan sedikit santan cair bagi membolehkan ayam masak. Setelah itu, baru dimasukkan semua santan dan masak dengan api perlahan sahaja.


Rendang Ayam Kampung Dara Organik

Akhir sekali, masukkan kerisik, garam, gula dan asam keping secukup rasa. Masak sehingga kuah kering dan pecah minyak. Jika suka, boleh taburkan daun kunyit yang dihiris halus sebelum ditutup api.


Rendang Ayam Kampung Dara Organik

Sedap dimakan dengan lemang dan juga nasi impit.




Rendang Ayam Kampung Dara Organik



Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

Catat Ulasan for "Rendang Ayam Kampung Dara Organik Yang Sangat Sedap"