Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Gulai Kuning Nasi Berlauk Kelantan


Gulai Kuning Nasi Berlauk Kelantan


Nasi berlauk, nasi kerabu, nasi dagang adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari masyarakat Kelantan. Ianya pasti terbayang sebagai makanan utama untuk sarapan pagi. Zaman zaman dulu, gulai nasi berlauk adalah menggunakan ikan Tongkol rebus atau dipanggil ikan Aya selain ikan kembung dan juga ikan kering. Jarang sekali ada lauk itik atau ayam atau daging kerutuk seperti sekarang. Mungkin itu lauk nasi berlauk di kampung. Kalau ayam, itik dan sebagainya dah jadi lauk untuk makan tengahari yang dijual di atas Bazar Siti Khadijah. 

Bila disebut lauk nasi berlauk, yang wajib adalah menggunakan ikan rebus. Itulah sebab sehingga sekarang tekak saya tak berapa nak masuk dengan ikan segar yang isinya tawar. Dulu ikan rebus, selain dibuat gulai, juga digoreng atau dimakan dengan budu dan dicicah ulam ulaman. Ikan rebus pula, mesti direbus dengan asam dan garam yang banyak. Rebus sehingga air hampir kering dan dibiarkan semalaman. 



Gulai Kuning Nasi Berlauk Kelantan

Bonda saya kalau menggoreng ikan segar pun, akan melumur garam kunyit dan dibiarkan lama sebelum digoreng supaya ikan terasa masinnya. Memang jenis tak berapa reti makan ikan yang tawar. Selain itu, Bonda juga akan meletakkan garam pada ikan duri dan dibiarkan semalaman, kemudian baru digulai. Masa baru baru kawin, macam pelik juga melihat hubby yang melumur garam kunyit dan terus masukkan ikan ke dalam kuali. Dah sekarang ni, baru belajar makan ikan segar yang terus dimasak. Klik di SINI jika ingin melihat Gulai Kuning Nasi Berlauk dengan ikan kering. Dalam resepi itu, diletakkan bawang putih.



Gulai Kuning Nasi Berlauk Kelantan

Sebenarnya jarang sekali atau mungkin tak pernah melihat arwah Bonda menyediakan Gulai Kuning atau dikenali juga sebagai Gulai Lengkuas sebagai lauk nasi berlauk. Biasanya gulai ikan Bonda berwarna kemerahan kerana diletakkan cili kering dan rempah ketumbar biji selain bawang merah, lengkuas dan kunyit hidup. 

Resepi hari ini, telah sedikit dipermodenkan kerana kalau gulai asli, satukan semua bahan kisar dengan santan dan dikacau dengan api perlahan lama lama supaya santan tidak berketul. Tapi di zaman yang serba mencabar ini, ramai isteri yang bekerja dan tidak punya banyak masa untuk dihabiskan di dapur. Jadi cara penyediaan diubahsuai dengan bahan kisar ditumis terlebih dahulu dengan sedikit minyak. Ianya tidak menjejaskan rasa sebaliknya dapat menghasilkan gulai yang lebih cantik dan menjimatkan masa juga. 

Bagi melengkapkan gulai nasi berlauk, mesti ada wajib ada timun atau kacang panjang dan lada solok serta Sambal Kelantan. Saya lah anak Kelantan selamanya walaupun mungkin banyak gaya hidup seharian tidak seperti Kelantan terutama bahasa percakapan harian di rumah. Namun cara pemakanan anak anak saya juga ada ciri ciri Kelantan di mana mereka suka masakan Kelantan juga untuk bersarapan, Nana juga suka ayam percik, Aween pulak suka makan itik serati dsb. Jom layan video di bawah ini.





Jom layan resepi lauk kegemaran saya dari dulu, kini dan selamanya. Gambar ini tidak secantik kejadiannya yang sebenar, kuning yang sangat cantik. Pendek kata sangat berpuashati. Makan pun menambah sehingga 4 kali gitu. Terlerai rindu untuk menikmati nasi berlauk tradisional..



Gulai Kuning Nasi Berlauk Kelantan

Gulai Nasi Berlauk Kuning Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Ikan Rebus:
1 ekor ikan tongkol - potong
10 keping asam keping
Garam - pastikan agak banyak cukup rasa masin
Sedikit cuka - untuk memejalkan isi ikan (opsyenal)

Rebus semua bahan di atas dengan air yang agak agak tenggelam ikan. Rebus sehingga air hampir kering dan tutup api. Biarkan semalaman, lagi sedap. 



Bahan Kuah:
6-7 ulas bawang merah
4 hirisan lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
1 sudu kecil cili kering kisar/2 tangkai cili kering
1 keping asam keping
1 kotak santan kotak & air secukupnya
2-3 batang lada hijau solok - lagi sedap
1 batang timun - hiris serong
4-5 batang kacang panjang - potong
Garam dan secubit gula
Sedikit minyak - opsyenal


Kisar bawang merah, lengkuas, kunyit dan lada kering hingga hancur. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar. Kalau resepi asal Kelantan, tak ditumis tapi terus satukan santan dan bahan kisar dan terus dimasak atas api perlahan. Terus dikacau supaya santan tidak berketul. 


Gulai Kuning Nasi Berlauk Kelantan


Bila naik bau, masukkan santan, timun dan lada hijau serta asam keping. Kemudian masukkan ikan rebus. Masak sehingga kuah sedikit naik minyak. Sesuaikan rasa. Gulai ini lebih sedap jika ada rasa masin dan sedikit manis dan pada ikannya mesti ada masin dan masam.

Atau boleh juga dituangkan kuah yang telah naik minyak ke dalam periuk ikan rebus yang telah dikeluarkan asam kepingnya. Ini adalah supaya ikan tidak hancur. 

Setelah kuah naik minyak, bolehlah angkat. Hidangkan bersama nasi putih, timun, lada dan juga Sambal Kelantan.


Gulai Kuning Nasi Berlauk Kelantan


Nota:
Boleh juga timun, kacang panjang dan lada hijau dicelur di dalam periuk secara berasingan. Diletakkan dalam pinggan nasi semasa dihidangkan.

Jika suka, boleh juga masukkan telur rebus yang telah dikupas ke dalam gulai yang telah masak.




Sambal Kelantan

Bahan bahan:
6 tangkai cili api kampung merah
Sedikit jari belacan
1 sudu kecil cuka
Gula
Garam
1 biji limau kasturi



Tumbuk atau kisar semua bahan di atas tapi jangan terlalu hancur. Masukkan cuka dan air limau kasturi dan gaul rata. Sesuaikan rasa. Sedia untuk dihidangkan.



Gulai Kuning Nasi Berlauk Kelantan


Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

7 ulasan for "Gulai Kuning Nasi Berlauk Kelantan"

  1. Nk try buat pg ni kak azie. Wish mek luck ;)

    BalasPadam
  2. Kite dah tryy..best sgt.cantik kejadian..husband pn sukaaa🤗

    BalasPadam
  3. sedapnya sambal belacan kelantan.. x-)

    BalasPadam
  4. Hi assalamualaikum kak azie, Liza br nk Cuba resipi neh.. Nk tya biar semalaman tu dgn Air rebus an skali ke? Biasa rebus berapa lama yea? Tq in advance yea.

    BalasPadam