Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Mee Talam Aka Mee Boko Kegemaran Anak Kampung


Mee Talam Aka Mee Boko Kelantan


Selamat Hari Pekerja buat semua pekerja di negara yang aman damai ini. Namun begitu saya selalu memikirkan bagaimana mereka yang bekerja makan gaji dengan gaji yang kecil terpaksa mengharungi kehidupan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Harga barangan yang melambung naik dari masa ke semasa pasti amat menyukarkan. Teringat bagaimana kawan sejak dibangku sekolah rendah yang tinggal di kampung mengeluh kerana telah lama tiada projek sedang anak anak semua masih bersekolah. Pekerjaan beliau sebagai tukang rumah, bergantung kepada projek. Tiada projek tiadalah pendapatan. Bukan sahaja orang bandar, tetapi orang yang tinggal di kampung juga dalam kesukaran. 

Bercakap mengenai kampung, saya tidak pernah malu malahan berbangga mengaku sebagai seorang anak kampung. Saya anak seorang petani yang sentiasa rajin dan gigih. Saya boleh katakan ibubapa saya boleh memberi makan kami adik beradik setahun tanpa membeli bahan makanan dari kedai. Beras dan pulut hasil cucuk tanam sendiri yang disimpan dalam "tepah padi" untuk setahun sehingga musim padi berikutnya. Lembu, kambing, ayam, itik semua dibela dan telur dikutip dari reban sahaja. Hendak makan ayam, hanya perlu kejar ayam terlebih dahulu dan dikurung di dalam sangkar sebelum disembelih. Bermacam macam buahan dan sayuran diambil segar dari laman rumah dan dusun. Ikan dan udang dibubu dan dijala sendiri. Kelapa untuk santan dan kuih muih diperolehi dari pokok kelapa sendiri. Air ditimba dari perigi sendiri. Haaa hebat kan, tidak ada kebergantungan pada kedai. 

Saya sangat mengkagumi kegigihan kedua ibubapa saya. Walaupun hanya petani, mereka punya kesedaran yang tinggi dan inginkan anak anak berjaya serta punya masa depan yang cerah. Alhamdulillah saya bersyukur kerana produk diri saya hari ini adalah berkat didikan dan asuhan cara hidup orang kampung. Arwah bapa dan abang abang saya adalah model lelaki terbaik yang saya kagumi. Ibubapa saya juga bertuah meninggalkan anak anak yang mempunyai asas agama yang kukuh yang sentiasa mendoakan mereka. Semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah. Aamiin.



Mee Talam Aka Mee Boko Kelantan


Hari ini saya nak kongsikan makanan orang kampung. Kalau ke mana mana pasar di Kelantan, pasti kita akan terjumpa dengan peniaga yang menjual mee di dalam talam atau dulang besar atau di Kelantan talam juga dipanggil Boko. Mee ini kosong sahaja tanpa udang ayam dan lain lain. 

Yang ada hanya sayur batang kangkung di dalamnya. Batang kangkung yang digunakan pun tak banyak, bak kata Maznah kawan sekolah jarang jarang jumpa satu satu jer batang kangkung dalam mee. Tapi saya letak banyak ler kerana saya suka sayur, lagi pulak untuk makan sendiri kan. Mee ini lah yang saya gemari sejak kecil sehingga kini. Itulah agaknya mee ini dipanggil juga sebagai Mee Bodo. Terasa betul sangat sedap di tekak saya. Kini mak cik yang menjual mee talam di pasar Jelawat pun telah meninggal dunia. Perniagaan diwarisi oleh anak arwah. Mee kampung pada zaman dulu tiada diletakkan bahan pengawet. Jadi rasanya sangat asli.  



Mee Talam Aka Mee Boko Kelantan



Untuk resepi kali ini, saya memasukkan sedikit udang untuk menambah keenakan pada selera anak anak. Resepi ini saya pelajari dari Tengku Saniah atau dikenali sebagai Makku Saniah. Makku Saniah belajar resepi ini dari mak cik yang menjual mee talam di pasar Jelawat yang menjadi kegemaran saya. Kebetulan Makku menpunyai hubungan persaudaraan dengan arwah. Tak ada kicap pekat Ikan Mas yang hanya ada di Jelawat, saya guna kicap manis Jalen sahaja. Untuk mee hari ini, saya menggunakan mee safron yang dibeli dari Amirul, rakan sepejabat saya. Mee yang diusahakan oleh keluarga beliau tidak diletakkan bahan pengawet. Jadi adalah menyamai mee yang disediakan oleh makcik mee Talam Jelawat. Layan video penyediaan mee di bawah ini...



 
Jom layan resepi yang saya olahkan di sana sini bagi memudahkan rujukan di masa depan. Juga jangan lupa follow Instagram Azie Kitchen.



Mee Talam Aka Mee Boko Kelantan

Mee Talam aka Mee Boko

Bahan-bahannya; 
1 1/2 peket mee kuning 
1 mangkuk kecil udang  - opsyenal
1 ikat kangkung - ambil batang sahaja
1 sudu besar cili kisar
Garam

Bahan Tumbuk:
5 ulas bawang putih 
9 ulas bawang merah

Bahan masak:
Kicap pekat cap Ikan Mas - guna Kicap Jalen
1/4 keping Gula Melaka

Cara cara:
Masak sedikit air dengan gula Melaka hingga gula hancur.    Masukkan kicap dan masak sehingga berkilat. Angkat dan ketepikan.





Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga garing. Masukkan pula cili kisar. Terus tumis sehingga cili benar benar masak. 





Masukkan udang dan dikacau sehingga udang masak. Masukkan mee dan kacau rata sebelum dimasukkan air kicap dan gula Melaka tadi. Kacau rata.








Masukkan kangkung dan garam, kacau rata. Sesuaikan rasa. Kacau sehingga sebati. Sedia untuk diangkat dan dihidangkan.


Mee Talam Aka Mee Boko Kelantan

Mee Talam Aka Mee Boko Kelantan

 Selamat mencuba....

Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

4 ulasan for "Mee Talam Aka Mee Boko Kegemaran Anak Kampung"

  1. kak Azie... aduh..terasa pulok nok makan mee talam ni.. dulu masa kecik2, rajin lah ma beli kat pasar pasir puteh..

    Nanti nak suruh suami beli lah kat Jelawat, masa dia balik dari kerja. Meme sedap senghoti la ..mee ni. pebret!

    BalasPadam
  2. dah macam mee goreng juga ya kak...tapi sebab dijual di dalam talam...tu yang panggil mee talam...betul ke kak?

    BalasPadam
  3. nampak simple je resepi nye. macam mee biasa tapi cara hidangan berbeza ye

    BalasPadam
  4. assalamualaikum puan...saya selalu masuk dan blajar dari blog puan nie...blajar something new...tak pulak tahu mee talam guna gula melaka...ilmu baru nie...terima kasih puan...teruskan usaha puan..sgt bermanfaat esp utk yg baru berjinak dgn masakan.

    BalasPadam