Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Terung Goreng Berlado Kegemaran Azie


Terung Goreng Berlado



Dalam kita memasak dan makan yang enak enak, kita jangan sesekali melupakan mereka yang dalam kesusahan dan anak anak yatim. Dalam kuliah Zohor Ustaz Aliff adalah Bab bab Dosa Besar, dibincangkan dosa besar ke13 iaitu memakan harta anak yatim secara zalim. Kita boleh mengambil harta anak yatim yang dijaga sekadar untuk menampung perbelanjaan mereka atau bagi orang yang miskin, diambil sebagai upah. Selain itu, boleh diambil sebagai pinjaman yang dibayar balik atau diambil kerana darurat. Balasan dosa yang sangat besar bagi mereka yang menzalimi anak yatim, malah berganda. Begitu juga pahalanya juga berganda bagi sesiapa yang berbuat kebaikan pada anak yatim. Rasulullah menunjukkan 2 jari iaitu jari tengah dan jari telunjuk sebagai menunjukkan betapa dekatnya mereka yang menjaga anak yatim dengan baginda. Rasulullah mengajar kita supaya mengusap kepala anak yatim, kerana bagi setiap rambut yang diusap adalah bersamaan dengan 1 pahala. 



Terung Goreng Berlado

Sempena bulan Ramadhan yang akan tiba  tidak lama lagi, bolehlah kita sama sama memberikan sedikit sumbangan pada anak yatim mengikut kemampuan kita. Sekarang kita, masuk bab resepi pula. Kali ini nak bercerita pasal terung. Terung adalah lauk kegemaran saya apalagi terung yang kecil dan bijinya halus halus tu. Saya boleh meratah begitu sahaja samada terung digoreng atau terung yang hanya dicelur. Kalau di kampung pasti terung celur dicicah dengan budu tapi kalau saya tak perlu budu pun, boleh licin gak. Selain digoreng berlado, saya juga penggemar Pajeri Terung. Kalau nampak pajeri terung, pasti ianya akan menjadi lauk pilihan kalau makan di mana mana kedai makan. 

Cara menyediakan terung berlada sama sahaja dengan cara menyediakan Ikan Goreng Berlado di SINI dan di SINI. Bila saya membuat rencah yang banyak, saya akan simpan sedikit di dalam tupperware dan disimpan di dalam freezer. Bila mahu menggunakannya, keluarkan dan cuma perlu disediakan terung untuk digoreng atau lain lain sayuran. Haa jimat masa jika kita dapat merancang seperti ini apalagi di bulan Ramadhan di mana saya tidak punya banyak waktu untuk memasak. 

Resepi lain Terung Goreng Berlado menggunakan udang kering yang telah saya cuba, boleh klik di SINI. Kedua duanya sama sahaja sedapnya. Boleh jer cuba kedua duanya untuk kelainan. Jom kita semak resepi yang saya gunakan hari ini....



Terung Goreng Berlado

Terung Goreng Berlado

Bahan bahan:
Terung 
1 biji bawang besar - hiris
10 tangkai cili kering
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Asam keping
Garam
Gula

Cara cara:
Terung dibelah 2 dan digoreng. Angkat dan ketepikan. Dengan menggunakan lebihan minyak tadi, tumis bawang besar sehingga layu. Kemudian masukkan cili yang dikisar bersama bawang merah dan bawang putih. Tumis sehingga cili masak dan pecah minyak.



Terung Goreng Berlado


Masukkan asam, garam dan gula. Gaul rata dan sesuaikan rasa. Bolehlah dituang ke atas terung. Sedia untuk dihidangkan.


Nota:
Jika suka boleh masukkan sedikit daun kunyit, lagi harum baunya.



Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

1 ulasan for "Terung Goreng Berlado Kegemaran Azie"