Anak Petani
Salam Maulidur Rasul buat semua pembaca beragama Islam. Cintailah Nabi Muhamad SAW, Rasul kita selepas cintakan Allah. Sesungguhnya baginda telah membawa agama Islam dan telah memimpin kita ke arah jalan yang lurus iaitu jalan yang membawa kita ke syurga. Dalam Kuliah Ustaz Dr Zawawi disebutkan setiap kita, perlu ada rasa kasih kepada Rasulullah yang mana tandanya ialah dengan cara:
1. Membantu menguatkan diri kita melaksanakan sunnah Nabi Muhamad SAW Seluruh kehidupan baginda merupakan sunnah, ada sunnah wajib dan sunnah sunat. Sunnah Nabi adalah bersolat sunat malam sehingga bengkak kaki baginda. Makan minum dan berpakaian juga mengikut sunnah baginda. Cuba ikut apa yang dibuat oleh baginda;
2. Pertahankan syariat yang diturunkan oleh Nabi kita seperti solat, puasa, zakat dsb
3. Harap dan berusaha supaya hidup kita di dunia adalah seperti Rasulullah. Rasulullah kejutkan bukan sahaja keluarga tapi juga jiran jiran. Sistem kehidupan berteraskan kehidupan Rasulullah. Bina persekitaran kerja, keluarga dan masyarakat mengikut sunnah Rasulullah.
Kenal tak apa tanaman dalam gambar ni? Hmm kalau tak kenal, memang sah tak boleh duduk Malaysia ni. Hari hari kita mesti makan ni. Dah boleh teka, kan? Inilah pokok yang sangat dekat dengan saya. Malahan saya membesar dengan pokok tabaman ini yang ditanam oleh ibu bapa saya. Inilah pokok yang memberi rezeki kepada ibubapa kami dalam membesarkan kami. Sejak kecil saya dibawa bermain di sawah yang luas terbentang di bawah panas matahari sementara ibu bapa saya bekerja.
Bagi mereka yang tidak tahu cara cara beras dihasilkan, mari saya ceritakan sedikit proses penanaman padi. Pada zaman dahulu, tanah dibajak dengan menggunakan lembu. Jarang sekali orang kampung mampu menyewa jentera pembajak ketika itu. Selepas tanah dibajak, benih benih padi akan ditabur dan kenalah tunggu sehingganya tumbuh.
Setelah ianya tumbuh setinggi 1-1 1/2 kaki, pokok padi akan dicabut dan kemudian diikat dalam sebesar 2 cekak. Saya kenali proses ini sebagai menyabut padi. Ketika ini, biasanya kita akan berada di dalam sawah yang mempunyai air separas betis. Jadi bolehlah bayangkan bagaimana betis yang diselaputi selut atau tanah liat kan. Pokok padi yang diikat tadi akan dipotong bahagian atasnya supaya sama ketinggiannya. Selepas itu, tanah sekali lagi bajak dan mempunyai air di dalamnya. Kini tiba lah masa untuk mencedung iaitu pokok yang dipotong sama tinggi tadi diambil dalam 10 batang dicucuk ke dalam tanah liat yang lembik. Setelah semuanya selesai, petani akan menunggu sehingga pokok padi berbuah dan akhirnya masak. Ketika ini, perlulah ada proses membaja dan sebagainya.
Selepas padi masak, proses seterusnya ialah memotong batang padi kira kira 4 inci dari tanah. Kemudian disusun. Lepas tu, apa pulak? Haaa kali ini proses yang dipanggil "mmukul padi" di mana padi akan dipukul ke dalam bekas yang diperbuat dari papan dengan bahagian depannya ditutup untuk mengelakkan padi yang bercerai dari tangkainya dari terpelanting keluar. Padi padi yang terkumpul ini akan diisikan di dalam guni untuk dijual. Sebahagian darinya akan disimpan untuk kegunaan sendiri sehingga datangnya musim padi akan datang di dalam bangsal yang saya panggil sebagai "tepah padi". Semasa kecil, saya suka berguling di dalam tepah padi yang juga tempat arwah bapa memeram masak tandan pisang.
Setiap kali mahu digunakan saya akan menceduk padi ke dalam guni dan menjemurnya di atas tikar mengkuang di kawasan yang jauh dari ternakan untuk dijemur dan dikeringkan. Selepas beberapa jam, kita kenalah membalik balikkan padi berkenaan supaya keringnya rata. Sebelah petang, masukkan kembali padi ke dalam guni dan bolehlah dihantar ke kilang untuk memesin padi menjadi beras. Saya akan meletakkan guni beras di belakang basikal dan akan mengayuhnya ke kilang padi yang berdekatan. Zaman dulu, padi akan ditumbuk untuk mengasingkan beras dan kulitnya. Tapi saya memang tak pernah melihat ibubapa saya melakukannya. Tapi sempat melihat jiran sebelah rumah memproses padi menggunakan penumbuk kayu yang besar. Padi yang ditumbuk akan diayak untuk mengasingkan kulit dan "atah" padi iaitu padi yang masih mempunyai kulit.
Hahaha ketika itu, saya tak tahu pun ada bermacam macam jenis beras. Cuma sekarang sahaja, kami mula menggunakan beras wangi atau beras basmathi untuk hidangan keluarga kami. Selepas awal 1980an ibu bapa saya tidak lagi menanam padi selepas kami terpaksa berpindah apabila kerajaan mengambil balik tanah untuk projek pembinaan universiti. Apa apa pun, saya bangga kerana walaupun ibubapa adalah seorang petani, mereka sangat mementingkan pelajaran anak anak, apa lagi pendidikan agama. Akhirnya dengan rahmat Allah saya mampu hidup senang hari ini berkat pengorbanan dan jasa kedua ibubapa saya yang telah membesar dan mendidik saya. Semoga Allah memberkati roh arwah Ayah yang telah kembali ke alam barzakh 19 tahun yang lalu. Doa untuk mereka tidak pernah saya lupakan selagi hayat dikandung badan. Al Fatihah....
K.azie.. Jom ke sungai besar... Boleh main padi dan menginap di homestay.. Dekat ngan kl punn... :-)
BalasPadamsaya sempat merasa semua ni kak azie.... mencabut, mencedung, mencerut, memukul, menjemur... kak azie ingat tak baloh? saya dulu sempatlah masuk simpan padi... kalau ada tikus berambat dengan tikus pulak. bila dah mesin jadi beras (saya tak sempat guna lesung kayu tu) memang sedap nasi tu...beras baru... nostalgia!
BalasPadamSaya pun sempat merasa semua proses tu termasuklah menumbuk padi dalam lesung besar. Masa tu tahun 1986 saya darjah 1. Tinggal dengan arwah atok. Indahnya kenangan!
BalasPadamSalam k.azie.. saya pun ada kenangan zaman bersawah padi ni.. paling best tangkap ikan & cari siput sedut kat sawah. Nostalgia zaman kanak2...
BalasPadamWah pengalaman kita sama. Seronoknya. Sangat nostalgia kan
Padam