Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Ayam Nur Qaseh


Rendang Ayam Nur Qaseh


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua pembaca blog Azie Kitchen tak kira di mana berada. Tahniah kerana telah menyempurnakan ibadah ibadah di bulan Ramadhan. Semoga Allah menerima ibadah saya dan ibadah anda semua. Sama sama doakan agar kita ditemukan dengan Ramadhan yang akan datang. Hari ini saya ke dapur untuk menyediakan hidangan buat berbuka puasa enam kerana suami dan anak anak semuanya mulai berpuasa enam. Banyak yang saya sediakan, antaranya rendang ayam untuk dimakan dengan lemang, kuah lodeh untuk dimakan dengan nasi impit yang masih bersisa serta kuah kacang dan sate. Tak lupa juga Kuih Apam Balik yang memang telah lama saya ingin nikmati. Kali ini saya ingin kongsikan resepi berkenaan dengan rendang ayam dahulu. Yang lain kena tunggu entri akan datang. 



Rendang Ayam Nur Qaseh

Resepi rendang ayam yang saya gunakan pada hari ini adalah resepi pertama rendang ayam yang saya pelajari sejak berkahwin dan mula belajar memasak. Saya pun dah tak ingat dari siapa saya belajar resepi ini. Kiranya setiap kali memasak rendang, saya akan memasaknya tanpa perlu merujuk kepada resepi pun. Sukatan bahannya hanya perlu dicampak campak. Tapi untuk dirujuk oleh anak anak, hari ini saya letakkan sukatan bahan bahan yang digunakan. Kalau arwah Bonda Mertua, beliau akan menghiris bahan bahan seperti bawang, halia dan serai supaya lebih berserdak. Tapi hari ini, saya hanya kisarkan semuanya kerana memang tak larat. Maklumlah sejak balik dari mengerjakan umrah, saya masih dalam jetlag, tidur dan hanya bangun untuk solat sahaja. 


Rendang Ayam Nur Qaseh

Mengerjakan ibadah umrah terutama di bulan Ramadhan memang memenatkan. Penat kerana terpaksa lama beriktikaf di masjid, penat kerana berasak asak di masjid dan juga di jalanan. Tapi bak kata Ustaz Ibrahim, penat yang berpahala, jadi saya kena banyak bersabar. Memanglah di usia sebegini, kepenatan memang tidak dapat dielakkan. Dapat dirasakan perbezaan ketara dengan setahun yang lalu. Itulah sebab kita kena pebanyakkan beribadah tat kala usia masih muda dan kuat. Malah Allah lebih suka orang muda yang beribadah. 

Jom kita tengok resepi yang saya gunakan hari ini...


Rendang Ayam Nur Qaseh

Rendang Ayam Nur Qaseh

Bahan bahan:
1 ekor ayam
1 1/2 helai daun kunyit - hiris halus
1 paket kerisik
3 pek plastik kecil santan
Garam
Gula
1 keping asam keping

Bahan kisar:
8 ulas bawang merah
1/2 biji bawang besar
5 - 6 ulas bawang putih
15 tangkai cili kering - ikut pedas disukai
5 hiris lengkuas
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
3-4 batang serai

Cara cara:
Kisar semua bahan bahan di atas dan masukkan ke dalam kuali bersama ayam dan santan. 

Masak sehingga mendidih dan hampir kering. Masukkan kerisik, garam, gula dan asam keping.

Bila dah hampir keluar minyak, taburkan daun kunyit yang telah dihiris. Kacau rata dan bolehlah tutup api. 


Rendang Ayam Nur Qaseh


Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

2 ulasan for "Rendang Ayam Nur Qaseh"

  1. menggodanyaaa tengok rendang malam malam gini..
    tak puas lagi makan rendang kat rumah nenek dah kena balik rumah..

    btw selamat hari raya :D

    BalasPadam
  2. Salam, 3 pek kecik santan tu yg dlm kotak ke? Satu kotak brp ml?

    BalasPadam