Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Tenggiri Goreng Berempah


Ikan Tenggiri Goreng Berempah


Resepi masakan Mamak ini saya ambil dari blog Amie. Sekarang bila memasak, saya akan menggunakan resepi simple simple sahaja. Maklumlah masa untuk berada di dapur pun dah selalu suntuk. Hanya hari Sabtu dan Ahad sahaja yang saya boleh memasak agak lama. Dulu saya tak tahu apa yang dipanggil Mamak. Sebab kat Kelantan, jarang ada Mamak. Kat kampung saya ada seorang India yang berkahwin dengan orang Melayu. Kami panggil dia Pak Cik Keling dan anak anaknya dipanggil anak Baghar, iaitu anak kacukan yang cantik cantik. Jadi Mamak ni samalah dengan anak Baghar yang kami kenali sejak dulu. 

Apa pun kita, bangsa apa pun kita, kita punya hak untuk hidup di muka bumi dengan penuh kasih sayang antara satu sama lain. Allah tidak pandang siapa kita, apa keturunan kita, melainkan ketaqwaan kita pada Allah yang membezakan. Ketaatan kita pada semua perintah dan larangan Allah yang wajib diikuti. Semalam di Surau Ad Dhuha ada kuliah berkenaan peristiwa Israk Mikraj yang perlu diyakini oleh setiap orang yang beriman. 


Ikan Tenggiri Goreng Berempah

Iman adalah bila kita yakin dan membenarkan dalam hati dan buktikan dengan perbuatan dan amalan. Peristiwa Israk Mikraj adalah bila mana Allah hendak menambahkan kekuatan pada Rasulullah bahawa apa yang dibawa baginda adalah benar belaka. Hmm teknologi WhatsApp, face time dan sebagainya telah ada di zaman Rasulullah sendiri bila mana baginda telah diangkat ke langit dalam keadaan jasad dan roh. Baginda boleh menceritakan keadaan Baitul Maqdis dengan terperinci. 

Kita hanya baru sekarang ini telah ada teknologi WhatsApp dsb untuk berkongsi dan berkomunikasi dengan siapa atau apa yang ada di tempat yang jauh. Begitu juga baginda naik ke langit dengan kenderaan Burraq yang laju seperti cahaya bukan seperti sekarang bila angkawsawan perlukan kapal angkasa, pakaian, oksigen dsb. Jadi yakinilah bahawa apa yang kita ada pada hari ini, semua telah ada pada zaman Rasulullah. Teringat WA Ustaz Ibrahim Muhammad pada saya yang berpesan bahawa di usia seperti ini, kita boleh dijemput bila bila masa sahaja, jadi perbanyakkan lah amalan soleh. Hmm ustaz, boleh tanya kalau ustaz seorang Mamak atau Melayu atau Jawa. Hahaha segan pulak bila mendapat tahu yang ustaz ada juga follow blog saya. 

Resepi ini boleh juga digunakan untuk memerap ayam untuk menjadikan ayam goreng berempah. Jom layan resepi dulu....


Ikan Tenggiri Goreng Berempah

Ikan Tenggiri Goreng Berempah

Bahan bahan:
8 potong ikan tenggiri 
1 tangkai daun kari
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 sudu teh serbuk jintan manis
1/2 sudu teh serbuk jintan putih
3 kuntum bunga cengkih
1/2 sudu teh garam 

Cara cara:
Kisar bahan di atas kecuali daun kari. Satukan semua bahan kisar dengan garam dan lumur pada ikan. Perap di dalam peti sejuk selama 20 minit.

Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing dengan api sederhana bersama daun kari. Bila garing, bolehlah diangkat.


Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

1 ulasan for "Ikan Tenggiri Goreng Berempah"

  1. Memang sedap jika kena dengan caranya makan ikan tenggiri berempah ni.

    BalasPadam