Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Masak Asam Pedas Ikan Tenggiri


Masak Asam Pedas Ikan Tenggiri


Sejak kebelakangan ini, saya memang agak sibuk dengan urusan anak anak. Zaman sekarang yang sangat kompetitif menyebabkan ibubapa perlu membantu anak anak, bukan sahaja dalam urusan pengajian tetapi juga urusan pekerjaan dan masa depan anak anak. Bercakap berkenaan anak anak, saya pasti semua ibubapa mengharapkan segala yang terbaik untuk anak anak. Andai kata saya boleh memetik bintang untuk diberikan kepada mereka, pasti saya akan melakukannya. Kasih sayang seorang ibu melangkaui dunia, kecintaan kepada anak anak walaupun ada batasnya, namun saya mahukan mereka selamat dunia dan akhirat. 


Masak Asam Pedas Ikan Tenggiri

Namun sebagai manusia yang sangat lemah, saya tidak mampu mencorakkan mereka mengikut corak yang saya ingini. Tidak mampu sama sekali. Sebagai ibu, saya hanya mampu memberi nasihat, membimbing mereka serta memberi sokongan sahaja. Walaupun ada yang memberi pelbagai tohmahan kononnya saya hanya pandai menulis nasihat tapi "dont walk the talk", namun tidak mengapa kerana saya tidak perlu menjawab kepada anda. Saya hanya perlu menjawab kepada Illahi setelah saya tiada lagi di dunia ini berhubung tugas dan tanggungjawab saya. Hidayah adalah milik Allah, tiada siapa mampu mengubah takdir Allah, apalagi mahu menentangnya. Boleh rujuk Surah At Taghabun 64, ayat 11 di mana "Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". 

Semua orang mengimpikan sesuatu yang terindah, tetapi ujian Allah tidak ada yang mampu menolaknya. Ujian yang diberi adalah kerana kasihnya Allah kepada kita. Sekiranya kita sabar, pasti ganti yang lebih baik akan diberikan. Takdir Allah telah ditulis di malam Lailatul Qadar, jadi kita perlu berdoa agar takdir kita untuk tahun tersebut menjadi baik, sekiranya ia tidak baik atau menjadi lebih baik jika ianya adalah baik. Jadi jika itulah takdirnya kenapa perlu menyalahkan orang lain yang hanya dihadirkan sebagai ujian. 

Hidup di dunia adalah hanya satu perjalanan musafir, matlamat hidup kita yang sebenar adalah di akhirat. Samada kekal di syurga atau neraka bergantung kepada amalan yang telah kita lakukan di dunia ini. Di kesempatan hidup yang singkat ini, kita perlulah memperbanyakkan amalan dan kebaikan. Tak perlulah menyakiti dan melakukan sesuatu yang tidak ada manafaatnya. OK sekarang saya nak masuk sedikit bab resepi hari ini. Sebelum tu, layan dulu gambar bunga kantan dan daun kari yang dipetik dari laman dapur rumah saya.


Masak Asam Pedas Ikan Tenggiri

Setelah lama dapur Azie Kitchen tidak berasap, hari ini saya gagahkan diri untuk memasak asam pedas ikan tenggiri yang saya beli semasa ke Kota Kinabalu pada hujung bulan November yang lalu. Mungkin saya telah melepasi satu stage dalam hidup yang memerlukan saya memasak kerana anak anak semua tidak ada di rumah kecuali putera bongsu yang agak berhati hati dan mengelakkan pengambilan makanan heavy di sebelah malam. 

Di kesempatan yang ada, saya bolehlah berehat dan melakukan perkara lain yang lebih perlu diberi fokus. Ini juga adalah satu rahmat Allah bila saya diberi banyak masa di rumah. Alhamdulillah. Resepi ini adalah resepi yang telah saya pelajari dari Ita, rakan saya yang sangat pandai memasak. Saya sebenarnya terlupa untuk memasukkan bendi. Jadi bolehlah dicelur bendi dan dimasukkan ke dalam pinggan semasa menghidang. Saya memilih asam pedas kerana masih teringat ingat keenakan masakan asam pedas yang dihidang semasa mesyuarat alumni di Universiti Malaya baru baru ini. Memang sangat sedap sehingga saya meminta Dr Abdol Aziz untuk menanyakan caterer yang menyediakan hidangan tersebut. Antara yang hadir dalam program tersebut adalah Dato Salehuddin, Dato Wan Nazari, Dato Alias dan Haji Kamaruddin.



Jom layan resepi simple dimple asam pedas saya hari ini. Jika anda suka dengan resepi ini, bolehlah mencubanya sendiri untuk dihidangkan kepada keluarga. Buat anak anak yang sedang menuntut terutamanya di luar negara, bolehlah cuba resepi yang sangat mudah dan ringkas ini sebagai menghilangkan kerinduan pada tanah air. Gantikan dengan ikan salmon, pasti terangkat. Selamat mencuba.....


Masak Asam Pedas Ikan Tenggiri

Masak Asam Pedas Ikan Tenggiri

Bahan bahan;
4 - 5 keping ikan tenggiri
1 batang bunga kantan - belah 4
1 pelepah daun kari
1-2 sudu besar asam jawa adabi atau secukup rasa
Garam dan serbuk perasa
Kacang bendi secukupnya

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2 bawang merah
1 inci halia
3 sudu besar cili kisar
1 ibu jari belacan

Cara cara:
Bawang bawang, halia dan belacan di blend. Tumis bahan blend hingga wangi dan masukkan cili giling. Bila naik minyak, masukkan daun kari dan bunga kantan.



Masak Asam Pedas Ikan Tenggiri

Masukkan setengah blender air (agak agak). Masak hingga mendidih, baru dimasukkan ikan dan asam jawa.


Masak Asam Pedas Ikan Tenggiri

Renih atas dapur dan masuk kacang bendi, garam dan serbuk perasa. Kuah jangan terlalu pekat dan jangan terlalu cair. Sesuaikan kepekatannya.


Masak Asam Pedas Ikan Tenggiri

Bolehlah dihidangkan dengan nasi putih panas panas.



Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

6 ulasan for "Masak Asam Pedas Ikan Tenggiri"

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. Sedap sgt. Saya dah try. Terima kasih sebab share resepi.

    BalasPadam
  3. guna daun kari ye bukan daun kesum?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tengok lah gambar. Ada daun kari dalam kuali kan.

      Padam