Bagaimana Untuk Mendapat Pahala Berterusan Selepas Mati
Hari ini saya ingin
kongsikan artikel sangat bagus yang saya ambil di SINI untuk peringatan kita semua. Sebagai umat Islam kita wajib percaya kepada perkara-perkara ghaib termasuklah
perihal di alam roh ataupun di alam barzakh. Apabila matinya anak Adam,
terputuslah segala kemewahan dan kenikmatan dunia kecuali amalan soleh yang
dapat membantu kita di alam kubur kelak.
Dari Abu
Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Apabila seorang anak Adam
mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang
memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Hadith Sahih – Riwayat Muslim)
(Hadith Sahih – Riwayat Muslim)
Oleh yang demikian, sebagai
persediaan menuju alam kematian yang kekal dan tidak kembali lagi mari kita
berazam untuk membuat sedekah jariah bagi menjamin pahala yang berterusan untuk
kita nikmat kelak.
Apakah jenis-jenis amalan
tersebut? Hidup kita di dunia ini hanyalah sementara sahaja. Dari itu, peluang
yang ada di atas muka bumi Allah SWT ini adalah lebih elok andai diisi dengan
amalan-amalan soleh serta kebaikan kepada manusia dan makhluk-makhluk lain
juga.
Cara mudah yang boleh kita
lakukan untuk ganjaran pahala berterusan adalah seperti membuat sedekah jariah
iaitu dalam bentuk harta benda yang diwaqafkan kerana Allah SWT seperti :
1. Mewaqafkan sebuah kebun
bersama hasil tanamannya untuk kebajikan umum. Juga boleh mewaqafkan sebidang
tanah untuk menjadi tapak masjid, surau, mendirikan rumah anak-anak yatim,
madrasah, sekolah, pusat-pusat pengajian Islam dan sebagainya.
2. Mendirikan atau
berkhairat ala kadarnya untuk mendirikan masjid surau, rumah anak yatim,
madrasah, sekolah dan sebagainya.
3. Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat
sahaja atau umum untuk kegunaan orang-orang miskin yang memerlukan tempat
berteduh mahupun untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan
umum.
4. Mendirikan rumah
“musafir khanah” untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya.
5. Seterusnya, bagi yang
berkemampuan dan berharta boleh mendirikan hospital, mendirikan perpustakaan
untuk kegunaan umum, membiayai percetakan naskah al-Qur’an dan kitab-kitab
Islam serta menyampaikan pengetahuan yang berguna jika berilmu dan sebagainya.
Memberi ilmu yang
bermanfaat akan beroleh pahala yang besar. Selain itu, antara amalan
baik dan kebajikan yang boleh kita usahakan untuk beroleh pahala adalah:
- Mengeluarkan kos untuk memasang kipas di surau atau masjid kerana setiap kali jemaah yang menggunakan alatan tersebut untuk tujuan ibadah pahala akan diperolehi walaupun selepas mati.
- Menderma kerusi roda di hospital. Jika setiap kali pesakit menggunakan kerusi roda tersebut ganjaran pahala akan diterima.
- Bersedekah pakaian kepada insan yang memerlukan.
- Memberi makanan kepada insan lain, pahala akan dirasai selagi makanan itu menjadi darah dagingnya.
- Menyampaikan ilmu yang bermanfaat, maka selagi mana ilmu yang baik itu dijadikan amalan, pahala akan kita perolehi.
Sebenarnya tiada
kerugiannya jika kita berusaha untuk pahala kerana segala bentuk pahala itu
akan membantu kita di alam barzakh kelak. Begitu juga beruntunglah kepada
sesiapa yang mempunyai anak-anak yang soleh dan solehah yang dapat membantu
kedua ibu bapa mereka di alam kubur kelak.
Dalam hal ini, kepada insan
yang berkemampuan adalah lebih makmur rezekinya andai dikongsi bersama manusia
lain yang memerlukan kerana dalam setiap rezeki yang diterimanya tetap ada
bahagiannya untuk insan lain juga. Jom beramal!
Catat Ulasan for "Bagaimana Untuk Mendapat Pahala Berterusan Selepas Mati"
Add your comment