Percutian Switzerland di Blausee Hari: 6 Part 4
Hari ini saya ingin menyambung dari catatan di entri sebelum ini di SINI. Selepas makan tengahari, kami keluar ke Blausee Nature Park. Terletak tidak jauh sahaja dari homestay kami. Kami beli tiket untuk empat orang berharga CHF8 setiap seorang. Hari itu, hujan renyai renyai dan kami pula tidak membawa payung.
Kami berjalan mendaki kawasan yang sedikit berbukit di dalam keadaan cuaca sejuk dengan hujan rintik rintik. Bila mula menuruni bukit, mata dijamu dengan keindahan tasik yang terletak di tengah hutan hijau di tengah tengah Taman Alam Blausee.
Blausee bermaksud blue lake. Teruja melihat air yang biru menghijau sangat cantik. Cantik umpama gambar di dalam sekeping poskad. Blausee adalah tasik kecil dengan punca mata air bawah tanah, tasik itu dinamakan sempena air biru yang dalam. Jika anda hanya ingin bermalam di sini juga boleh kerana ada hotel yang terletak di belakang restoran. Malahan besan kami ke sini semasa winter tahun lepas, juga bermalam di sini.
Berbalik kepada kolam yang jernih ini, kelihatan dengan jelas ikan trout yang berenang renang di dalam tasik berwarna hijau. Ikan ini menambahkan keindahan kolam sebenarnya. Disebabkan airnya yang terlalu jernih, diberitahu tiada makanan semulajadi untuk ikan ikan tersebut. Jadi ikan ikan ini diberi makan sekali sehari dalam pukul 9.00 pagi.
Di taman ini juga, pengunjung boleh menaiki boat yang mana waktu akhir untuk naik boat adalah pukul 5 petang. Kami bernasib baik kerana satu boat hanya untuk kami berempat orang sahaja. Boat di bawa ke tengah tasik dan ditunjukkan drowning girl statue yang terletak di dalam tasik. Diceritakan juga legenda bahawa tasik itu mendapat warna dari gadis bermata biru tersebut yang meninggal dunia akibat patah hati.
Selepas turun dari boat, kami sambung bergambar di sudut sudut yang menarik. Oleh kerana hujan yang pada mulanya turun rintik rintik, akhirnya mulai turun agak lebat, kami kemudian beredar ke Restaurant Blausee untuk menikmati ikan trout grill. Bau ikan grill ini semerbak sehingga tercium baunya ketika berada di tasik lagi.
Kami memesan ikan trout yang berharga CHF44 dan nugget pula CHF27. Kesemua berjumlah CHF80 iaitu bersamaan dengan RM300. Itu pun makan secara kongsi kerana saya sendiri tidak berapa suka ikan tasik atau sungai walaupun ikannya tiada bau kerana sumber air mengalir dari bukit.
Selepas makan, kami berjalan lagi mengelilingi tasik untuk mendapat view dari sudut yang berbeza. Memang sangat cantik, itu sahaja yang mampu terungkai di mulut saya.
Semasa mengelilingi tasik, Juita sempat menyentuh air tasik untuk mengetahui kalau ianya sangat sejuk. Hahaha bagai air ais kata Juita.
Oleh kerana hari hampir senja dan hampir tiada pengunjung lain lagi, kami pun beredar dengan berjalan keluar melalui jalan yang kami masuk. Sebetulnya ada jalan lain untuk berjalan keluar. Tapi kami terpaksa cepat kerana hujan mulai kembali turun.
Selepas keluar, saya masuk hendak membeli cenderahati di kedai hadapan pintu masuk. Tapi malang sekali kerana ianya telah ditutup. Di sini juga ada dijual ikan trout yang telah disiang.
Kami terus balik ke hotel dan singgah dulu di kedai depan hotel. Membeli sedikit keperluan seperti charger adapter, honey dan juga bahan makanan yang lain. Memasak untuk makan malam yang simple simple sebelum masuk tidur.
Catat Ulasan for "Percutian Switzerland di Blausee Hari: 6 Part 4"
Add your comment