Sambal Kentang Ikan Bilis Rangup
Satu hari semasa ke tailor di Jalan TAR, saya terserempak dengan Kak Soraini, rakan sepejabat yang telah lama bersara. Sementara menunggu kereta, sempat kami bersembang pasal masakan. Kak Su bercerita tentang lauk mudah yang sangat menjadi kegemaran anak anak beliau iaitu Sambal Kentang dengan Ikan Bilis Rangup.
Apa yang mengujakan bila mendengar Kak Su bercerita yang katanya kalau boleh setiap hari, anak anak minta dimasakkan lauk ini. Bercerita dengan blogger masakan, hmm tepi jalan pun sempat menyalin resepi. Selepas bertahun lamanya, baru terasa hendak mencuba Sambal Kentang Ikan Bilis Rangup versi Kak Su.
Saya sempat juga menanya Pak Cik Google. Ooh dari situ, saya dapati pelbagai versi juga. Ada yang letak asam keping, ada yang letak gula dan ada yang letak bawang putih.
Tapi saya nak ikut versi turun temurun Kak Su yang simple sahaja. Kata Kak Su, bawang banyak lagi sedap dan cili kisar pula, agak agak boleh cover bawang. Kak Su tak letak gula, saya letak secubit sebab cili saya jenis pedas.
Serious sangat sedap sambal kentang saya hari ini. Memang rangup krup krap krup krap. Hahaha kentang saya dah terlebih garing sedikit, tapi masih sedap. Lebih lebih lagi menggunakan ikan bilis mata biru yang separuh halus. Jangan lupa baca petua berkenaan pemilihan ikan bilis dan juga cara menyediakan ikan goreng ranggup di SINI.
Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini di bawah ini. Jika mahu melihat video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel, boleh klik di SINI. Selamat mencuba.
Sambal Kentang Ikan Bilis Rangup
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
5 biji ubi kentang - 700 gram
1 mangkuk ikan bilis mata biru
2 biji bawang besar - biar bawang lebih
3 sudu besar cili kisar
Garam
Secubit gula
Cara cara:
Kentang buang kulit belah dua, jika bersaiz besar dan hiris nipis senipis yang boleh. Tos hingga kering. Tabur garam sedikit supaya minyak tidak meletup.
Goreng kentang di dalam minyak panas hingga garing krup krap. Masukkan kentang satu-satu supaya tidak melekat antara satu sama lain. Selesai goreng semua, angkat dan sejukkan.
Ikan bilis dibasuh sejurus sebelum digoreng. Jangan basuh awal awal. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
Buang sedikit minyak lebihan goreng dan tumis bawang kisar sehingga masak, baru masuk cili kisar.
Tumis dengan api perlahan sehingga cili garing, masak dan pecah minyak. Masukkan garam.
Bila sambal terbit minyak, bolehlah ditutup api. Setelah sambal betul betul sejuk, baru dimasuk ubi kentang dan ikan bilis yang digoreng. Kacau rata. Sedia untuk dinikmati.
Nota:
Sedap juga dimasukkan tempe yang dihiris nipis.
Jumlah cili kisar agak agak boleh cover bawang.
Catat Ulasan for "Sambal Kentang Ikan Bilis Rangup"
Add your comment