Kalio Ayam Masakan Minang Yang Sedap
Kali pertama mendengar nama masakan ini iaitu Kalio Ayam adalah dari bekas rakan sekerja. Boleh rujuk kisah resepi Kalio Ayam yang saya sediakan sebelum ini di SINI.
Yang berbezanya kerana dulu, saya menumis terlebih dahulu bahan bahannya. Tapi rasanya, tak ditumis pun OK kerana ayam mengandungi lemak dan kulit ayam juga akan menjadikan kuah sedikit cantik berminyak.
Lagi banyak bahan lagi banyak rencahnya kerana ayam kalio ini sedap dimasak lama dan pekat. Saya masak hari ini pun, tidak terlalu pekat. Ketika dimasak, memang semerbak sahaja bau nya. Rasanya pun sedap dan lain dari masakan seharian.
Jom layan resepi yang saya salin di bawah ini serta jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...
Kalio Ayam
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong 6
4 biji telur rebus - kelar
1 1/2 biji kelapa parut- santan
1-2 inci lengkuas - ketuk
2 batang serai - ketuk
2 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit
Garam
Bahan kisar:
10 ulas bawang merah - saiz besar
4 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3 sudu besar cili kisar
1-2 inci kunyit hidup
Cara cara:
Ayam dipotong 4-6 dibiarkan dengan kulit. Lumur ayam dengan serbuk kunyit, garam dan serbuk pati ayam. Biarkan seketika.
Masukkan bahan kisar ke dalam periuk dan masak sehingga bahan kisar masak dan air kering. Jika bahan belum masak, boleh tambah air dan masak lagi sehingga kering.
Masukkan serai dan lengkuas. Masak lagi.
Masukkan santan cair terlebih dahulu. Kacau sehingga masak dan hampir kering lagi.
Masukkan pula santan pekat, daun limau purut dan daun kunyit. Kuah akan kelihatan pekat. Tambah sedikit garam.
Masukkan ayam dan kacau lagi dengan api kecil. Jika suka, boleh masuk sedikit air kerana ayam juga akan mengeluarkan air. Bolehlah tutup kuali.
Setelah ayam benar benar masak dan sebati, baru dimasukkan telur rebus yang telah dikelar kelar.
Setelah kuah benar benar pekat dan berminyak cantik, baru ditutup api.
Nota:
Tempoh memasak antara 1-2 jam.
Catat Ulasan for "Kalio Ayam Masakan Minang Yang Sedap"
Add your comment