Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Lemak Kukus Dengan Sambal Tumis Ikan Bilis

Nasi Lemak Kukus Dengan Sambal Tumis Ikan Bilis

Pada hari raya ke6, Hubby telah menjemput dua orang sahabat kami untuk datang beraya di rumah, iaitu Haji Kamaruddin dan Tuan Khairy, Setpol yang terkenal dengan tagline sayangi Gelang Patah, kami panggil sebagai YB datang bersama isteri masing masing. 


Saya menyediakan nasi lemak kukus dengan berlaukkan Sambal Tumis Ikan Bilis, Gulai Udang Lauk Nasi Dagang dan Ayam Goreng Berempah. Walaupun gulai udang ini sedap dimakan dengan nasi dagang tapi ia juga sedap dimakan dengan nasi lemak dan nasi putih.

Gulai Udang Kelantan

Ayam Goreng Berempah

Kebetulan ianya adalah hari pertama saya bekerja selepas seminggu bercuti raya dan hari pertama juga saya mulai berpuasa enam di bulan Syawal. Jadi, saya meminta Juita membantu saya menyediakan Ayam Goreng Berempah dan menyiapkan bahan bahan untuk lauk yang lain. 

Sesampai sahaja di rumah, saya terus ke dapur. Saya mula dengan memasak Gulai Udang Lauk Nasi Dagang. Ketika gulai sedang direnihkan, saya menyediakan pula Sambal Tumis Ikan Bilis. Akhir sekali, baru saya memasak Nasi Lemak Kukus. Setelah selesai, baru Juita mula menggoreng ayam goreng berempah.

Hahaha segan saya bila tetamu memuji muji dan menambah nambah Sambal Ikan Bilis saya yang bukan sahaja dimakan dengan dengan nasi lemak, tetapi juga dicicah dengan roti jala dan juga karipap @byaziekitchen. 

Nasi lemak akan menjadi sedap jika sambal ikan bilisnya sedap. Untuk menghasilkan sambal ikan bilis yang sedap, proses memasaknya agak lama dengan menumis menggunakan api perlahan. Itu yang susah untuk dicari melainkan kita memasaknya sendiri. Boleh klik entri sambal ikan bilis sebelum ini di SINI

Nasi Lemak Kukus Dengan Sambal Tumis Ikan Bilis

Seperti biasa, gandingan nasi lemak saya yang wajib ialah timun dan telur rebus. Yang lain lain kira opsyenal sahaja untuk saya. Kali ini gambar memang tak cantik terutama ayam goreng berempah. Maklumlah bila siap memasak dah hampir waktu berbuka puasa, hari dah gelap. Tapi cukup lah gambar sekadar melengkapkan entri saya untuk hari ini. 

Semasa berbuka puasa, saya pulak terlupa untuk mengambil gambar nasi lemak yang telah sedia untuk dihidang dengan lauk pauk. Tapi apa apa pun, memang sangat sedap dan sesuai dengan selera saya untuk sepinggan nasi lemak. Nantikan resepi Gulai Udang dan Ayam Goreng Berempah di entri akan datang. Boleh klik di SINI untuk melihat resepi dan penyediaan Nasi Lemak Kukus dan di SINI untuk Ayam Goreng Berempah saya sebelum ini. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Selamat mencuba...

Nasi Lemak Kukus Dengan Sambal Tumis Ikan Bilis

Sambal Tumis Ikan Bilis

Bahan bahan:
1 mangkuk ikan bilis
1/4 keping gula Melaka - saiz kecil
Gula secukupnya
Garam kasar
1 keping asam keping
1 biji bawang besar - hiris
4-5 sudu besar cili kering kisar

Bahan kisar:
1 biji bawang besar - saiz besar
10 biji bawang merah
6 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak yang agak banyak sesuai dengan bahan yang hendak ditumis. Masukkan ikan bilis dan digoreng sehingga agak agak ikan bilis layu sahaja. Nota: ikan bilis hanya dibasuh sejurus sebelum dimasukkan ke dalam kuali.

Masukkan pula bahan kisar dan kacau sehingga naik bau. Setelah bawang naik bau, masukkan cili kering kisar. Tumis dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak.

Masukkan sedikit air dan kacau lagi sehingga terbit minyak sekali lagi. 

Masukkan asam keping, garam, gula Melaka dan gula secukup rasa. Masukkan juga bawang besar yang dihiris.

Kacau rata sambal dengan api perlahan sehingga sebati dan terbit minyak cantik. Nota: Minyak berlebihan, boleh diceduk keluar.


Nasi Lemak Kukus
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Beras basmathi
Santan secukupnya
4 helai daun salam
1/2 sudu kecil garam

Cara cara:
Beras dibasuh bersih dan ditos. Masukkan ke dalam kuali.

Tuang santan secukupnya. Masukkan garam dan daun salam.

Nyalakan api dan masak sehingga santan kering sambil sentiasa dikacau. Setelah hampir kering, boleh ditutup api.


Nasi Lemak Kukus Dengan Sambal Tumis Ikan Bilis

Masukkan nasi tadi ke dalam periuk pengukus yang telah dipanaskan atas air mendidih. Kukus sehingga separuh masak.


Nasi Lemak Kukus Dengan Sambal Tumis Ikan Bilis

Balik balikkan dan kukus lagi sehingga masak. 



2 ulasan for "Nasi Lemak Kukus Dengan Sambal Tumis Ikan Bilis "

  1. Assalam kak azie, saya tak jjelas la cara nk kukus nasi tu...

    BalasPadam
  2. Dah test, memang sedap

    BalasPadam