Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Rendang Daging Yang Sedap Dan Sangat Istimewa

Rendang Daging Yang Sedap Dan Sangat Istimewa

Rendang hari ini menpunyai kisah sendiri dan ianya sangat nostalgia. Ketika mula mula belajar membuat rendang, saya beli pes rendang segera yang dibuat oleh bonda sahabat saya. Saya beli banyak banyak dan bawa balik ke Kelantan untuk dimasak rendang bagi hidangan suami di pagi raya. Setiap kali ke rumah mereka untuk mengambil pes rendang, saya akan diberikan sekali daun limau purut yang memang ditanam di rumah mereka. 

Kiranya ini adalah rendang daging pertama yang saya masak. Maklumlah rendang bukanlah hidangan raya wajib di Kelantan. Malahan saya tak kenal rendang pun sehinggalah saya berkahwin dan melihat keluarga mertua memasak rendang untuk hidangan raya. Walaupun suami saya tidak kisah, tapi saya tetap mahu menyediakan rendang buat hidangan di pagi raya di Kelantan.

Rendang Daging Yang Sedap Dan Sangat Istimewa

Biasanya hidangan hari raya di Kelantan adalah ketupat palas, nasi dagang, nasi impit, tapai pulut dan agar agar. Ketupat palas dicicah dengan nisse cair, iaitu tuak yang dimasak sehingga menjadi cair pekat pekat. Bagi mereka yang lebih moden, disediakan nasi minyak dan lauk pauknya. 

Apa yang saya ingat sangat berkenaan rendang ini ialah penggunaan daun limau purut yang merupakan perkara baru buat saya. Malahan semasa di kampung saya tak pernah kenal pokok limau purut sebelumnya, apalagi hendak menggunakan daunnya dalam masakan. 

Oleh kerana saya kerap menggunakan daun limau purut, sahabat saya telah memberikan anak pokok limau purut untuk ditanam di rumah kami. Bila berpindah ke rumah sekarang, pokok limau purut adalah antara tanaman herba dapur yang saya tanam. Semuanya dek rendang daging ini. 

Setelah lebih 25 tahun berlalu, tiba tiba saya teringat untuk menghubungi sahabat saya Malida untuk menanyakan resepi. Risau juga kalau beliau tidak mahu berkongsi resepi mereka yang memang dibuat berniaga pes rendang segera. Bonda Malida pun telah meninggal, jadi kot sahabat saya ada menyimpan resepi. 

Alhamdulillah, setelah beliau mencari cari akhirnya terjumpa resepi yang mungkin ditulis oleh pembantu rumah beliau yang dipelajari dari Bonda beliau. 

Terdapat kelainan bahan bahan yang digunakan dalam rendang ini. Tapi apa yang pasti ianya sangat sedap. Penggunaan bawang merah dan lengkuas yang agak banyak selain menggunakan rempah rempah seperti jintan putih, lada hitam dan ketumbar biji. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Saya masak untuk 4 kilo daging, tapi resepi di bawah untuk 1 kilo. Hanya perlu gandakan sahaja. Mudah mudahan roh arwah dicucuri rahmat dan mendapat pahala dari perkongsian resepi saya hari ini. Aameen. Terima kasih Malida kerana sudi berkongsi resepi ini dengan saya. Ooh ya, jangan lupa video di SINI untuk melihat penyediaannya.

Rendang Daging Yang Sedap Dan Sangat Istimewa

Rendang Daging Yang Sangat Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 kg daging batang pinang
1 kg santan pekat  
2 sudu besar kerisik 
Garam
Ajinomoto 
Daun limau purut 

Bahan tumbuk:
2 sudu besar biji ketumbar 
1 sudu kecil jintan putih 
1 sudu kecil lada hitam

Bahan kisar:
10 ulas bawang merah - guna 2 1/2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 senduk cili kering kisar 
Cili api - ikut selera
2 inci lengkuas
1 inci halia
2 batang serai 

Cara cara:
Masukkan  semua bahan bahan ke dalam kuali bersama daging dan santan kecuali daun limau purut, garam dan kerisik. 

Masak dengan api perlahan sehingga daging empuk. Sentiasa dikacau supaya tidak hangit. 

Rendang Daging Yang Sedap Dan Sangat Istimewa

Setelah terbit minyak dan hampir masak, masukkan kerisik, serbuk perasa dan daun limau purut. 

Tutup api dan taburkan garam. Kacau rata dan sedia untuk  dinikmati. Petua orang dulu dulu, garam dimasukkan selepas rendang masak dan ditutup api. Masak agak lama kerana mnggunqkan api perlahan. 

Rendang Daging Yang Sedap Dan Sangat Istimewa

Nota:
Rendang ini tidak menggunakan asam atau gula. Hanya menggunakan garam dan ajinomoto. Jika tidak suka ajinomoto, bolehlah letak apa apa perasa.

6 ulasan for "Rendang Daging Yang Sedap Dan Sangat Istimewa "

  1. Salam kak untuk resepi ni akak pakai brape banyak cili api?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wslm. Saya tk pakai. Utk 4 kg daging, saya guna 3 senduk cili kisar. Tgk video cara penyediaannya.

      Padam
  2. Alhamdulillah..Raya pertama masak resepi.Memang sedap.. Terima kasih kak Azie. Halal kan resepi yang di kongsikan. Moga menjadi asbab kebaikan buat kak Azie... Aamiin. ~~ Hariani~~

    BalasPadam
  3. Sgt sedap..saya ikut sebijik sebijik resipi. Tak berani nk pandai2 tambah asam. Pernah letak asam sblm ni menyebabkan rendang saya rasa sgt masam. First time masakkan potluck utk encik suami di opis. Terima kasih kak azie.

    BalasPadam
  4. tak perlu tumis dan guna minyak dulu ye kak azie?

    BalasPadam
  5. assalam puan, rendNg nie xperlu tumis dan guna minyak ke?

    BalasPadam