Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Nasi Lemak Azie Kitchen

Sambal Nasi Lemak Azie Kitchen

Pasti semua orang setuju bahawa nasi lemak sedap adalah bergantung kepada sambalnya. Jika sambalnya sedap, maka sedaplah nasi lemaknya. Sebetulnya tidak susah untuk menghasilkan sambal nasi lemak yang sedap. Cuma perlukan kesabaran yang tinggi dalam menyediakannya. 

Maklumlah memasak sambal ini memakan masa sangat lama kerana sambal mesti ditumis dengan api perlahan sehingga benar benar terbit minyak. Selepas semuanya dimasukkan, sekali lagi sambal direnih dengan api perlahan sehingga benar benar pekat dan kuah terbit minyak dengan cantik.

Saya suka sambal nasi lemak yang sedikit manis tapi terpulang kepada selera masing masing. Bukanlah manis sehingga macam manis kuih tetapi terasalah manisnya lebih dari rasa masam dan masin. Bahan perasa ikut lah citarasa masing masing. 

Tapi sukatan yang diberi adalah apa yang saya gunakan dan boleh digunakan sebagai panduan kerana kemungkinan satu sudu saya tidak sama dengan satu sudu yang diceduk oleh anda. Akhirnya kerana rasa dan sesuaikan dengan selera dan tekak sendiri.

Sebagaimana saya menyediakan sambal tumis udang dan lain lain, saya hanya gunakan bahan utama cili kering kisar, bawang merah dan bawang putih. Hanya ini sahaja bahan yang saya gunakan. Tidak ada digunakan bahan lain seperti halia, sos cili dan semua itu. Memang ada orang memasukkan sos cili tetapi itu cara mereka yang berbeza dengan selera yang saya gemari.

Sambal Nasi Lemak Azie Kitchen

Sambal nasi lemak ini boleh disediakan banyak banyak dan simpan di dalam bekas bertutup dan masukkan dalam freezer. Bila terasa hendak makan nasi lemak, tinggal keluarkan sahaja. Begitu juga jika ingin membuat sambal tumis ikan, ayam, telur, udang dsb, tinggal keluarkan dan panaskan. Masuklah lauk pauk yang disukai. Jadi urusan menyediakan hidangan menjadi mudah. 

Jom tengok resepi cara saya menyediakan Sambal Nasi Lemak. Video penyediaannya ada disediakan di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Juga jangan lupa nantikan resepi Nasi Lemak Azie Kitchen yang sangat sedap di entri akan datang. Selamat mencuba...

Sambal Nasi Lemak Azie Kitchen

Sambal Nasi Lemak Azie Kitchen

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
12 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia - opsyenal - tak letak
Belacan - opsyenal - tak letak

Bahan bahan:
½ senduk cili kering kisar - 12 sudu besar
3-4 sudu besar gula pasir
½ sudu besar garam kasar
Sedikit gula Melaka
1 mangkuk air asam jawa
½ senduk minyak masak 

Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak sesuai dengan bahan yang hendak ditumis. Tumis bahan kisar dengan api perlahan sehingga bawang masak dan naik bau. 

Sambal Nasi Lemak Azie Kitchen

Masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak. 

Sambal Nasi Lemak Azie Kitchen

Setelah sambal terbit minyak, masukkan gula dan gula Melaka. Kacau rata sehingga warnanya akan menjadi gelap kerana proses caramelised gula dalam sambal. 

Tuangkan sedikit air asam jawa dan masukkan garam. Kacau lagi sehingga sebati. 

Renihkan sambal dengan api yang kecil supaya sambal pekat dan tahan lama. 

Sambal Nasi Lemak Azie Kitchen

Nota:
Boleh dibuat banyak banyak dan disimpan dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti ais. Bila hendak makan, cuma tambahkan dengan udang, ikan, telur atau apa apa yang disukai. 

Boleh guna asam keping juga sebagai ganti asam jawa. 

Jika minyak berlebihan, boleh diceduk keluar selepas sambal masak. 

Sambal Nasi Lemak Azie Kitchen


2 ulasan for "Sambal Nasi Lemak Azie Kitchen"

  1. mak mertua saya suka letak gula melaka dalam sambal sebab tu sambal dia sedap... mesti sambal aunty azie sedap... bole kan saya panggil aunty... saya baya2 anak2 anuty je....

    BalasPadam
  2. Untuk semangkuk air asam jawa, berapa banyak asam jawa yang perlu digunakan? Saya selalu fail bab ni. Tak reti agak sebab jarang masak :D

    BalasPadam