Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Cerita Rindu Disebalik Nasi Goreng Ikan Bilis


Nasi Goreng Ikan Bilis

Sedap sebenarnya nasi goreng kampung yang kosong kosong dan simple. Sekali sekala teringin nak makan nasi goreng cam gini jer. Tak ada sayur dan tak diletak telur atau ayam atau udang. Aduish sedap, menelan air liur bila teringatkan nasi goreng kampung yang selalu dimakan semasa kecil kecil dulu. Meleleh air liur dibuatnya. 

Serius, saya merindui zaman dulu dulu semasa di kampung. Saya sangat bersyukur dan berpuashati dengan apa yang dikurniakan kepada saya. Saya membesar sebagai gadis kampung yang lasak dan menjalani kehidupan sebagai tipikal budak kampung. Menolong ibubapa menanam padi dan menanam tembakau di tengah panas terik mentari. Bermain dan berlari lari di tengah sawah mencari belalang, mencari ikan puyu dan keli. Bermain serunai dari batang padi. Menjerit jerit bila digigit lintah dan pacat. 

Mencari ikan laga dan anak anak ikan keli untuk dibela. Memancing di parit parit dan anak sungai. Menuba ikan di sungai. Naik perahu merintangi arus sungai untuk mengangkat bubu udang sungai. Belum dikira lagi memanjat dan menjolok pokok pokok buahan dan membakar biji gajus sehingga menjadi arang hitam melegam untuk mendapatkan beberapa biji gajus yang bila diketuk untuk mengeluarkan isi, menjadi hancur berderai. 

Makan nasi di kebanyakan masa berlaukkan ikan singgang atau sayur yang ditanam sendiri, cuma sesekali sekala dapat makan ayam yang juga dibela, telur yang dicuri dari ibu ayam. Apalagi kehidupan anak kampung yang tidak saya rasai. Saya juga anak yang nakal, berkawan dengan budak budak lelaki mencuri buah buah jambu. Sungguh indah zaman kanak kanak yang tidak boleh dibeli dengan apa harga sekali pun. 

Nasi Goreng Ikan Bilis

Bila remaja, saya transform menjadi seorang gadis yang comel putih dan mula menjadi seorang yang beauty conscious. Heee perasan, kalau tak mahu baca, boleh mula tutup mata tang sini sekarang ya. Banyak adegan yang tak mampu dibaca ni. Ye betuuul, hari ini saya ingin menyatakan dan memberi penghargaan pada diri saya walaupun saya sebenarnya tidak pernah merasa yang saya cantik. 

Tapi bila dilihat kenapa ramai yang berminat dengan saya dan mendengar pujian rakan rakan, agaknya betul lah saya ni dikategorikan sebagai seorang gadis yang cantik dengan berambut panjang separas pinggang. Dalam hati kenapalah ramai yang minat kat aku yang kurus cekeding ni. Ada yang hantar surat cinta ke sekolah, ada yang datang bertandang ke rumah dsb. 

Saya pun tak pernah merasa yang saya ni putih umpama gajah tak pernah sedar yang ianya berbadan besar. Malahan saya lah yang paling gelap antara semua adik beradik. Masa ni saya dah mula pandai pasang badan. Melaram dengan kain baju kakak saya. Semua saya kebas. 

Dari alam persekolahan, saya melangkah ke universiti sebagai mahasiswi yang punya ramai peminat. Perasan lagi lah ni. Tak cayaaa, tanya kawan kawan yang sekampus yang mengenali saya. Saya tak pernah keluar bilik tanpa berlipstik, walaupun tak ramai yang bersolek ke kuliah pada masa itu. 

Ramai yang menghulur salam perkenalan dan ingin menemani. Namun cinta pandang pertama pada Laling Hubby menepis semua salam yang dihulurkan. Haaa sudah cukup...cukup. Lagi lama lagi ramai yang termuntah muntah...uweeekk.

Apa yang nak diceritakan ialah, sekarang saya berada di fasa kehidupan yang berlainan. Walaupun tidak sebesar mana kejayaannya namun saya telah meletakkan hampir semua impian saya menjadi kenyataan. Saya umpama seorang permaisuri kepada suami dan anak anak yang segalanya disediakan oleh pembantu rumah. Dipandu ke sana ke mari, hatta ke Sogo yang beberapa langkah sekali pun, dihantar suami. 

Dengan usaha dan titik peluh sendiri, saya memiliki segalanya satu persatu sepadan mengikut waktu yang sepatutnya. Saya melancung dan bercuti ke luar negara beberapa kali dalam setahun, mempunyai jawatan, pangkat dan gaji yang tidak pernah diimpikan sebelum ini. Memiliki istana cinta yang indah mendamaikan walaupun tak se gah Taj Mahal. Memiliki dan memakai segala jenama yang sesuai dengan diri saya sekarang. 

Saya tidak lagi berpanas dan berjemuran seperti zaman kanak kanak sebaliknya sentiasa berada dalam suasana dingin menyamankan hampir setiap masa. Seperti kata my mom pada mak cik yang sedang mengurut saya suatu ketika dulu, jari jemari saya lembut dan halus kerana hanya bermain dengan pen dan key board sahaja. Memang betul apa yang dikatakan my mom, saya tidak memasak atau membasuh baju.    

Jadi, apa lagi yang saya mahu? Yaa saya mahukan kehidupan zaman kanak kanak saya dulu, saya mahukan kehidupan yang humble seperti dulu, mahukan makanan kampung yang saya makan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran dahulu walaupun hanya ikan rebus goreng. Saya merindui masa lampau dok bersembang di depan pintu yang tidak mungkin kembali, kerana ayahanda tercinta telah pergi menyahut seruan Illahi, di hadapan mata sendiri. Hanya Al fatihah yang dapat saya kirimkan setiap hari. Semoga damailah ayahanda yang dikasihi. 

Saya merindui masakan bonda yang tidak mungkin lagi menjadi kenyataan dek keuzuran.... Biarlah rindu mengulit diri ini sehingga akhir nanti. Saya redha dan meniti hari hari dengan ikhlas dan penuh insaf....

Saya menjadi sangat sedih dan rasa kerdil bila melihat kembali nikmat yang telah Allah kurniakan sepanjang hidup ini. Jadi saya mahu berhenti di sini muhasabah diri sebelum lebih banyak hujan menitis membasahi pipi. Jom kita layan resepi humble nasi goreng ikan bilis cara orang kampung yang sedap giler...

Nasi Goreng Ikan Bilis

Nasi Goreng Ikan Bilis 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 sudu besar cili kering kisar/tumbuk kasar
Segenggam ikan bilis - tumbuk kasar
5 ulas Bawang merah - tumbuk kasar
3 ulas Bawang putih -tumbuk kasar
Garam
Nasi putih
Telur - goreng telur mata

Tumis bawang tumbuk sehingga naik bau. Masukkan cili kisar dan goreng sehingga cili masak dan garing.

Masukkan ikan bilis tumbuk.Goreng sehingga agak agak bilis masak. Masukkan nasi dan garam dan dikacau rata menggunakan api yang kuat.

Sesuaikan rasa dan bolehlah dihidangkan dengan telur mata kerbau, jika suka.


Nasi Goreng Ikan Bilis

Nasi Goreng Ikan Bilis


Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

6 ulasan for "Cerita Rindu Disebalik Nasi Goreng Ikan Bilis"

  1. Kan d5 dah ckp Azie mmg comey hehehhhe dah ler comey pandai masak gitu wahhhh xhairan lah kalau ramai yg nk intai2 mase muda dulu hehhehe tah2 skrg pun masih ade lg :D..

    BalasPadam
    Balasan
    1. D5, malam ni tangkap syahdu, malam mengimbau kenangan lalu. Sebenarnya masa muda, semua orang pun cantik. Tapi itu semua mana kekal, satu hari ianya akan dimamah usia. Hanya hati budi yang kekal, jika kita berusaha mengekalkannya...

      Padam
  2. ya betul tu kak, mcm mana hebat pun kehidupan kita sekrng ni mestilah kita akan kenang dan sering teringat zaman kecil dgn kehidupan yang sederhana juga kan. Saya pun sama juga..walaupun dok kat oversea ni saya masih rindukan suasana kg dan makanan kg juga. semua yg kita ada kita syukuri itu kerana Allah maha adil dia bagi kita susah dulu dan senang kemudian hari pula.

    BalasPadam
    Balasan
    1. As salam Nieza. Betul, jika kita tidak mengambil beberapa saat masa utk menoleh ke belakang, kita pasti tak menghargai apa yang kita ada hari ini. Malahan kita akan sentiasa memandang ke depan. Mencari dan mencari lagi ...

      Padam
  3. Salam sis. mengimbau kenangan masa zaman kecil tentu byk yg maniskan...tambah sesekali kalau balik kg...melepasi tempat2 yg pernah kita jejaki dulu....terbayang semuanya indah di mata.part ketuk buah gajus tu...samalah...susahnya nak mkn gajus masa tu...hancur gajus kena ketuk.
    nengok nasi goreng kg...teringat masa kecil dulu aruah nenek suka masak nasi goreng letak ikan rebus...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dear Mamasya, suatu masa dulu kita makan nasi goreng kosong spt ini dengan penuh kegembiraan tapi kini jika dihidangkan spt ini, mahu kita merungut kerana tiada seafood,ntelur dan sayuran di dalamnya, apa lagi bahan hiasan di atasnya. Kadang kadang kita terlupa utk bersyukur dengan nikmat dan rezeki Allah.

      Saya pun suka sangat makan ikan rebus yang digoreng. Sedap sekali jika dimakan dengan nasi goreng

      Padam